Bab 18: Pengorbanan

26 2 0
                                        

MALAM semakin larut dalam bancuhan waktu. Di luar, hujan membasahi bumi. Kilat memancar menyilau. Jannah lena di pembaringan. Dua orang guru menemaninya tidur di dalam bilik. Pada mulanya mereka merancang untuk membawanya kembali ke asrama.

Tetapi bimbang kejadian sama berulang lagi, pihak tenaga pengajar memutuskan untuk membawa Jannah ke rumah penginapan guru-guru wanita.

Tilam dihamparkan atas lantai. Jannah tidur di tengah-tengah. Diapit oleh Ustazah Azian dan Cikgu Rohayah. Dalam lena tidurnya, Jannah terjaga. Pundi kencingnya terasa penuh. Dia menolak tubuh. Duduk dengan kedua- dua belah kaki melunjur. Batang tubuhnya terasa sakit-sakit.

Bingung menghentak benak sebaik sahaja melihat kiri dan kanannya. Dia bukan berada di dalam bilik asramanya. Fikirannya dikerah tetapi gagal mengingati kejadian yang telah terjadi. Ingatan terakhirnya, dia sedang berada dalam dewan mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Yusrizal.

"Ustazah... ustazah..." panggil Jannah lembut.

Tubuh Ustazah Azian digoyang tetapi guru agamanya itu tidak terjaga. Jannah mengejutkan pula Cikgu Rohayah tetapi dia juga tidak sedar.

Pundi kencingnya terasa semakin penuh. Tiada pilihan lain, Jannah bangun perlahan-lahan. Perutnya yang memboyot dipegangnya. Setapak demi setapak dia keluar dari bilik. Matanya merayapi mencari-cari arah ke tandas.

Sepanjang dia berada di rumah pemulihan akhlak itu, ini pertama kali dia masuk ke dalam rumah penginapan guru. Sebaik sahaja dia melewati ruangan dapur, kakinya terbejat. Matanya terpandang satu susuk tubuh sedang berdiri menghala cermin nako yang ternganga. Susuk tubuh tidak ubah seperti Ustazah Azian.

"Ustazah..." tegur Jannah. Aneh menghurung jiwa.

Sebentar tadi dia melihat Ustazah Azian lena di sebelahnya. Bagaimana pula guru wanita itu boleh berada di dapur pula?

Dia menoleh. Memperlihatkan sisi wajahnya sebelum kembali memandang hadapan. Jannah merapati Ustazah Azian. Berdiri di sebelahnya. Guru agama berusia 30-an itu mengangkat jari telunjuknya menghala ke hadapan.

"Cuba tengok depan sana tu."

Jannah memandang arah yang ditunjukkan Ustazah Azian. Matanya dipicingkan. Hanya rimbunan pokok memenuhi pandangan mata.

"Ada apa ustazah?" soal Jannah, tertanya-tanya.

"Di antara pokok-pokok tu," ujar Ustazah Azian. Jari telunjuknya menunjuk ke satu arah.

Jannah kembali menghalakan pandangan ke hadapan. Merenung di antara pokok-pokok yang dimaksudkan oleh Ustazah Azian. Kala itu tidak semena-mena kilat memancar dada langit. Cahaya terbias hingga ke bumi.

Urat takungan nyawa Jannah hampir putus sebaik sahaja melihat satu makhluk hitam, bertubuh tinggi dan bertanduk sedang berdiri memerhati ke arah mereka berdua. Walaupun hanya sekilas tetapi pandangan mata cukup jelas melihatnya.

"Makhluk tu yang sering ganggu saya, ustazah," tutur Jannah dengan suara yang menggeletar.

"Makhluk tu namanya Azazil."

Jannah tergamam. Terkaku. Liur direguk terasa lambat melalui kerongkong. Suara Ustazah Azian bertukar garau saat menyebut nama Azazil. Menggeletar sekujur tubuh Jannah kala itu. Bulu romanya tegak berdiri. Kepalanya terasa kebas. Terketar-ketar leher ditoleh ke sisi.

Saat pandangan bertukar, terbuntang mata Jannah. Makhluk yang dilihatnya di rimbunan pokok itu sedang berdiri di sebelahnya! Mulutnya menyeringai menampakkan giginya yang berceracak tajam.

"Masa kau sudah tiba wahai manusia!"

