Bab 13: Deja Vu

11 1 2
                                    

JARUM jam menunjukkan pukul 10.48 pagi. Dr. Latifah memulakan sesi yang dimulakan dengan soalan-soalan ringkas diajukan kepada Sakinah dan Puan Maryam. Tindak balas daripada Sakinah dan juga maklumat yang diberikan oleh Puan Maryam dicatatnya. Hingga setakat ini tidak ada perubahan ketara yang kelihatan kepada Sakinah.

"Ada sesuatu yang saya nak tunjukkan pada doktor," ujar Puan Maryam.

Baju anaknya itu cuba disingkap tetapi Sakinah menolak kedua-dua belah tangan ibunya.

"Tunjuk dekat doktor kesan tu," pujuk Puan Maryam. Sakinah membatukan diri. Tidak berganjak dari kerusi yang didudukinya itu. Berlama-lama begitu sebelum dia bersuara.

"Semalam dia muncul lagi."

"Makhluk yang Sakinah lukiskan tu?" soal Dr. Latifah untuk kepastian.

Sakinah mengangguk.

"Apa yang makhluk tu buat?" soal Dr. Latifah.

"Dia datang dan pegang perut saya dengan tangannya yang berkuku tajam. Dia katakan yang waktunya akan tiba tak lama lagi," beritahu Sakinah.

"Waktu apa yang dia maksudkan?" soal Dr. Latifah lebih lanjut.

Sakinah hanya menggeleng lemah. Dia bangun dan berdiri lurus. Baju diselak sehingga menampakkan perut. Berkerut kening Dr. Latifah melihatnya sebelum pandangan dimuntahkan ke arah Puan Maryam.

"Itu kesan luka yang saya nak doktor lihat."

Dr. Latifah meneliti kesan luka di perut Sakinah. Kelihatan seperti dicengkam dengan tangan berkuku tajam. Kedua-dua belah kuku tangan Sakinah diperiksanya.

"Saya tak cederakan diri saya sendiri doktor," ujar

Sakinah seolah-olah mengerti dengan tindakan Dr. Latifah. Beberapa soalan diajukan kepada Sakinah tetapi kesemuanya hanya dijawab dengan gelengan. Sesi pada hari itu ditamatkan oleh Dr. Latifah. Dia memberi arahan kepada pembantunya untuk membawa keluar Sakinah dari bilik rawatan bagi memberikannya ruang bersama Puan Maryam. Pembantunya akur.

"Siapa lagi selain puan dan Sakinah yang berada di rumah masa kejadian tu?" soal Dr. Latifah.

"Hanya saya dan Sakinah. Tak ada siapa-siapa lagi," balas Puan Maryam.

"Berdasarkan beberapa sesi yang telah dilakukan dan jugak pemantauan terhadap perilaku Sakinah, saya mengaitkan kes anak puan ni dengan penyakit Skizofrenia. Perubahan tingkah laku, halusinasi dan delusi antara gejala yang menunjukkan Sakinah mengalami Skizofrenia." Puan Maryam menghela nafas panjang mendengar penjelasan Dr. Latifah. Riak kerisauan terpancar di raut wajahnya.

"Anak saya masih ada harapan untuk sembuh, doktor?" soal Puan Maryam.

"Setiap penyakit psikologi ada rawatan khususnya. Cuma saya bimbang jika dia sudah mula bertindak cederakan diri sendiri."

"Atau mungkin apa yang Sakinah lihat itu benar-benar wujud dan bukannya dia berhalusinasi?" soal Puan Maryam secara tiba-tiba.

Dr. Latifah tidak terkejut dengan soalan itu kerana dia memang telah menjangkakannya.

"Soal itu di luar bidang kepakaran saya, puan. Saya cuma mampu usahakan untuk pulihkan kesihatan anak puan melalui bidang yang saya pelajari. Dan kesembuhannya pun dengan izin ALLAH."

"Maaf saya terlalu fikirkan soal anak saya. Saya tak sepatutnya tanya soalan tu pada doktor. Doktor lakukan apa saja yang doktor mampu. Harapan saya letakkan pada doktor," ujar Puan Maryam bersungguh-sungguh.

"Insya-ALLAH. Saya berusaha apa yang saya mampu. Selebihnya kita serahkan kepada ALLAH. Berapa usia kandungan Sakinah?" soal Dr. Latifah.

Setelah berbual ringkas seketika, Puan Maryam meminta diri untuk pulang. Setelah ibu pesakitnya itu keluar dari bilik rawatan, Dr. Latifah bermenung sejenak.

"Atau mungkin apa yang Sakinah lihat itu benar-benar wujud dan bukannya dia berhalusinasi?" Soalan Puan Maryam itu berlegar-legar di kepala Dr. Latifah. Seketika fikirannya terimbau peristiwa yang berlaku dua tahun lepas.

Imbas kembali

MARIA menderam-deram. Serta-merta kepalanya berputar 180 darjah ke belakang. Wajahnya bertentang dengan muka Dr. Latifah. Maria menyeringai dan membengis. Kedua-dua belah matanya merah bernyala.

Dr. Latifah terbeliak melihat situasi itu. Dia terkedu sehingga pelukannya terlerai serta-merta. Mana mungkin seorang manusia biasa mampu memutarkan leher sedemikian rupa!

------

Dr. Latifah menghela nafas panjang apabila mengenangkan peristiwa yang berakhir dengan penemuan mayat Maria dalam keadaan mengerikan. Satu-satunya kes yang mencabar akal warasnya selaku seorang doktor psikiatri. Dan kes kematian itu juga rupanya mempunyai kaitan dengan beberapa kes pembunuhan yang disiasat oleh sahabat baiknya, arwah Inspektor Amiruddin.

Tatkala terkenangkan rakannya itu, spontan Dr. Latifah membacakan al-Fatihah sekali gus memanjat doa ke hadrat ILAHI agar roh Inspektor Amiruddin ditempatkan bersama orang beriman. Surat khabar yang terlipat di sisi meja dicapainya.

Syaitan Bertopengkan Manusia!

Kandungan berita dibacanya sepintas lalu sebelum jari- jemarinya lekas menyelak muka surat lima bagi membaca sambungan berita. Tamat bacaannya, fikiran Dr. Latifah berputar ligat. Mangsa yang dikenali sebagai Wahida mati dalam keadaan perut terburai dan bayi dalam kandungannya hilang.

Pembunuh dikatakan telah meninggalkan satu lambang aneh yang masih lagi menjadi tanda tanya adakah ia satu petunjuk atau signature kill. Entah mengapa wajah Sakinah melayang di fikirannya kala itu. Segera dia mendoakan yang baik-baik untuk pesakitnya. Lintasan buruk yang bermain di fikirannya dihindarkannya jauh-jauh.

Kes kematian yang disiasat oleh arwah rakan baiknya berlegar di minda. Nama Firman, Izara Sofea, Airil Fazril, Maria, Hanez Izzati dan Zahiril melintas di fikiran. Sudah hampir dua tahun negara sepi dengan kes kematian mengerikan sedemikian rupa dan kini ia muncul semula.

"Tak mungkin pembunuh yang sama masih hidup. Dia telah mati. Arwah Amiruddin juga telah terkorban bersama dalam kejadian malam itu." Dr. Latifah bermonolog sendirian.

Akal warasnya pantas mencantas kejadian pembunuhan itu dilakukan oleh pembunuh yang serupa. Tetapi cara kematian mangsa yang mengerikan berserta satu lambang aneh yang dikatakan telah ditinggalkan oleh pembunuh terasa meragut kepercayaannya. Malang apabila lambang itu tidak didedahkan oleh pihak akhbar kepada umum. Dr. Latifah bermenung di meja kerjanya.

***

Adakah kes kali ini ada kaitan dengan kes kematian dua tahun lepas? Adakah hidup Sakinah juga akan berakhir seperti Wahida?

Nantikan bab seterusnya minggu hadapan!

Tak sabar tunggu kemas kini? Boleh dapatkan novel Azazil ini di kedai buku Karangkrafmall atau secara atas talian.

https://www.karangkrafmall.com/azazil

AzazilWhere stories live. Discover now