HELAAN nafas dihela dengan perasaan yang berat dan lemah. Wajahnya yang dibasahi airmata itu dilap perlahan. Kitab suci al-Quran diangkat lalu dikucup lama kemudian disimpan semula. Telekung kembali disangkut bersama sejadah. Rambutnya dilurut lalu diikat kemas. Kakinya dibawa ke balkoni. Menghirup udara petang.
Terasa begitu cepat masa berlalu. Sudah hampir sebulan dia tinggal kembali bersama suaminya. Tetapi, hubungan mereka tetap lagi hambar seperti sebelum ini. Sudah pelbagai cara yang cuba dia lakukan bagi mendapatkan sebuah kemaafan. Tetapi, tiap usahanya menemui jalan buntu. Dia hampir berputus asa.
Sikap Habiel sukar untuk dia jangka. Dia seperti sudah tidak mengenali lagi lelaki yang bernama Habiel Syazwi. Suaminya itu tidak lagi seperti dulu. Suaminya sudah berubah sehingga kadangkala dia sendiri pun tidak dapat membaca hati dan juga kelakuan suami sendiri. Tetapi, Afaf bersyukur.
Setakat ini, Habiel tidak pernah menyakiti tubuhnya. Afaf tahu suaminya bukanlah seorang yang kaki pukul dan ringan tangan. Cuma kelakuan kasar saja yang kadangkala menyakiti hatinya. Afaf terima kerana dia tahu peritnya perjalanan yang suaminya lalui ketika dia meninggalkan suaminya itu hampir empat tahun lalu.
Afaf kembali tersedar dari lamunan. Pantas dia melangkah masuk ke bilik semula. Hampir dia terlupa, Habiel akan pulang sekejap lagi. Makan malam harus disediakan. Kalau tidak, melentinglah suaminya itu. Menu hari ini, dia hanya menyediakan telur dadar, sayur campur, dan tom yam.
Sementara menunggu kepulangan Habiel dari outstation, Afaf lebih suka menghabiskan masa di rumah. Apatah lagi, hari ini hari minggu. Dia dapat merehatkan diri dan minda. Bibirnya terus mengukir senyuman apabila terdengar deruman enjin masuk ke porch walaupun perlahan. Lantas dia arah pintu lalu dibuka.
“Afa dah siapkan makan malam. Abang nak makan dulu ke rehat dulu?” tanya Afaf. Beg pakaian Habiel terus disambut dan dipegang. Wajah kepenatan suaminya dipandang.
“Rehat dulu. Nak mandi dan solat.” Habiel terus berlalu ke tangga tanpa menunggu Afaf.
Langkah Afaf terus dibawa mengekori langkah si suami. Pakaian yang telah digunakan dimasukkan ke dalam raga. Pakaian bersih pula disediakan untuk suaminya yang sedang membersihkan diri. Sudah masuk waktu maghrib rupanya.
Usai solat maghrib, Afaf melihat bilik mereka hanya kosong. Pasti suaminya itu sudah turun ke bawah. Afaf kembali turun ke bawah dan terlihat Habiel sedang makan di dapur. Dia mengambil tempat di depan suaminya itu lalu menyenduk nasi ke pinggan sendiri. Disudukan lauk-pauk ke dalam pinggannya pula.
“Nak tambah lagi?” tanya Afaf apabila melihat nasi di pinggan Habiel hampir habis.
Habiel sekadar mengangguk. Afaf menyenduk nasi ke pinggan Habiel begitu juga lauk. Setelah itu, mereka hanya menikmati makan malam dalam keadaan senyap. Sehinggalah Habiel meninggalkan Afaf sendirian di meja makan. Afaf hanya mampu memandang. Habiel masih lagi bersikap seperti biasa. Dingin.
Selesai makan dan mengemas, Afaf naik semula ke atas. Dia melihat Habiel sedang duduk bersandar di kepala katil sambil menghadap laptop. Dia melangkah lalu berlabuh di birai katil.
