Bab 7: Gangguan

16 1 0
                                    

"FURQAN!"

Firman terjaga daripada tidur. Tubuhnya dibasahi keringat. Nafasnya turun naik keras menghirup udara. Mimpi yang dialami sebentar tadi berlegar-legar di ruang ingatan. Sama ada ia mainan tidur atau sememangnya satu petunjuk yang didatangkan oleh ALLAH tidaklah diketahuinya.

Nama ALLAH disebut berkali-kali sehinggalah perasaannya kembali tenang. Izara lena di pembaringan. Firman mengelus lembut dahi isterinya. Selimut yang tersingkap sehingga ke paras paha, ditarik menyelimuti sekujur tubuh Izara.

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Firman menuju bilik air dan mengambil wuduk. Selajur mengerjakan solat tahajud. Selesai bersolat, Firman menadahkan tangan berdoa kepada ALLAH. Dia memohon kebaikan di dunia dan akhirat. Serta memohon kepada ALLAH agar menjaga keselamatan anaknya walaupun di mana dia berada. Selesai berdoa, tangannya diraup ke wajah.

Firman berteleku di atas sejadah. Air mata membasahi pipi. Hanya ALLAH mengetahui betapa dia merindui dan mengharapkan Furqan ditemui semula. Bermula dari detik anaknya diambil Azazil, dia tidak putus asa mencari dan menjejaki. Namun usahanya ternyata menemui kebuntuan.

"Innalillahi wainna illaihi raaji'un."

Tawakalnya dilepaskan kepada ALLAH SWT. Sejadah dilipat rapi. Kopiah ditanggalkannya. Firman melangkah keluar dari bilik. Tekaknya terasa haus. Langkah diatur menuju ruangan dapur.

Pintu peti sejuk dikuak. Sebotol air mineral dikeluarkan. Air dituangkan ke dalam gelas. Baru sahaja dia ingin mereguk air, telinganya menangkap bunyi aneh yang datangnya dari luar rumah. Firman terbejat. Beberapa saat berlalu telinganya menangkap bunyi cakaran di pintu rumah. Diiringi bunyi kibaran. Seolah-olah sepasang sayap besar sedang berkibar.

Sebilah pisau dicapainya. Diselit ke belakang pinggang. Langkah diatur merapati pintu rumah. Waspada menggunung di hati. Pelbagai kebarangkalian bermain di fikiran. Wajah Azazil melayang di kotak fikirannya kala itu.

Penyendal pintu diselak. Tombol pintu diramas. Daun pintu dikuak. Angin dingin menyerbu batang tubuhnya membawa bersama gaulan bauan hanyir. Mata Firman merayap ke serata arah sebelum pandangan dihalakan ke arah daun pintu. Kelihatan kesan cakaran yang lebar dan dalam di permukaan pintu rumahnya itu.

Firman mengetap rahang. Dia menoleh pantas. Matanya meliar mencari susuk tubuh syaitan yang memporak-perandakan hidupnya. Tidak sukar untuk dia menduga cakaran itu adalah daripada kerja Azazil!

"Di mana kau iblis? Munculkan diri kau!" Firman melaung.

Laungannya disahut sepi. Firman mengitari sekeliling rumahnya. Susuk tubuh makhluk itu tidak kelihatan di mana-mana. Langkahnya terkaku sebaik sahaja hujung jari kakinya tersepak sesuatu. Sebaik sahaja menunduk, mata Firman terbuntang. Kucing peliharaannya mati tergeletak di atas lantai. Tubuhnya terputus dua dengan kepala yang terpusing ke belakang. Amarah terpercik di dalam jiwa. Rahang diketap erat. Cara kematian itu cukup dikenalinya!

"Di mana kau setan? Keluar! Aku cabar kau munculkan diri depan aku!" laung Firman, keras.

Jiwanya benar-benar merusuh. Suara garau menderam mampir di telinga Firman. Firman terkalih-kalih sebelum pandangannya mati di hadapan. Susuk tubuh berjubah hitam berdiri dengan jumlah yang tidak terkira ramai. Masing-masing berwajah mengerikan dengan bebola mata kuning bersinar. Kesemuanya melotot memandang Firman!

"Kau tidak akan mampu mengalahkan aku. Manusia selama-lamanya lemah dan terkutuk!" Suara Azazil kedengaran bertempik keras. Jasadnya tidak kelihatan di mana-mana.

"Syaitan selama-lamanya berada dalam kebatilan. ALLAH akan bantu aku memerangi kau Azazil!"

"Maka kau harus mati!"

Serentak itu kesemua makhluk berjubah hitam itu meluru ke arah Firman. Hamburan nafas kencang seiring suara yang menderam ganas. Firman bersiap siaga. Telapak kakinya disemat rapi ke tanah. Pisau digenggam erat. Jika dia mati sekalipun, biarlah mati melawan!

"Abang!"

Lengan Firman terasa digenggam seseorang. Firman menoleh. Isterinya sedang berdiri di sebelahnya. Sebaik sahaja pandangan dihalakan ke hadapan, tiada kelibat berduyun-duyun makhluk berjubah hitam.

Izara merangkul tubuh Firman. Memeluk erat. Menghamburkan tangisan di dada suaminya. Cakaran di pintu dan bangkai kucingnya yang ditemui terputus dua di halaman rumah cukup untuk menceritakan segalanya.

"Apa lagi yang Azazil nak daripada kita? Apa lagi?" rintih Izara semahu-mahunya. Jiwanya terasa lelah. Benar-benar dihambat keperitan dengan gangguan yang tidak berkesudahan daripada Azazil.

Firman membalas pelukan isterinya. Rambut Izara dibelai lembut. Cuba menenangkan jiwa isterinya yang merusuh.

"Selagi abang hidup, syaitan tu takkan mampu apa- apakan kita. Furqan jugak akan kembali ke tangan kita. Itu janji abang pada Izara. Biarpun nyawa abang jadi galang gantinya," tekad Firman.

"Izara tak mahu kehilangan abang. Izara tak mahu kehilangan sesiapa lagi dalam hidup ni," rintih Izara.

Firman mengeratkan pelukan. Nafas ditarik dalam- dalam lalu dihembus.

AzazilWhere stories live. Discover now