AFA 35

2.4K 134 19
                                    

AFAF merenung tenang ke luar jendela kaca bangunan tinggi Perdana Holding itu. Awan yang berarak mendung seperti mengerti isi hatinya saat ini. Mendung seperti lubuk hatinya. Pelbagai masalah yang membelenggu fikirannya saat ini. Dari satu ke satu masalah.

Pagi tadi, ketika dia tiba di pejabat, gosip panas menampar gegendang telinganya. Pandangan sinis dan serong mula dilemparkan kepadanya. Itulah manusia. Menghukum dan mencerca tanpa usul periksa. Tetapi, salahnya juga kerana berahsia.

Kedua belah tangannya mula mendakap tubuh. Namun, tangan kanan tersasar ke arah perutnya yang kempis. Bibirnya mengukir senyuman nipis. Dalam dia diduga, ada satu nyawa yang menumpang. Pagi tadi sebelum ke pejabat, tiba-tiba hatinya tergerak untuk membuat pemeriksaan sendiri. Dua kali dia cuba ujian itu, kedua-duanya positif. Tetapi, khabar itu belum dimaklum kepada sesiapa termasuk suaminya sendiri. Biarlah dia dapat pengesahan doktor terlebih dulu.

"Afa."

Tersentak Afaf dari lamunan panjangnya. Tidak sedar pula waktu berlalu dengan begitu pantas sekali. Syasya dan Maya yang keluar makan tengahari pun sudah kembali.

"May..." Dia membalas teguran itu.

"Kau okay?" tanya Maya khuatir. Dari tadi dia memerhati kelakuan Afaf. Teman baiknya ini sudah tidak seperti dulu yang selalu ceria. Dia perasan, Afaf banyak mengelamun.

"Aku okay. Kau nampak aku macam tak okay ke?" tanya Afaf. Dia memusing tubuh menghadap Maya yang kini sudah berdiri di sisinya. Turut sama memandang ke arah bangunan yang pesat membangun.

"Yup, kau nampak tak okay." Maya menoleh memandang Afaf.

"Aku okay." Afaf kembali berdiri menghadap jendela.

"Tapi aku nampak kau sedang menipu kata yang kau okay." ujar Maya perlahan. Dia memandang Afaf yang tenang. Tiba-tiba benaknya mula menyibuk tentang sesuatu.

"Nak tanya apa, May? Tanya ajelah." Afaf yang perasan terus bersuara.

"Gosip tu, betul ke?" Tanpa kias, Maya bertanya.

"Aku tak nafikan." Afaf tersenyum nipis. Dah tiba masanya dia mengaku statusnya dengan Habiel.

Maya terkesima. "Maksud kau, semua tu betullah?"

"Ya. Kenapa nak tidakkan benda yang betul."

"Afa..." Sukar Maya untuk percaya. Afaf mengaku.

Afaf memegang dada yang tiba-tiba terasa berdebar. Matanya spontan terpejam rapat seketika apabila rasa sakit di bahagian abdomennya kembali menyerang. Pantas tangannya dialih ke bahagian itu. Ya Allah.

"Afa." Maya memegang bahu Afaf. Gusar melihat wajah Afaf yang tiba-tiba berkerut.

"May..." Afaf terus memegang lengan Maya seerat mungkin. Cuba berpaut.

"Kau kenapa ni, Afa? Muka kau makin pucat." tanya Maya kian gusar. Pipi kanan Afaf diusap sesaat dua. Dahi itu kelihatan sedikit berpeluh berbanding tadi.

"Teman aku ke toilet kejap." pinta Afaf penuh harapan. Dia sangat perlukan seseorang untuk membantunya. Dia rasai kudratnya sedikit lemah akibat kesakitan itu.

"Jom, jom..." Maya terus memapah Afaf ke tandas dengan langkah perlahan. Dia perasan pegangan Afaf pada lengannya bertukar menjadi cengkaman kuat.

"Ya Allah... sakitnya!" Afaf merintih perlahan.

"Kau sakit sangat ke, Afa?" tanya Maya sebaik saja mereka masuk ke dalam tandas.

Dengan lemah, Afaf mengangguk. Dia tidak mampu lagi untuk menipu.

"Afa..." Tiba-tiba suara Maya bertukar cemas apabila terpandang sesuatu di lantai.

Afaf yang turut perasan sesuatu terus menundukkan kepala. Dia terasa dunianya gelap untuk seketika apabila lelehan darah pekat di hujung tumit kakinya. Kepalanya mula rasa pening.

"Kau pregnant ke?" Sungguh Afaf terpanar.

"May, tolong aku May. Aku tak nak kehilangan anak aku, May. Tolong aku, May..." Lengan Maya digoncang kuat dengan perasaan cemas. Hatinya sudah terasa sebak.

Maya seperti baru tersedar. Bukan waktunya untuk dia bertanya soalan lain pada Afaf.

"Okay, aku keluar panggil Sya dan ambil pad ya. Lepas ni kita ke hospital."

Sebaik saja tiba di hospital, Afaf terus dikejarkan ke bahagian kecemasan. Sempat Maya memberitahu keadaan sebenar Afaf kepada jururawat.

"Ya Allah, selamatkanlah Afa dan kandungannya." ucap Syasya seraya berlabuh di kerusi menunggu.

Maya turut melakukan perkara yang sama. Tunduk dan berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar dan selamat. Perasaannya kian berdebar-debar sejak tadi.

"Aku takut, Sya." Maya memegang lengan Syasya.

"Aku pun takut, May. Kita berdoa ajelah supaya Afa okay."

Lama mereka menunggu sehingga seorang jururawat memanggil waris kepada Afaf. Maya dan Syasya terus menerpa ke arah jururawat itu.

"Awak berdua ni waris ke?"

"Tak. Kami kawan dia. Kenapa, nurse?"

"Kami perlukan waris untuk tanda tangan surat kebenaran."

Maya dan Syasya berpandangan sesama sendiri.

"Suami pesakit?"

"Err... suami Afaf outstation." Terpaksa Syasya menipu.

"Kami terpaksa melakukan pembedahan dengan segera."

Sebaik saja mereka keluar dari berbincang dengan doktor yang merawat Afaf, Syasya dan Maya terus berasa sebak. Setitis airmata tumpah namun, pantas diseka. Tidak dapat mereka bayangkan keadaan Afaf saat ini. Terduduk apabila mendengar kata-kata daripada doktor pakar tadi. Terpaku dan kelu.

"May, macam mana kita nak beritahu Afa nanti?" tanya Syasya dalam sendu. Dia tidak menyangka Afaf akan menerima ujian seberat ini. Sungguh di luar jangkaannya.

"Aku tak tahu, Sya." Maya menggeleng lemah. Dia turut buntu seperti Syasya. Tersandar ke dinding tanpa sebarang kata. Merenung, mengenang ujian yang terjadi ke atas diri Afaf.

"Jom, kita ke surau. Solat. Aku belum solat zohor lagi ni." Syasya mengajak.

"Bolehlah kita buat solat hajat sekali."

Syasya mengangguk setuju.

"Jom."

Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)Where stories live. Discover now