Aku berjalan tanpa hala tuju di tengah salji untuk meluaskan kawasanku. Makhluk-makhluk yang mendekatiku terus menjadi mayat dan terpaksa menjadi askarku. Ia memberikan pengajaran kepada makhluk lain yang melihat membuatkan mereka mula berlari keluar dari kawasan dan laluanku untuk menyelamatkan diri.
Serangan dari haiwan buas ke atas perkampungan yang berada berhampiran adalah satu amaran untuk serangan seterusnya yang lebih dahsyat. Ia sebagai simbolik bahawa aku akan mulakan perang dari skala kecil. Semakin banyak kematian, semakin ramai askar dan pengikut yang aku miliki.
Aku melihat dari langit ke arah satu kampung yang menempatkan Kaisara sebelum ini. Aku tidak perlukan rasa empati. Dengan melihat tangisan Kaisara mungkin dapat melatih aku untuk melihat tangisan mereka yang lain. Aku membuat keputusan tanpa pengetahuannya iaitu menjadikan kampung yang disayanginya itu sebagai sasaran pertama.
"Blast," sebutku lalu tanah di tengah kampung itu secara tiba-tiba meletup membuatkan burung-burung yang berada di kawasan itu mula berkicau panik. Bunyi letupan itu terus membuatkan penduduk di dalamnya menjerit dan bertempiaran lari. Beberapa penduduk juga maut akibat letupan tersebut.
Aku menghampiri dengan wajah tidak berperasaan, cuba untuk membiasakan diri dengan kekecohan yang sedang berlaku. Mereka yang menyedari kehadiranku terus menggigil dan melutut dengan wajah yang penuh kekeliruan.
"K-kenapa? Kenapa serang kami?" Soal seorang pemuda yang memeluk seorang anak kecil yang menjerit sambil menangis ketakutan. Aku hanya memandang tanpa membalas. Kerajaan yang berada di bawah pengaruh Elvind sememangnya aku akan lenyapkan satu per satu.
Tanpa membalas soalannya, aku terus membakar kediaman yang berada di situ membuatkan asap tebal mula berkumpul ke langit. Mereka yang lain mula menjerit dan bertempiaran lari. Ada antara mereka yang cuba membunuhku dari belakang dengan pedang namun belum sempat hujung pedangnya menyentuhku, tubuhnya aku letupkan tanpa belas. Hanya sisa cebisan daging dan darah menjadi bukti pembunuhan yang baru aku lakukan.
"Arghhhh!!! Ayah!!" Jerit seorang kanak-kanak lelaki. Aku mula merasai dendamnya pada aku. Matanya sangat mirip denganku dulu.
"Apa yang kau nak?! Apa yang kau nak dari kami?! Apa yang kami dah buat?! Apa salah kami?!!" Soal salah seorang lagi kanak-kanak bertalu. Ibunya memeluknya dari belakang seolah cuba menghalang kanak-kanak itu dari menghampiriku. Aku hanya berdiam, sejujurnya tiada alasan untuk aku menyerang mereka selain dari sebab mereka menjadi penduduk Elvind.
Setelah kediaman di sana habis dibakar aku terus meninggalkan mereka dalam keadaan keliru. Membiarkan yang hidup membawa berita menjadikan ia lebih mudah. Aku dapat rasakan berita ini akan sampai dengan segera dan hero-hero bakal dihantar kepadaku.
"Tuanku Deadass," panggil Zeon tepat pada masanya. Zeon melihat sekitar tempat ini sekilas lalu memandangku dengan wajah keliru.
"Saya tahu kita akan mulakan serangan tapi bukankah sekarang terlalu awal?" Soal Zeon kelihatan resah.
"Tak. Ia masa yang sesuai. Aku semakin kuat apabila aku dapat berlawan dengan seseorang yang lebih kuat," balasku dengan bersahaja. Wajahnya kelihatan runsing namun dia tidak membantah sebaik sahaja mendengar jawapanku.
"Kita akan jadikan mereka tawanan?" Soal Zeon melihat penduduk yang kelihatan ketakutan.
"Ya, sediakan tempat yang sesuai. Bunuh sahaja yang tak bekerjasama," balasku dingin. Zeon mengerutkan dahinya resah namun hanya menurut perintahku.
"Baik tuanku, kalian dengar kan? Lebih baik kalian tak cuba melawan mahupun cuba melarikan diri," ujar Zeon dingin. Namun ada beberapa dari mereka berdegil biarpun mendengar amaran Zeon dan terus melarikan diri. Zeon cuba menangkapnya namun aku terus memotong apabila tiba giliran untuk pemuda terakhir ditangkap.
YOU ARE READING
Deadass
FantasyMuka yang pucat dan bermata merah ibarat permata, rambut hitam pekat ibarat dakwat. Hanya berlatarbelakangkan anak kepada seorang gundik dia menjadi kelas bawahan dalam istana. Dengan ciri-ciri yang seolah ciri-ciri seekor demon, dia dituduh sebagai...