SETENGAH jam menunggu. Sikit punya lama. Si gerangan blind date entah sesat dekat mana. Kalau ikutkan hati, memang dia nak cabut balik saja. Dia dah penat menunggu.
Sudah dua mesej dihantar pada Nashif, tapi kalau dah namanya Nashif, setiap perkara yang membabitkan si abang, hanya akan menyakitkan hati saja. Mesej yang dihantar hanya dibaca tanpa dibalas. Diblueticked saja.
Dari siku menongkat di meja, kini Noura dah menyandar pula pada kerusi. Dan matanya hanya fokus pada pintu masuk. Menanti gerangan si blind date yang dipadankan dengannya.
Selepas seketika, anak mata menangkap susuk seseorang yang masuk ke restoran. Noura hampir nak angkat punggung saat mata tertancap pada susuk lelaki yang masuk dan mula mendekat.
Berkemeja hitam, dengan seluar slack warna yang sama. Tubuh tegap diimbas mata nakal Noura yang langsung tak berkelip.
Mana Nashif jumpa mamat ni.
Hensem. Bergaya.
Hati Noura jadi berdebar saat si lelaki angkat tangan melambai, merona pipi tidak semena. Dan tanpa segan silu Noura angkat tangan dengan bibir dilengkapi senyuman paling manis.
"Sayang." Terdengar suara perempuan menyapa dari belakang dan serentak si jejaka kacak tersenyum lebar.
Mata Noura kaku dan tangan yang sudah terangkat paras pipi perlahan-lahan saja dijatuhkan. Kepala tertunduk pandang meja dengan pipi mula terasa kebas
Malu.
Apa lagi perasaannya ketika ini kalau bukan yang satu itu sehinggakan langsung tak berani nak menoleh atau melirik si lelaki yang berjalan melintasi meja.
Liur ditelan kesat cuba membuang perasaan malu yang membuatkan rasa hangat di pipi. Nasib baik lah suasana suram restoren boleh menutup kejanggalan dirinya.
Tak agak-agak dia punya keyakinan. Entah boyfriend siapalah yang dilambai balas tadi. Siap dihulur senyuman paling manis. Sahlah dicop gatal kalau lelaki tadi sedar dengan tingkah lakunya.
"Noura."
Hmm?
"Noura."
Naura dongak kepala perlahan. Dan buat kali kedua, mata terkaku lagi. Langsung lupa nak berkelip buat seketika. Dan lupa juga cara nak mengangguk kepala.
Benarkah apa yang dia sedang lihat ketika ini? Tak akanlah dia tengah berilusi gara-rasa kejadian yang memalukan tadi.
"Hai Noura." Si lelaki senyum lebar.
Mata Naura statik. Tekak dah mula rasa payau. Nak telan air liur pun terasa payah macam nak telan kulit durian.
"Saya duduk ya." Minta kebenaran, tapi tangan pantas tarik kerusi keluar dan duduk tanpa segan.
"Ingat saya lagi tak?" Si lelaki senyum senget pula apabila tiada kata yang keluar dari mulut Noura.
Noura angguk selepas beberapa ketika. Gelas berisi air kosong digapai dan disisip ke bibir. Buat hilangkan rasa yang bagaikan membengkak di anak tekak.
"I look different kan?" Makin senget senyuman si lelaki. Dan matanya galak mengimbas Noura atas bawah.
Sama je.
Kata-kata itu yang hanya terdetik dalam hati Noura. Tak terzahir di bibir langsung.
Nashif. Nashif.
Tak ada orang lain ke yang nak dijadikan teman blind datenya
Si Fitri senget yang senyum macam orang gatal ni juga dijadikan pilihan.
Macam dah pupus lelaki dalam dunia.
Macam dia ni perempuan terakhir dan Fitri lelaki terakhir yang hidup atas muka bumi.
Dan pelik mama pun setuju.
Atau Nashif sengaja nak pedajalkan dia.
Noura hempas nafas dan kepala ligat memikirkan sesuatu. Pandang muka Fitri yang masih tengah senyum senget dan kemudian dilepas pandangan ke arah pintu pula.