“Abang tak penat ke?”
“Kenapa pula?” soal Habiel tanpa memandang Afaf.
“Yelah, baru balik dari outstation tapi abang masih lagi sambung kerja kat rumah.”
“Kenapa? Kau tak suka?” soal Habiel lagi bersama renungan tajam.
Gerun juga Afaf melihat renungan itu. Renungan maut.
“Bukan tak suka. Abang kan penat.”
“Kau peduli apa kalau aku penat?” Habiel terus berpeluk tubuh.
“Abang kan suami Afa.” Afaf cuba memaniskan wajah.
“Suami? Selama kau duduk di Australia tu, kau ada fikir tak aku ni suami kau? Sebelum kau keluar dari rumah mama, menipu orang dan terbang ke sana... kau fikir tak kau tu ada suami?” soal Habiel bertalu-talu. Pedih hatinya apabila memikirkan semula perbuatan yang telah Afaf lakukan. Buat panas hati saja.
Afaf terkedu.
“Kau tak fikir! Kau tak fikir semua tu.” Habiel sendiri menjawab soalannya. Kerjanya kembali disambung.
“Abang...”
“Stop! Kalau kau nak cakap kau nak minta maaf... stop. Aku muak!”
“Tapi abang...”
Dum! Terlayang fail di tangan Habiel ke lantai. Afaf terkejut.
“Berapa kali aku nak cakap, jangan minta maaf. Aku muak! Aku benci dengar ayat tu. Lepas lebih tiga tahun baru kau terhegeh-hegeh minta maaf. Kau ingat aku ni tunggul kayu bernyawa ke apa?!”
Terdiam lagi Afaf. Jantungnya berdengup kencang.
“Mudahnya kau minta maaf. Macam air!” bidas Habiel sedas.
“Kalau Afa tak minta maaf, Afa nak buat apa?” soal Afaf. Dia harus memberanikan diri. Dengan cara itu saja dia mampu lakukan untuk memohon maaf. Dia kesal.
“Tak perlu buat apa-apa. Sebab masa tidak boleh dibayar dengan hanya satu ungkapan iaitu maaf! Kau faham tu.” Habiel berkata dengan nada tegas sekali.
Angguk tidak. Geleng pun tidak. Afaf tetap diam menunduk.
“Kau nak tahu tak?” Habiel berjeda untuk melihat reaksi Afaf.
Kepala kembali diangkat. Wajah kacak suaminya dipandang. Menanti.
“Kau tahu tak berapa aku tunggu kau, Afa?” soal Habiel mendatar.
Tidak mampu untuk Afaf menjawab.
“Tiga tahun! Tiga tahun aku tunggu kau, Afa. Dalam masa tiga tahun tu, ada beribu hari. Dalam beribu hari tu, ada berpuluh ribu jam. Dalam berpuluh ribu jam, ada lebih sejuta saat. Kau bayangkan setiap saat aku tunggu kau balik, tapi hampa. Bayang kau pun aku tak nampak apatah lagi diri kau!” Habiel berjeda lagi.
“Di balkoni rumah mama, tempat selalu kau habiskan masa kau tiap hari... di situlah aku menunggu kau. Aku tak sangka, dalam masa lebih tiga tahun tu sekali pun kau tak pernah jejak kaki kau di bumi tanah air kau sendiri. Jangankan nak jengok aku, family kau pun tak kau jengok. Macam tu sekali kau buat pada kami semua, Afa.” jeda lagi. Nafas ditarik nafas lalu dilepas perlahan.
“Aku tahu kau kat mana dan buat apa kat Australia. Aku tahu kau sambung belajar kat sana tapi aku tak tahu kenapa tiba-tiba kau sambung belajar. Jauh dari aku dan family kau. Walaupun aku tahu kau berada kat mana, tapi aku tak nak pergi ke situ. Sebab.. aku nak tengok sejauh mana kau boleh lari.”
