RAIHANA terjaga perlahan-lahan. Mata dibuka, siling bilik dipandang kosong. Kepala terasa berat, dada masih menyimpan sisa sesak malam tadi. Dia berpaling sedikit dan sedar Ian sudah tidak ada di sebelah.
Sunyi.
Raihana bangun tanpa suara. Kaki melangkah ke lantai sejuk, tubuh digerakkan perlahan seolah-olah tidak mahu meninggalkan kesan. Dia berdiri seketika di hadapan almari, tangan terhenti sebelum membukanya.
Nafas ditarik dalam-dalam.
Pintu almari dibuka. Raihana mencapai beg sederhana besar, diletakkan di atas katil. Lipatan pakaian dibuat kemas, satu demi satu dimasukkan ke dalam beg.
Baju. Tudung. Barang asas.
Telefon dicapai. Raihana menatapnya lama sebelum memasukkannya ke dalam beg juga. Tiada mesej. Tiada panggilan.
Dia berhenti seketika, duduk di hujung katil. Pandangan jatuh pada ruang kosong di sebelah tempat Ian selalu baring. Hati beerdegup, tetapi Raihana cepat-cepat menenangkan diri.
Bukan kerana benci. Bukan kerana cinta. Tetapi kerana terlalu penat untuk terus bertahan dalam keadaan yang membuatnya rasa kecil dan tidak difahami.
"Saya perlukan ruang..." bisiknya perlahan, seolah-olah meyakinkan diri sendiri. Anak mata itu tidak kalih dari memandang ruang kosong di tempat Ian.
Beg ditutup. Zip ditarik perlahan, bunyinya kedengaran terlalu kuat dalam bilik yang sunyi. Raihana menyandang beg itu, melangkah ke pintu, berhenti seketika sebelum memulas tombol.
Raihana menarik nafas perlahan. Cuba untuk yakinkan dirinya.
Langkahnya keluar dari bilik itu ringan, tetapi hatinya berat. Pagi itu, Raihana tidak lari kerana takut, dia pergi kerana mahu ruanf, walaupun belum tahu ke mana arah yang akan dituju.
Kereta bergerak meninggalkan halaman rumah ketika langit masih kelabu. Raihana memandu tanpa membuka radio, tanpa menetapkan destinasi. Jalan di hadapan terbentang panjang, tetapi fikirannya kosong.
Dia tiada arah.
Tangan di stereng terasa longgar, seolah-olah dia cuma ikut gerak tubuh, bukan hati. Bangunan, lampu isyarat, papan tanda semuanya berlalu tanpa benar-benar disedari. Raihana hanya tahu satu perkara, dia tidak mampu untuk berpatah balik.
Air mata menitis tanpa suara. Bukan tangisan kuat, cuma aliran perlahan yang tidak mahu berhenti. Raihana menyapu pipi sekali-sekala, tetapi pandangan tetap kabur.
Kenapa Umi sanggup buat dia macam ni?
Soalan itu berlegar, tetapi tiada jawapan.
Kereta berhenti di satu persimpangan. Lampu merah. Raihana memandang telefon yang diletakkan di tempat duduk sebelah. Skrin gelap. Jari teragak-agak sebelum menyentuhnya.
Nama Aina terlintas di fikiran.
Tanpa banyak berfikir, Raihana memusing stereng laju, mengubah arah. Jantungnya berdegup sedikit laju, bukan kerana teruja, tetapi kerana akhirnya ada satu tempat untuk dituju walaupun....
Sementara.
Perjalanan ke rumah Aina terasa lebih senyap daripada biasa. Jalan yang dikenali itu membawa rasa lega yang kecil, hampir tidak terasa, tetapi cukup untuk membuatkan Raihana bernafas sedikit panjang.
Apabila kereta berhenti di hadapan rumah Aina, matahari mula menampakkan diri perlahan di ufuk. Raihana mematikan enjin, duduk seketika tanpa keluar. Tangan masih di stereng, bahu jatuh ke hadapan.
Raihana menghela nafas panjang. Telefon diambil dari tempat duduk sebelah. Skrin menyala, jari terketar sedikit sebelum menekan nama yang sama.
Aina.
Dering pertama.
Kedua.
"Hello?" suara Aina kedengaran.
"Aina..." Raihana bersuara perlahan. "Aku dekat depan rumah kau."
Terus sunyi di hujung talian.
"Apa?" suara Aina berubah cemas. "Kau datang rumah aku pagi-pagi buta ni kenapa?"
Raihana menunduk, mata memandang papan pemuka kereta. "Na...aku nak tinggal dekat rumah sehari dua boleh?"
"Izzah, Kau tunggu kat bawah aku keluar sekarang." jawab Aina laju.
Panggilan ditamatkan. Raihana meletakkan telefon di pangkuan, dada berombak. Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya jatuh juga, senyap-senyap, tanpa esak.
Beberapa saat kemudian, pintu rumah Aina terbuka.
Aina melangkah keluar tanpa jaket, rambut masih sedikit bersepah, jelas baru bangun. Matanya terus mencari satu benda sahaja.
Kereta Izzah.
Aina berjalan laju ke arah kereta itu. Tanpa berfikir panjang, dia membuka pintu sebelah pemandu.
"Zah..."
Satu perkataan itu sahaja sudah cukup.
Raihana yang sejak tadi menunduk terus mengangkat wajah. Mata yang merah, pipi basah, bibir yang bergetar cuba menahan sesuatu yang terlalu lama dipendam.
"Zah, kau kenapa ni? Apa dah jadi?" soal Aina lembut.
Raihana menggeleng perlahan, suara tersekat. "Aku penat, Aina..."
Aina tidak menunggu lagi. Dia condong sedikit, memeluk Raihana walaupun masih separuh duduk di kerusi pemandu. Pelukan itu kemas, penuh, tanpa soalan.
Dan di situlah, Raihana akhirnya tewas.
Tangannya mencengkam baju Aina. Tangisan yang ditahan sejak malam tadi pecah juga. Tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat bahu bergetar.
Nafasnya tercungap-cungap, seolah-olah baru dibenarkan bernafas selepas terlalu lama ditahan.
Aina tidak berkata apa-apa. Dia hanya mengusap belakang Raihana perlahan-lahan, membiarkan tangisan itu keluar sepuasnya.
"Aku ada, Zah." bisik Aina dekat telinganya. Dia buntu. Tidak tahu dengan keadaan rakan baiknya yang tiba-tiba sahaja mengeluarkan tangisan.
To be continued.
ANDA SEDANG MEMBACA
𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐁𝐮𝐚𝐭 𝐀𝐤𝐮 | 𝐂
RomanceIan Mikael | Nur Izzah Raihana IN EDITING!! Start: May 2024 End: August 2024
