AFA 37

2.4K 119 19
                                    

SEPASANG mata bundar milik Afaf menjadi pemerhati ke arah Habiel. Suaminya itu sedang leka mengemas pakaiannya untuk dibawa pulang. Gembira tidak terkata. Tidak sanggup lagi menghadap cat berwarna pink dalam bilik ini. Kenangan pahit baginya.

Apabila melihat wanita lain teruja mengendong bayi yang baru menjengah dunia membuatkan dia dijentik rasa cemburu dan iri hati. Seharusnya dia berada di sini tujuh bulan akan datang bukannya sekarang. Ah, memikirkan semua itu boleh membuatkan dia rasa tertekan dan mula berfikiran negatif.

Tetapi, takdir Dia mengatasi segala-galanya. Tidak seharusnya dia menyalahkan takdir yang telah tertulis buat dirinya. Allah tahu apa yang terbaik untuknya.

"Abang dah siap kemas. Nah, pakai tudung ni." ujar Habiel. Melihat Afaf yang langsung tidak beriak, dia sendiri memakaikan tudung sarung itu ke kepala isterinya.

Afaf hanya membeku tanpa kata. Membiarkan apa saja yang mahu dilakukan Habiel padanya. Sedikit sebanyak dia bersyukur dikurniakan seorang suami seperti Habiel yang sangat memahami dirinya.

"Jom turun." Habiel menghulurkan tangan kepada Afaf.

Afaf sekadar memandang huluran itu. Tiada niat untuk menyambut.

"Oh, Afa nak abang dukung ya? Tak apa. Abang masih kuat lagi. Meh, abang dukung ajelah."

Tanpa sempat Afaf menghalang, Habiel terlebih dulu mencempung tubuhnya dan diletakkan ke atas kerusi roda. Habiel begitu sabar melayani sikap dingin yang dia tonjolkan.

"Akhirnya sayang abang ni dah boleh keluar hospital. Afa seronok tak?" tanya Habiel dalam nada teruja. Dia menyorong kerusi roda menuju ke arah lif.

"Hmm..." Afaf hanya menggumam bagi mengiakannya.

"Afa tunggu sini ya? Abang ambil kereta." kata Habiel apabila tiba di lobi hospital.

Angguk tidak, geleng pun tidak. Habiel terus berlalu dengan pantas untuk mengambil keretanya yang diparkir tidak jauh dari pintu lobi. Risau juga tinggalkan isterinya sendirian begitu.

Wajah Afaf terasa tebal berinci-inci apabila Habiel dengan selamba mengangkatnya masuk ke dalam kereta. Tetapi, wajah itu begitu bersahaja dan tenang walaupun berkali-kali dia menghalang.

"Maaf, sayang... abang cuma lakukan apa yang patut abang lakukan." ucap Habiel sebaik saja Habiel mulakan pemanduan keluar dari kawasan hospital itu.

Afaf hanya bersandar sambil memandang ke depan. Kata-kata suaminya sengaja tidak dibalas. Tiada sebarang mood untuk dia berbual dan bersuara.

"Kita nak balik mana ni? Rumah parents abang atau rumah kita?" tanya Habiel yang tenang memandu. Dia harus bersabar dengan karenah Afaf saat ini. Mungkin emosi isterinya itu masih terganggu dan terkesan dengan apa yang dah terjadi. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tiada siapa yang menduga.

"Rumah abah." jawab Afaf senada.

Habiel terus tersentak.

"Rumah abah?"

Afaf diam. Dia rasa dia sudah cukup jelas berkata tadi. Tidak perlu diulang tanya jawab lagi.

"Afa, jauh tu. Alor Setar." ujar Habiel cuba memujuk. Bukan niatnya untuk menghalang tetapi perjalanan ke sana akan memakan masa yang lama. Apatah lagi Afaf berada dalam keadaan begini. Dia risau.

"Afa nak balik sana."

"Tapi, sayang..."

"Abang tolonglah faham Afa. Afa nak balik sana." Afaf terus memandang wajah kacak suaminya. Dia benar-benar berharap agar suaminya ini menurut permintaannya.

"Tapi Afa masih tak sihat. Kita boleh balik sana nanti bila Afa dah betul-betul baik dan sihat. Abang janji berapa lama pun Afa nak tinggal kat kampung, abang tak kisah. Abang ikut Afa." Lembut Habiel memujuk.

"Afa tak boleh tunggu nanti, abang. Afa nak tenangkan diri kat sana bukannya kat KL ni. Dan Afa nak jauh dari sini." luah Afaf jujur. Dia benar-benar perlukan ketenangan. Fikirannya sangat berserabut.

"Afa nak jauh dari abang?" soal Habiel serta merta. Kereta terus diberhentikan di bahu jalan. Dia terus duduk menghadap Afaf yang mula membisu.

Afaf diam.

"Afa nak jauhkan diri dari abang kan?" Habiel menebak yakin.

Diam lagi. Helaan nafas dilepaskan perlahan. Benarkah itu kemahuannya saat ini?

"Kalau tu pilihan Afa, abang akan hantarkan Afa balik ke sana. Afa tenangkanlah fikiran Afa kat kampung nanti. Mungkin depan abang, Afa tak boleh tenangkan fikiran." ujar Habiel perlahan. Gear kembali dimasukkan dan pemanduannya mula diteruskan menuju ke arah utara tanah air.

Tiba-tiba perasaan Afaf diserang rasa bersalah. Dia rasa berdosa kerana menolak permintaan suaminya tadi. Untuk menarik semula kata-katanya tadi, dia sudah tidak mampu. Lidahnya sudah kelu.

"Siapa nak jaga Afa kat kampung? Afa tengah berpantang sekarang ni." tanya Habiel tanpa menoleh.

Afaf tersentak dengan pertanyaan itu. Dia turut memikirkan perkara yang sama.

Tak Sempurna Tanpa Kamu (✓)Where stories live. Discover now