Tidak berkelip mata Afaf memandang wajah itu.
“Tiga tahun aku tunggu kau balik dan minta maaf sebab peluang kau untuk dimaafkan tu ada. Tapi, kau sia-sia peluang tu, Afa. Aku nak kau balik ikut jalan mana yang kau pergi dulu tu. Cuti semester... kau lebih rela kerja sambilan di kedai bunga berbanding balik ke sini.”
“Beritahu aku, Afa... hati suami mana yang tak hancur dengan sikap isteri dia sendiri. Suami mana, Afa? Sangat lepas kau buat semua ni. Kau balik dengan wajah langsung tak menggambarkan kau bersalah pada aku. Kau buat-buat tak tahu. Kau pergi macam tu aje, dan balik pun macam tu juga.” luah Habiel dengan perasaan kecewa. Sangat kecewa. Hatinya terlalu sakit dengan perbuatan Afaf.
Afaf mula teresak kecil.
“Afa tahu Afa silap. Afa menyesal, abang.”
“Dah terlambat, Afa. Hati aku ni terlalu sakit.” pangkah Habiel. Dia tidak tahu dimana salahnya sehingga Afaf memperlakukan dia sebegini rupa. Pergi dan pulang begitu saja.
Afaf teresak lagi.
“Aku tahu kau tak suka dengan perkahwinan ni dulu. Aku dah berikan kau peluang untuk lepaskan diri. Tapi kau yang tak nak. Kau lebih rela larikan diri macam tu daripada minta secara baik. Apa yang kau dapat, Afa? Apa yang kau nak sebenarnya ni? Apa dosa aku? Di mana silap aku? Kenapa kau tak beritahu aku kalau aku salah? Kenapa tak luahkan kalau kau ada rasa tidak puas hati pada aku, Afa? Kenapa kau buat semua ni?” soal Habiel bertalu-talu. Dia benar-benar ingin tahu apa alasan Afaf meninggalkannya secara tiba-tiba.
Terkelu. Lidah Afaf keras untuk menjawab semua soalan itu.
“Kenapa kau tak jawab?” soal Habiel lagi. Dia hairan dan pelik mengapa setiap soalannya tidak dijawab. Afaf seringkali membisu setiap kali ditanya soalan sebegitu rupa.
“Mama tanya kau tak jawab. Aku tanya pun kau tak jawab juga. Aku betul-betul tak tahu apa yang tengah kau fikirkan sekarang ni.” kata Habiel lalu meraup wajah. Buntu.
“Agaknya sampai aku mati pun kau takkan jawab kan, Afa.”
“Abang...” Afaf menegur. Dahinya berkerut.
“Apa? Kau nak jawab soalan aku?” soal Habiel dengan kening terangkat.
Perlahan helaan nafas dilepaskan.
“Tak kan. Okay. Aku penat dah, Afa. Jangan sesekali tanya aku penat ke tidak sebab menunggu kau selama tiga tahun lebih memenatkan! Berganda-berganda!” Kata-katanya sengaja ditekan dalam.
Apabila suasana kembali sepi, Afaf bangun dan berlalu ke kamar mandi untuk mengambil wuduk. Dengan cara itu saja dia dapat menenangkan hati. Dia berlalu ke ruangan solat dan menunaikan solat isyak. Usai solat, dia berteleku seketika atas sejadah. Merenung dan mengenang setiap dosa-dosanya pada si suami. Adakah Habiel redha?

YOU ARE READING
Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)
RomantikNak tahu jalan ceritanya, jemputlah baca. Malas nak tulis blurb. Start : 02.01.2023 End : 25.01.2023 ©Karya asli hak milik xtheaura ❌ Dilarang tiru, ciplak dan seangkatan dengannya. ✨ Jemput baca, komen dan vote jika sudi