DR. LATIFAH merenung tingkah laku pesakit di hadapannya itu. Sakinah menggigit-gigit hujung kukunya. Nafas dihambur kasar berkali-kali. Sesekali matanya melirik ke kiri dan kanan. Riak wajahnya ketakutan. Rambutnya terurai kusut menutupi wajah yang pucat pasi.
"Sakinah..." panggil Puan Maryam, lembut. Rambut anaknya disisir menggunakan jari.
Sakinah tidak memberikan sebarang respons. Puan Maryam menghela nafas memberat. Sakinah seorang gadis yang riang dan bakal menduduki SPM pada tahun ini berubah menjadi pendiam dan murung. Semuanya bermula sejak Sakinah hamil. Anak yang tidak diketahuinya oleh siapa benihnya.
Puas Sakinah disoal dan dimarahi, namun tiada jawapan yang diperolehi. Laporan polis dan pemeriksaan di hospital juga telah dilakukan oleh Puan Maryam. Anehnya, laporan hospital menyatakan tiada sebarang kesan yang menunjukkan Sakinah dirogol atau melakukan hubungan seks.
Tatkala kandungannya mencecah usia lima bulan, Sakinah mendakwa sering mendengar bisikan aneh. Dia juga mengadu terlihat makhluk-makhluk yang menyeramkan. Atas faktor itu, Puan Maryam bertindak membawanya bertemu pakar psikiatri.
"Sakinah masih terdengar suara aneh tu lagi?" soal Dr. Latifah. Matanya memandang Sakinah sebelum pandangan dihalakan ke arah Puan Maryam.
"Makin kerap. Ada satu malam tu, Sakinah meracau. Dia cakap ada makhluk nak bunuh dia," balas Puan Maryam.
Dr. Latifah mencatat dalam laporan pesakitnya itu. Pertemuan itu merupakan sesi ketiganya bersama Sakinah. Hasil pemerhatian dan juga maklumat yang diterima daripada ibu Sakinah, rumusan awal menunjukkan gadis itu mengalami trauma dan depresi yang teruk. Faktor utama yang dilihat menjadi penyebab adalah kehamilannya di luar nikah.
"Sakinah pernah describe bagaimana rupa makhluk tu pada puan?" soal Dr. Latifah lagi.
"Dia tak pernah beritahu, tapi..." Puan Maryam berjeda.
Dia menyeluk beg tangannya dan mengeluarkan sekeping kertas. Dihamparkan atas meja lalu diunjukkan kepada Dr. Latifah.
"Saya jumpa lukisan ni dalam bilik dia semalam," sambung Puan Maryam.
Dr. Latifah meneliti lukisan itu. Satu susuk tubuh yang dilakar dan diwarnakan hitam. Tinggi dan bertanduk satu di dahi. Mulutnya ternganga dengan gigi berceracak tajam. Tidak ubah seperti seekor raksasa. Berkerut kening Dr. Latifah merenung lakaran itu.
"Makhluk ni macam..."
"Syaitan."
Kata-kata Dr. Latifah dipintas oleh Sakinah. Dr. Latifah merenung wajah Puan Maryam sebelum memandang Sakinah. Buat pertama kali Sakinah bersuara sepanjang sesi pertemuan itu berlangsung.
"Makhluk tu syaitan," ulang Sakinah lagi. Matanya lekap memandang lakaran dalam kertas lukisan yang terhampar di atas meja.
"Jadi makhluk ni jugak yang selalu ganggu Sakinah?" soal Dr. Latifah. Sakinah mengangguk.
"Bila kali terakhir Sakinah nampak makhluk tu?" soal Dr. Latifah.
"Dia ada kat sini," balas Sakinah. Riak wajahnya ketakutan. Bibirnya menggeletar.
"Boleh tunjuk kat mana dia berada?"
Jari telunjuk Sakinah diangkat. Menggeletar hujung jarinya menunjuk ke arah Dr. Latifah.
"Dia berdiri belakang doktor," balas Sakinah.
Dr. Latifah menoleh. Hanya hamparan dinding menjamu pandangan mata. Dia kembali memandang Sakinah.
"Boleh saya tahu apa yang makhluk tu sedang buat?" tanya Dr. Latifah.
Sakinah menelan liurnya. Wajahnya dibasahi peluh. Jelas terpancar ketakutan yang teramat di wajahnya.
"Dia renung doktor. Dia sedang marah," ujar Sakinah sebelum kepalanya ditundukkan. Hujung kukunya digigit-gigit. Tidak sesekali kepalanya dipanggungkan walaupun Dr. Latifah memanggil namanya berkali-kali.
Melihat pesakitnya tidak lagi memberikan respons membuatkan Dr. Latifah menamatkan sesi untuk kali itu lebih awal. Sekurang-kurangnya pesakit telah menunjukkan perubahan berbanding sesi-sesi pertemuan sebelumnya.
Sebelum bangun dari bilik, Sakinah tidak semena-mena merentap pergelangan tangan Dr. Latifah. Pembantu perubatan yang sedia menanti di sudut bilik rawatan segera mampir untuk meleraikan keadaan tetapi lekas dihalang oleh Dr. Latifah. Mengisyaratkan menggunakan telapak tangan menunjukkan keadaan masih terkawal. Sakinah menggenggam erat pergelangan tangan Dr. Latifah. Matanya berurat kemerahan merenung wajah Dr. Latifah.
"Jangan sampai kau jadi mangsa seterusnya," tutur Sakinah separuh berbisik dengan suara garau bercampur kewanitaan. Bibirnya mengukir senyuman sinis sebelum genggaman di lengan Dr. Latifah dileraikan.
Puan Maryam lekas-lekas membawa Sakinah keluar dari bilik rawatan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Doktor tak apa-apa?" Pembantu perubatan menghampiri Dr. Latifah sejurus Sakinah dan ibunya keluar dari situ.
"Saya tak apa-apa." Lengannya yang kemerahan-merahan dielus lembut.
"Dia berdiri di belakang doktor." Suara Sakinah terngiang-ngiang di telinganya.
Sepintas Dr. Latifah menoleh. Tidak kelihatan apa-apa. Dia kembali memandang hadapan. Entah mengapa roma halusnya di leher berceracak. Matanya memandang kertas yang mengandungi lakaran makhluk yang dikatakan sering mengganggu Sakinah. Lama dia merenung sebelum kertas itu dicapainya lalu dimuatkan ke dalam laporan perubatan Sakinah. Sesuatu berlegar dalam fikirannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Azazil
TerrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...