Jerusalem, 1187 Masihi.
Perang Salib KetigaPERTEMPURAN di Tasik Cresson dan Tiberias memihak kepada kerajaan Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi. Beberapa pemimpin utama yang melarikan diri dari medan perang dan kebijaksanaan taktik peperangan Salahuddin memaksa Raja kerajaan Salib, Guy de Lusignan mengarahkan bala tenteranya berundur ke perkampungan Hattin. Peperangan berlaku dan kemenangan sekali lagi berpihak kepada kerajaan Islam.
Kemenangan itu melumpuhkan kekuatan kerajaan Salib. Satu demi satu wilayah jajahan kerajaan Salib jatuh ke tangan orang Islam sehinggalah Jerusalem menjadi lokasi yang terakhir. Kota-kota musuh sekeliling Jerusalem ditawan untuk memastikan bantuan ketenteraan gagal disampaikan kepada kerajaan Salib di Jerusalem.
Sejurus itu kepungan dan penggempuran terhadap Jerusalem yang dipimpin oleh Balian pun bermula. Salahuddin dan angkatan tenteranya mengambil masa tiga hari untuk meruntuhkan benteng kota itu. Sekali gus memberi bayangan kekalahan kerajaan Salib Jerusalem.
Abdiel merengus kencang. Senjata yang digenggamnya dilempar ke tanah. Semangat juangnya terasa malap! Dia merupakan orang kanan Balian. Bersama-sama sejak menganggotai kesatria Templar sehingga Balian diangkat menjadi pemimpin di Jerusalem.
Berita yang didengari sebentar tadi mengundang rasa tidak puas hati. Amarahnya menyala-nyala.
"Bodoh!"Abdiel meludah."Banyak tentera kita terkorban. Benteng kota berhampiran Pintu Damaskus jugak sudah hampir musnah. Salahuddin akan menang dalam peperangan ni," ujar Haruz.
Dia juga merupakan salah seorang orang penting yang menerajui pucuk pimpinan kerajaan Salib di Jerusalem. Banyak menjadi penasihat dalam hala tuju kepimpinan.
"Balian ingin menyerah kalah. Dasar pengecut!" tempik Abdiel sekian kalinya.
Lelaki itu berang dengan keputusan Balian yang dianggap bodoh. Tunduk kepada Salahuddin bermakna tunduk kepada kerajaan Islam!
"Hanya ada dua pilihan yang wujud. Peperangan diteruskan kita akan kalah, banyak nyawa yang terkorban. Pilihan kedua, kita lakukan rundingan dengan Salahuddin. Nyawa orang kita dapat diselamatkan," terang Haruz.
"Jadi kau meletakkan nyawa kita di tangan orang Islam?" soal Abdiel sinis.
"Kita mengalah bukan bererti kita kalah. Syarat perundingan akan memihak kepada kita Abdiel. Kita berundur untuk sementara dan rancang untuk menakluki semula Jerusalem," ujar Haruz lagi.
Keyakinannya tinggi, Salahuddin akan mempersetujui syarat perundingan.
"Apa yang membuatkan kau yakin Salahuddin akan setuju dengan syarat yang kita tetapkan?" soal Abdiel.
Amarahnya mengendur tetapi tidak padam.
"Nyawa orang Islam dan kota suci di sini terlalu berharga untuk digadaikan," balas Haruz.
Abdiel mengerti. Dia menghela nafas. Merenung memandang ketumbukan tentera Salahuddin yang menggempur pasukan pertahanan Salib yang kecil bilangannya.
"Selagi mana Islam berpegang kuat kepada al-Quran dan ajaran yang disampaikan oleh Muhammad, mereka tidak akan kalah," ujar Abdiel separuh berbisik.
Itu kenyataan yang dinyatakan oleh salah seorang tentera Salahuddin yang menjadi tawanan mereka dalam siri peperangan lepas sebelum lelaki itu dibunuh setelah enggan memeluk agama Kristian walaupun dipaksa secara keras berkali-kali.
"Apa yang kau cuba katakan?" soal Haruz tertanya- tanya.
"Kekuatan tentera mereka pada Islam dan al-Quran. Jika kita berjaya buat mereka tinggalkan kedua-duanya, mereka akan kalah. Jika bukan sekarang, suatu masa nanti mereka akan tewas."
Sejurus itu dia mengatur langkah pantas menuju ke satu arah. Haruz mengekori dari belakang.
***TANAH digali dengan kedua-dua belah tangan. Haruz berkerut dahi melihat perbuatan Abdiel.
"Apa yang kau cari di sini?" soal Haruz kehairanan. Dia tertanya-tanya apa yang sedang dicari Abdiel berdekatan Masjidil Aqsa itu.
Abdiel tidak menjawab. Dia terus mengorek tanah itu. Haruz turut sama membantu. Ketulan tanah terasa lembut dan berderai apabila disentuh. Menandakan tanah itu pernah digali sebelum ini dan dikambus semula.
Pada kedalaman sekitar separuh ketinggian manusia dewasa, Abdiel berhenti dari mengorek tanah. Peluh membasahi tubuh kedua-dua mereka. Sebongkah kotak kayu bersaiz segi empat tepat terlihat di dalamnya. Abdiel mencapainya. Mengusap dan membuang kotoran tanah yang menyelaputinya. Merenung sekilas wajah Haruz.
"Sudah terlalu lama ia disimpan di sini. Tentera kita menemuinya tapi aku arahkan mereka untuk tanamnya semula," jawab Abdiel.
Kotak itu diletakkan semula di atas tanah. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu menguak kotak itu. Serentak itu, telinga mereka berdua terasa berdengung. Bulu roma meremang tidak semena-mena. Seolah-olah satu aura hitam lagi bersifat jahat terbebas sebaik sahaja kotak itu terbuka.
Mata mereka berdua tertancap ke arah senaskhah kitab lusuh di dalamnya. Haruz perlahan-lahan menyentuh kitab itu. Entah mengapa bulu romanya kian tegak berdiri. Meremang sehingga kepalanya terasa mengembang! Jantungnya berdebar-debar.
Halaman kitab itu diselak-selak. Cuba dibacanya tetapi tidak mengerti makna di sebaliknya. Lambang-lambang aneh turut terlakar di dalam kitab itu.
"Kitab apa sebenarnya ni Abdiel?" soal Haruz.
Abdiel mengambil kitab itu daripada genggaman Haruz. Merenung lama kitab itu.
"Kitab ni aku percaya milik ahli sihir pada zaman King Solomon. Kitab ni akan membawa kepada kehancuran Islam," getus Abdiel.
"Tapi aku percaya kandungannya bertentang dengan ajaran kita. Perkara ni salah Abdiel." Haruz cuba menyedarkan Abdiel.
Abdiel tersenyum sinis.
"Mungkin kau bijak dalam mengatur strategi kepimpinan. Tetapi kau terlalu bodoh dalam memenangi peperangan. Ada perkara yang kita perlu korbankan untuk mencapai sesuatu... termasuk agama!" tegas Abdiel.
Haruz menelan liur mendengarnya. Matanya kembali memandang kitab dalam genggaman Abdiel.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...