Iman langsung tidak berganjak dari tempatnya. Dari tadi dia terdengar esakan halus seorang gadis di sebalik rak-rak buku.
Iman di perpustakaan seperti biasa.
Matanya tertancap pada buku yang diraihnya beberapa minit yang lepas, tetapi pendengarannya fokus pada tangisan sedih gadis itu. Mindanya pun tidak dapat tangkap sebarang perkataan yang dibacanya. Iman hanya membaca dengan mata, bukannya dengan hatinya.
Sekejap dia memeriksa sekelilingnya, sekejap dia kembali membaca, dan sekejap dia perhatikan figura belakang Mira yang terduduk, memeluk kakinya sendiri rapat ke dada di sebalik ruangan kosong rak buku. Muka ditekup penuh dengan kedua belah tangannya. Bahunya terhincut-hincut. Mira seperti mengecilkan dirinya.
Iman menyandarkan sisi tubuhnya di rak. Dia teguh berdiri di lorong itu.
Jujur, Iman bingung mahu buat apa. Dia risau apabila dia menegur Mira, mereka berdua akan jadi kekok. Sudah tentu Mira tidak mahu ada sesiapa nampaknya. Tapi dalam masa yang sama, siapa tahu jikalau Mira perlukan seseorang untuk sedar akan kesakitannya.
Iman tetap berdiri di tempatnya sahaja tanpa sebarang bunyi. Hanya menemani Mira tanpa diketahuinya. Mata Iman layu sahaja memerhatikan gadis itu meringkuk dalam kesedihan.
Kertas yang berada di tangan Mira itu digenggamnya kuat.
•••
Hero mengetuk-ngetuk jarinya di paha. Telefon pintar ditangan ditenung lama. Bibir dikemam.
Nombor ayah yang tertera di skrin telefon terpapar. Dia mahu membuat panggilan, tapi dia was-was.
Iya lah, dia dengan ayah bukannya rapat sangat. Hubungan mereka tidak sama seperti hubungan anak dengan bapa yang normal di luar sana. Hero hanya bergerak seperti boneka ayahnya sahaja.
Tetapi dia pelik.
Tertanya.
Curiga.
Dia ingin tahu mengapa ayah bersikap lain daripada yang lain sejak dua menjak ini. Kenapa ayah bersikap asing, tetapi asing yang bagus. Asing yang membuatkan kehadiran Hero akhirnya disambut ayah kandungnya sendiri.
Dan yang paling mustahak untuk Hero tahu ialah, apa yang merasuk ayahnya untuk membayar bil hospitalnya semasa dia kemalangan beberapa hari yang lepas sedangkan itu bukan sifat ayah yang dia kenali sepanjang hidupnya?
"Aqil... apa betul kau cakap ni...?" soal Hero kepada dirinya. Aqil yang beritahu dia yang Dr. Reza telah membayarkan bil hospital Hero yang lalu. Akaun simpanan dia pula makin bertambah digitnya setiap minggu.
Sudah lama juga dia tidak hadiri janji temu yang selalunya akan dirancang oleh ayah.
Hero mengeluskan nafas berat. Dia bangun dari dudukan di sofa dan mengatur langkah keluar ke balkoni. Bunyi hon-hon kenderaan dan jalan yang sesak di bawah menenangkan Hero.
Liur ditelan kelat. Ditenungnya semula skrin telefon yang memaparkan nombor ayahnya itu sebelum dia membuat panggilan.
Setelah beberapa deringan, panggilan dijawab.
"Hello?"
"Ayah, ni Hero."
"Hrm, ada apa call?" Hero terdiam seketika. Intonasi ayah terus berubah menjadi mendatar. Mungkin tadi dia tidak lihat nama pemanggil. Hero tersenyum kelat. Dia tundukkan kepala, mengamati pemandangan laluan yang sibuk di malam hari.
"Hero nak tanya ayah something."
"Go for it." Senafas. Tak nak buang masa.
"Betul ke ayah yang bayar bil hospital Hero beberapa hari lepas?" Ayah di hujung talian sepi. Hero memperbetulkan posisi tubuhnya. "Ayah?"

YOU ARE READING
BLIND DATE [OG]
Romansa3 jejaka, beza personaliti, beza latar belakang, lain impian dan lain tarikan. Cuma satu sahaja persamaan mereka, iaitu... berharta tanpa kebahagiaan. Oops, mungkin ada dua persamaan, Bercita-cita tanpa adanya sokongan. - Seni bukanlah satu kemewaha...