Hareez tiba di tempat yang dijanjikan untuk bertemu Uwais. Dari jauh, dia dapat melihat sahabatnya itu kelihatan pucat, tubuhnya lemah. Dengan langkah perlahan, dia menghampiri Uwais, hatinya diselimuti rasa bimbang.
“Assalamualaikum. Ada apa ni, Uwais? Kau okay tak? Nampak lain macam je,” tanya Hareez penuh risau.
“Waalaikumussalam, Hareez...” Uwais terus menarik Hareez ke dalam pelukannya. Air matanya mula berlinangan, deras mengalir tanpa henti.
“Ya Allah, kenapa ni, bro? Tenang. Aku ada, Allah ada. Cerita dengan aku,” ujar Hareez, memujuk sambil menepuk-nepuk belakang sahabatnya, walaupun dirinya sendiri tidak begitu kuat untuk menanggung beban ini.
“Aku... aku suami yang tak berguna, Hareez. Aku tinggalkan isteri aku,” kata-kata Uwais teresak keluar, penuh kepiluan.
Hareez terdiam sejenak, mencari makna di sebalik kata-kata Uwais. “Tapi kenapa, Uwais? Kenapa sampai macam tu?”
“Aku rasa aku tak layak untuk dia, Hareez. Aku tak dapat terima mana-mana perempuan dalam hidup aku lagi. Aku takut menyakiti dia, membiarkan dia terseksa hidup bersama orang yang tidak mencintainya seperti dia layak dicintai,” luah Uwais, wajahnya berkerut, kelihatan begitu terseksa dengan perasaan yang menghambat dirinya.
“Allahuakbar, Uwais. Kau tak boleh buat macam ni. Semua ni cuma ego, faham tak? Sebenarnya, kau dah mula sayang pada dia. Cinta tu boleh hadir dalam pelbagai cara, tak semestinya yang kau bayangkan,” ujar Hareez, cuba menyedarkan Uwais.
“Apa maksud kau?” tanya Uwais, bingung.
“Kau tak sanggup lepaskan dia, kan? Dan kau tak sanggup tengok dia terseksa hidup dengan kau. Itu maknanya kau peduli, kau sayangkan dia. Jangan lawan perasaan tu, Uwais. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kau kena belajar merelakan, bersyukur dengan apa yang Allah dah beri pada kau. Isteri yang baik, cinta yang tak disangka-sangka. Sedarlah, Uwais. Allah dah bagi kau sesuatu yang bukan semua orang dapat,” kata Hareez penuh hikmah, kata-katanya menusuk jauh ke dalam jiwa Uwais.
Uwais terdiam, merenung jauh. Kata-kata Hareez seperti membuka mata hatinya, seperti memberi harapan baru yang selama ini tidak pernah disedarinya. “Terima kasih, Hareez,” katanya sambil mengelap air mata. Dia bangkit dengan semangat baru, langkahnya lebih teguh. Dia tahu dia perlu kembali kepada Aryani, isterinya. Dia tidak boleh terus menjadi suami yang lemah.
---
Hareez kini sendirian di taman itu. Fikirannya melayang, namun hatinya masih meresap dalam emosi Uwais. Dia menghirup udara segar, cuba menenangkan fikiran. Matanya tertumpu pada kanak-kanak yang riang bermain. Tiba-tiba, dia terfikir betapa indahnya zaman kanak-kanak, tanpa beban masalah, hidup hanya untuk bermain.
Tiba-tiba, seorang budak lelaki dalam lingkungan empat atau lima tahun menghampirinya.
“Assalamualaikum abang, saya nak tanya sikit boleh?” suara kecil itu bertanya dengan sopan.
“Waalaikumussalam. Boleh, adik nak tanya apa?” jawab Hareez sambil tersenyum.
“Haritu saya ada pergi masjid. Ustaz tu cakap kalau kita suka seseorang, kita kena simpan dan doakan dia sampai tiba masanya kita boleh halalkan dia. Apa maksud ustaz tu, bang? Sebab kalau saya suka, saya terus bagitau je, hihi,” kata budak lelaki itu sambil tersengih.
Hareez tersenyum kecil, hatinya terhibur dengan soalan polos budak itu. Namun, dia cuba menjawab dengan sebaik mungkin. “Maksud ustaz tu, kalau kita suka seseorang, kita simpan perasaan kita dan doakan dia. Sampai satu masa nanti, bila kita dah bersedia, kita kahwinlah dengan dia. Faham tak?” tanya Hareez, cuba menerangkan dengan lebih mudah.