Jannah menjerit semahu-mahunya.

***KEDUA-DUA guru wanita itu terjaga daripada tidur setelah terdengar jeritan kuat. Mata ditenyeh-tenyeh. Kantuk masih bergayut di pelupuk mata.


Entah mengapa malam itu, mereka berdua berasa terlalu mengantuk. Pandangan terarah di kawasan pembaringan Jannah. Jantung berdetak laju sebaik sahaja melihat ruangan di tengah-tengah mereka berdua kosong dan pintu bilik terpelahang!

"Astaghfirullah. Jannah!" Ustazah Azian bingkas bangun.


Dituruti Cikgu Rohayah. Dum! Pintu bilik tertutup secara tiba-tiba. Ustazah Azian memulas-mulas tombol tetapi tidak berjaya. Cikgu Rohayah turut membantu namun gagal. Cemas dan risau semakin merasuk jiwa masing-masing apabila mendengar suara Jannah menjerit-jerit di luar bilik.

"Bismillahillazi la yadurru ma'asmihi syaiunfillardi wala fissamai wahuwassami'ul 'alim (Dengan nama ALLAH yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)."

Sebaik sahaja haul lafaznya dari bibir Ustazah Azian, daun pintu terkuak serta-merta. Tanpa berlengah, mereka berdua meluru keluar dari bilik. Kedengaran suara Jannah mengerang kesakitan dari arah dapur.

"Cepat Cikgu Rohayah!" Ustazah Azian mendahului. Sebaik sahaja kaki menjejaki ruangan dapur, mata masing-masing terbuntang luas. Seekor makhluk hitam sedang mencengkau perut Jannah sehingga tembus. Jannah terbaring di atas lantai. Bernafas tersendat-sendat. Matanya berkaca memandang Ustazah Azian dan Cikgu Rohayah.

"Lepaskan dia!"

Cikgu Rohayah meluru terlebih dahulu. Ketakutan dibiusnya dalam-dalam. Keselamatan Jannah menjadi keutamaannya kala itu. Azazil menoleh. Merenung Cikgu Rohayah. Serta-merta tubuh Cikgu Rohayah terkunci. Dia jatuh terduduk dalam keadaan melutut. Dadanya terjongket. Tubuhnya melengkung ke hadapan.

Sedikit demi sedikit sehinggalah bunyi tulang patah berdetap kedengaran. Cikgu Rohayah meraung sekeras-kerasnya. Ustazah Azian cuba membantu. Baru sahaja tangannya menyentuh tubuh Cikgu Rohayah, Ustazah Azian terpelanting. Terhempas belakang tubuhnya ke dinding sebelum bergolek di atas lantai.

Prak!

Tulang belakang Cikgu Rohaya bertemu belakang kakinya. Cikgu Rohayah terkulai. Maut menjemputnya bertemu TUHAN.

Ustazah Azian terketar-ketar menolak tubuh dan bangun. Terkumat-kamit dia membacakan surah al-Mu'awwizatain, iaitu surah al-Falaq dan surah an-Naas. Belum sempat bacaannya tamat, perutnya diradak sepasang tangan berkukutajam. Darah menyembur. Ustazah Azian terduduk melutut.

Kepala tertunduk. Dia memegang perutnya yang dibasahi darah. Geraham diketap menahan sakit yang tidak terperi. Rambutnya dicengkam erat hingga Ustazah Azian terdongak.

Dia menyeringai kesakitan. Azazil merengus nafas dan menderam. Sebelah tangan lagi mencengkam dagu Ustazah Azian. Wajah Azazil bertentang dengan wajah Ustazah Azian. Ia menyeringai.

"Manusia yang hina takkan sesekali mampu menandingi aku!" Azazil mencemuh penuh keangkuhan.

Nama ALLAH diseru berkali-kali dalam hati. Jika dia mati sekalipun malam ini, biarlah dia mati dengan iman yang utuh terpasak di jiwanya.

Kepalanya dipulas keras. Ustazah Azian tertiarap di atas lantai dengan kepalanya yang terkalih 180 darjah ke belakang. Maut telah menjemputnya bertemu TUHAN.

Azazil mendengus dan menderam. Ia berkalih ke arah Jannah. Menyeringai. Jannah bernafas tersendat-sendat. Hampir putus nyawa.

AzazilTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang