BAB 6

97 6 0
                                    

MENGANTUK.

Noura dah menguap beberapa kali. Tak tahulah kenapa hari ini dia terasa letih sungguh. Buku di tangan pun dah hampir-hampir nak jatuh mencium muka sendiri.

Pusing ke kanan dan pusing ke kiri. Rasa mengantuk ni memang dah tak boleh bawa bincang. Kalau dia pejam mata walau buat seketika pasti tak sampai sesaat belayar ke alam mimpi.

"Kau sakit perut ke?"

Mata Noura tiba-tiba jadi segar. Ajaib sungguh apabila rasa mengantuk hilang apabila suara Nashif menerpa telinga.

"Ya. Sakit perut perempuan." Noura renung wajah Nashif di sebalik buku yang menjadi perisai. Sepatutnya dia pura-pura tidur saja tadi supaya Nashif tak datang menganggu tenangnya.

"Yeke sakit perut atau cuma alasan kau?" Nashif peluk tubuh di jenang pintu. Seakan dapat mengagak taktik si adik. Mencerlung saja mata memandang Noura yang elok saja terbaring sambil baca buku macam tak ada sakit langsung.

"Kalau alasan pun kenapa?" Noura pusing badan membelakangi Nashif. Bengang dengan Fitri masih bersisa. Takut kemarahan dilepaskan pada Nashif pula, tapi kalau ikutkan si abang pun ada bahagiannya juga.

Si tukang atur blind date dengan Fitri. Lagi teruk dibandingkan dengan si keding tu.

"Mama bising."

Noura dah berdengus apabila nama mama dipetik Nashif. Memang sengaja nak buat dia serba salah. Sikit-sikit mama, sikit-sikit mama. Itu saja modal Nashif sejak dulu. Kalau tengok mama, macam tak kisah pun, hanya Nashif yang lebih-lebih. Nashif yang kemaruk sangat nak dia berpasangan dan bernikah, supaya dia boleh ambil turn pula lepas tu.
Nashif yang gatal nak bernikah, dia jadi mangsa.

"Kau tak ingat apa Fitri buat dulu. Sampai berdarah dahi aku dia tolak masuk longkang." Noura ingatkan Nashif kejadian yang menyebabkan dahinya berjahit yang meninggalkan patut sehingga kini. Apabila diingat insiden itu, memang rasa macam nak menyumpah Fitri biar mandul tujuh keturunan.

"Benda dah jadi 10 tahun dulu, Noura. Yang kau sibuk nak mengungkit kenapa? Berhingus lagi korang berdua masa tu." Hazik menempelak. Naik menyampah dengan perangai Noura yang dirasakan kebudak-budakan baginya.

"Umur 15 bukan berhingus dah masa tu. Dah matang. Kalau zaman dulu dah boleh ada anak sorang. Dah boleh fikir yang mana boleh bawa bergurau atau tak." Noura hempas buku ke tepi.

Nashif ketawa sinis. Entah apa yang mencuit hatinya. Suka agaknya melihat Noura naik angin begitu.

"Gelak lah, gelak." Noura dah terjun dari katil dengan muka berang. Susah kalau ada kembar sama tiga suku macam lelaki yang cuba dikenenkan semalam.

Dalam ramai-ramai manusia. Dalam ramai-ramai lelaki dalam Malaysia. Bersepah kawan-kawan lelakinya ketika sekolah dulu, pelik sungguh Fitri juga jdi pilihan Nashif.

Noura tarik nafas dan lepas perlahan. Cuba nak tenangkan diri dan cuba mengumpulkan segala kesabaran yang masih ada.

"Fitri nak kahwin dengan kau."

Noura tak jadi melabuh duduk di birai katil. Tubuh segera berpaling menghadap Nashif.

"Bukan kau ke yang kalut nak jodohkan aku dengan dia?" Noura sembur selamba. Bateri kesabarannya sudah kong.

"Dah dia berkenan, aku nak cakap apa." Nashif pula balas dengan wajah tak beriak.

Noura jeling tajam. Sikit pun dia tak percaya kata-kata Nashif. Entah apa yang dijanjikan pada Fitri malam tadi, sehinggakan lelaki itu berani ambik kesempatan.

"Kau yang kalut menggatal nak nikah, sampai aku terbabit sekali." Berselisih di pintu, sempat lagi Noura mengiku perut Nashif. Kalau ikutkan hati, nak buat lebih daripada itu.

Kalau dulu apa saja dia tak pernah buat pada Nashif. Bergaduh macam anjing dengan kucing. Cuma sekarang dia dah malas nak melayan. Buat sakit hati saja.

"Kau yang tak laku. Aku tolong carikan jodoh saja." Nashif memerli.