“Faham,” balas budak lelaki itu sambil mengangguk. Dia melangkah pergi, tetapi tiba-tiba berpatah balik. “Tapi kan, abang…”
“Iya, ada apa lagi?” tanya Hareez dengan sabar.
“Abang pernah suka seseorang tak?” tanya budak itu dengan wajah penuh ingin tahu.
Hareez terkedu. “Pernah.”
“Wah, jadi sekarang abang dah kahwin dengan dia lah?” tanya budak itu lagi, wajahnya ceria.
Hareez tersenyum kelat, cuba menahan rasa di hati. Dia menggeleng. “Belum. Belum rezeki.”
Budak lelaki itu mengerutkan dahi. “Kalau macam tu, abang masih suka dia sampai sekarang? Kenapa abang tak kahwin dengan dia?”
Soalan bertubi-tubi itu membuatkan Hareez hilang kata. Dia menarik nafas panjang, lalu bersuara, “Abang dah suka dia lebih dari apa yang adik boleh bayangkan. Tapi abang rasa abang tak layak. Abang tak cukup baik untuk dia. Abang dah putus asa...”
“Kenapa abang nak putus asa? Abang kena semangat. Ustaz tu cakap kalau suka kena simpan kan? Sampai kita kahwin. Jadi, abang kena pastikan abang kahwin dengan dia. Sebab abang mesti dah usaha banyak untuk dapatkan dia termasuk usaha untuk simpan rasa tu,” kata budak lelaki itu dengan penuh yakin.
Hareez terdiam. Kata-kata itu bagaikan menyentuh sesuatu di dalam hatinya. Dia tersenyum, merasakan beban di bahunya sedikit terangkat. “Terima kasih, adik. Kenapa adik tanya soalan tu kat abang? Adik datang dengan siapa kat sini?”
“Saya suka dekat seseorang, tapi saya rasa saya tak layak. Lepas tu saya ada dengar ustaz cakap macam tu. Saya nak tanya, tapi tak ada tempat. Ibu dan ayah saya dah tak ada,” jawab budak itu dengan wajah polos.
Hareez terdiam, matanya mula berkaca. Dia memeluk erat budak itu. “Jangan putus asa, adik. Teruskan berdoa, sebab doa adalah kekuatan kita. Allah sentiasa dengar.”
Budak lelaki itu mengangguk, melambai tangan sebelum berlari ke arah kanak-kanak lain yang sedang bermain. Hareez memandangnya dengan senyuman. Hatinya merasa lebih tenang. Seolah-olah, budak itu diutuskan Allah untuk menyedarkannya, untuk menguatkan semangatnya yang hampir pudar.
Dia mendongak ke langit, merasai ketenangan yang meresapi seluruh dirinya. “Alhamdulillah, terima kasih, Ya Allah.”
Hareez akhirnya sedar, segala usaha dan doa yang selama ini dia lakukan tidak sia-sia. Cintanya pada Hawa bukan hanya mengubah dirinya, tetapi juga mendekatkannya kepada Sang Pencipta. Dan mungkin, dengan semua ini, dia akan lebih menghargai keindahan laut yang tidak dapat dia selami, hanya menikmati dari jauh, menunggu masa untuk berenang di dalamnya selama-lamanya.
---
Sembuh
Menyukai laut tidak harus masuk ke dalamnya. Cukuplah hanya duduk diam di tepinya, menikmati ombak, angin, dan mataharinya.
Aku pernah hampir tenggelam, tapi anehnya aku tidak pernah takut dengan laut. Aku malah semakin mencintainya. Tetapi demi keselamatanku, aku lebih memilih menikmati keindahannya dari tepian, memandang ciptaan Tuhan yang luar biasa indah itu.
Sehingga tiba waktunya aku mampu untuk berenang di laut buat selama-lamanya.
— Tulisan aku, Adam Hareez
YOU ARE READING
LOVE FROM A FAR // OG
Genel KurguAdam Hareezz, mengagumi seorang perempuan yang terjaga pakaiannya. Akhlaknya yang baik. Bermula sejak Sekolah Menengah lagi. Hawa Aisy, seorang yang terjaga akhlaknya. Pakaiannya. Tutur katanya. Semuanya hampir sempurna. Tidak pernah menyedari ada...