"Aduh."
Noura cepat-cepat pegang perut. Berlapis-lapis kerutan dipaksa muncul di dahi.
"Kenapa?" Riak wajah Fitri berubah cemas.
"Sakit perut."
"Habis tu?" Fitri garu kepala.
"Habis tu I nak balik lah." Noura tekan perut lagi. Berharap lakonannya berjaya meyakinkan Fitri.
"Nak saya hantar balik?" Fitri tunjuk prihatin. Risau pula melihat Noura berkerut dahi begitu. Nampak sungguh sedang menahan kesakitan.
"No, it's okay. Saya boleh balik sendiri." Segera Noura menolak. Kalau dah balik dengan Fitri, nanti lain pula jadinya. Biarlah ini menjadi pertemuan terakhir mereka berdua. Tak perlu dilanjutkan hal yang sepatutnya ditamatkan saja.
"Eh, tak apa. Saya boleh hantar. Awak sakit ni, saya kena bertanggungjawab."
Terangkat sikit kepala Noura memandang Fitri. Dia sedut nafas panjang. Cuba tenangkan diri sendiri. Cuba mencari akal supaya boleh larikan diri.
"Jom." Fitri dah bangun dan melangkah ke sisi Noura. Tangan segera memaut lengan Noura.
"Boleh berjalan? Atau nak saya dukung?"
Besar mata Noura mendengar kata-ka
ta Fitri itu dan sempat lengan ditarik supaya terlepas dari pautan tangan lelaki itu.
"Tak apa, tak apa. Saya okey je. Boleh jalan. Perut yang sakit bukan kaki." Noura bangun dan capai tas tangan. Takut ada drama Hindustan berdukung bagai kejap lagi kalau dia tak bertindak pantas.
"Malu ya." Fitri sengeh.
Noura dah ketap bibir. Rasa nak libas Fitri dengan tas tangan pun ada.
"Tak." Noura ketap rahang kuat, dalam usaha tengah sabarkan diri.
"Kalau tak malu, jomlah." Kedua tangan Fitri dah elok terlekap di lengan Noura. Gayanya macam dah bersedia hendak berikan khidmat dukungan percuma buat si gadis yang sudah beriak cuak.
"Eh." Noura terundur.
"Ala, nanti kita kan nak kahwin. Tak apa kan kalau saya pegang-pegang."
Tiba-tiba saja Noura bagai lupa dia tengah pura-pura sakit perut. Badannya tegak memandang Fitri tanpa kelip. Dan bayangan wajah Nashif tidak semena menerpa minda.
Nak kahwin?
Dalam bibir menggeletar, mata Noura mencerlung.
Apa lah yang dijanjikan Nashif pada Fitri sampai lupa batasan begini.
"Kita tak perlu jumpa dah lepas ni." Sebabkan geram dengan Nashif, tak sedar kata-kata itu terluncur laju di bibir. Dia dah tak menghiraukan jika ada pengunjung restoran yang lain sedang memerhati gelagatnya dan Fitri ketika ini.
Fitri mengerut dahi, seakan cuba memahami kata-kata Noura.
"Saya buat salah apa?" Terkebil-kebil mata Fitri pandang muka serius Noura.
"Maaf kalau saya buat salah. Saya janji tak buat dah," sambung Fitri lagi.
Mata Noura dah berputar ke atas. Lama-lama duduk dengan lelaki bernama Fitri ini, boleh naik gila dibuatnya.
"Assalamualaikum." Malas nak menambah pening yang sedia ada, Noura dah buka langkah dulu. Sebab ini lah dia malas dengan hal aturan temujanji Nashif. Sebab hal-hal remeh begini lah.
Nak diamuk, nanti dia yang kena balik. Kalau bab jodoh-menjodoh ni, mama pastilah akan sokong Nashif.
"Noura." Sayup telinga menangkap suara Fitri di belakang. Noura dah tak kuasa nak toleh kepala.
Sudah-sudahlah.