Langkah Noura terhenti. Dia pusingkan badan. Turun naik dada memandang Nashif.

"Yalah. Kau saja yang laku. Kau saja yang dah jumpa jodoh. And by the way untuk pengetahuan kau, aku dah ada boyfriend."

Dan sesaat kemudian, Noura kemam bibir. Mata lupa nak berkelip lantaran lancangnya bibir menutur kata. Langsung tak bertapis. Nak tarik semula apa yang dikata pun dah tak ada guna. Terang-terang dah dapat didengari Nashif. Terang-terang akan dipersoalkan oleh Nashif nanti.

"Bagus. Nanti bawa jumpa mama." Nashif senyum sinis. Bagaikan tahu kata-kata Noura itu hanya omongan kosong semata. Mustahil semudah ini si adik move on dari lelaki yang hampir dinikahinya dulu.

Noura jeling tajam. Bukannya dia tak tahu kata-kata Nashif itu berbaur sindiran. Dan bukannya si abang percaya yang dia dah ada teman lelaki.

Baru lima bulan. Perempuan mana yang dah moves on secepat ini? Kata-kata yang dia dah lupakan Luth hanya semata-mata bicara hendak menyedapkan hati semua orang. Baik mama, mahu pun Dania.

"Bawa mama jumpa siapa?"

Noura terkedu. Mendengar suara si ibu, buatkan dia macam nak masuk ke dalam bilik semula.

"Boyfriend." Laju saja Nashif menjawab. Memang sengaja nak kenakan Noura. Hati bersorak suka melihat raut wajah si adik dah berubah corak. Terkedu dengan muka macam tertelan cicak.

"Siapa yang ada boyfriend?" Puan Noor pandang Nashif dan Noura silih berganti.

"Noura lah, ma. Siapa lagi. Tak akan lah Nas pula." Nashif seakan menyindir, matanya hanya mengerling wajah si adik yang dah buat muka.

Noura hempas nafas geram.

"Boyfriend mana?" Puan Noor pandang muka Noura lama-lama. Bukannya tak suka, tapi takut perkara dulu berulang kembali. Sebagai ibu, dia takut Noura terluka lagi.

"Tak tahu lah boyfriend mana, ma." Nashif segera menjawab.

"Ada yang nak, dia tak nak. Fitri tu dah tekad nak hantar rombongan meminang." Sengaja Nashif tekankan suara. Tanda perbincangan tentang Noura ini serius baginya.

Mata membulat dan terasa hendak meletup dada Noura mendengar kata-kata Nashif itu. Ingat hal pinang meminang perkara main-main agaknya.

"Noura tak nak." Lantang Noura suarakan kata hatinya. Ingat senang dia nak terima lelaki macam Fitri. Lelaki yang buat dia rasa tak selesa. Perkongsian hidup bersama bukan untuk sebulan, dua. Tapi untuk selama-lamanya.

"Sebab apa?" Nashif tak menunggu lama untuk bertanya.

"Ma..." Noura mendekat. Tangan si ibu diraih. Rasa bersalah apabila melihat ibunya seakan mengharap begini.

"Noura tak bersedia lagi..."

"Sampai bila rasa tak bersedia?" Laju Nashif memintas kata-kata Noura.

"Nas." Lembut suara Puan Noor menegur. Dia tahu Nashif tak ada niat lain, hanya mencarikan jodoh buat si adik. Dan dia tahu Nashif hanya mahukan yang terbaik untuk Noura juga.

"Ma..." Tak hiraukan Nashif, Noura seru lagi si ibu.

"Doakan Noura dapat jodoh yang baik. Yang boleh bahagiakan Noura." Noura cuba memujuk.

Memang itulah yang didambakan setiap perempuan. Mengharapkan jodoh yang boleh membahagiakan. Cuma dia masih belum bertemu jodoh seperti itu.

"Mama boleh doakan, Noura?" Noura lebarkan lagi senyuman sambil mata memandang Nashif yang dah mencebik bibir.

Jangan ingat Nashif saja yang pandai gulakan mama, dia pun ada caranya sendiri.

Jadi anak perempuan tunggal, memang banyak kelebihan.

"Tiap hari mama doakan Noura." Puan Noor usap lengan Noura.

"Thank you, mama." Dirangkul tubuh si ibu, namun senyuman sinis terhadiah buat Nashif.

Puas melihat raut wajah kelat si abang. Sekurang-kurangnya sekarang, dia boleh jadikan mama sebagai alasan menolak apa saja permintaan Nashif berkenaan jodoh.

Biarlah dia benar-benar pulih.

Dan benar-benar melupakan.

MENCARI SEMPURNAWhere stories live. Discover now