Special Chapter : 5

1.8K 117 22
                                    

"Kenapa muka anak papa monyok je pagi ni?" Soal Syed Fateh Ghibran lembut. Anak matanya redup memandang anak perempuannya yang sedang duduk di kerusi depannya. Bunga Inara, itu nama anak perempuannya. Satu-satunya anak perempuannya bersama isterinya, Bunga Irdina. Dari tadi dia perasan wajah anaknya muram saja. Macam ada masalah pun ada.

Kepala digeleng perlahan. "Tak ada apa papa, Ara okey." Jawab Inara perlahan. Nasi di dalam pinggan dikuis-kuis perlahan dengan sudu dan garfu. Sesekali nasi itu disuap ke mulut. Tak banyak. Sikit saja. Sekadar buat alas perut.

"Bergaduh dengan kawan?" Soal Bunga Irdina pula. Selalu sebab ini saja Inara sedih begini. Dia kenal semua sahabat anaknya. Ian, Lukman dan Orked, itulah sahabat baik anaknya. Kawan sejak sekolah menengah lagi. Masakan saja dia tidak kenal. Ibu bapa mereka semua pun dia kenal.

Geleng. Tapi muka masih monyok.

"Ara ada masalah? Nak share dengan papa?"

Angkat wajah, wajah tampan papanya dilihat kejap sebelum kembali memandang pinggan nasi di depan. "Ian, Ian tak ingat birthday Ara semalam," jawab Inara perlahan. Dia memang tak boleh nak berahsia langsung dengan mama dan papanya. Sejauh mana dia elak pun, mama dan papanya pasti dapat tahu. Dia pun sejenis yang suka berkongsi cerita dengan kedua ibu bapanya. Hatta, benda itu kecil saja, dia selalu cerita pada ibu bapanya. Ya, dia anak manja. Sebab itu sekecil perkara akan buat dia terasa.

Terus berpandangan kejap Bunga dan Fateh bila Inara menjawab begitu. Wajah sedih Inara dilihat kembali. Keduanya melepaskan keluhan berat. Tak tahu, entah ke berapa kali anaknya kecewa begini. Mereka tahu Inara bukan kecewa biasa, tapi kecewa yang berat. Inara dan Ian sudah berkawan lama. Sejak dari sekolah menengah lagi. Kalau dikira, 16 tahun usia persahabatan Ian dan Inara. Tapi setiap kali itulah Ian selalu lupa segalanya tentang Inara. Hatta, tarikh lahir Inara pun Ian lupa. Mungkin benda ini nampak remeh saja, tapi bagi Inara benda ini menyakiti hatinya. Selalu Inara saja yang beria lebih, bila tiba masa Inara, Ian tiada ingatan langsung.

Seakan-akan Inara tidak penting.

"Papa rasa Ian busy. Sekarang kan syarikat dia banyak projek kena handle. Tak menang tangan Ian dibuatnya. Lagipun Daddy dia pun dah jarang masuk office dah kan?" Soal Fateh lagi. Mahu menenangkan hati Inara sebenarnya. Padahal dia sudah tahu yang bukan sebab itu Ian lupa. Dia lelaki, dia tahu. Tambah lagi dia juga pernah begini pada seseorang suatu ketika dahulu.

Dia faham kenapa Ian begitu. Mahu marah Ian? Memangnya dia siapa untuk kawal hati Ian?

Inara tersenyum tipis. "Sebelum-sebelum ni pun Ian selalu lupa birthday Ara. Ara bukan manja, Ara cuma sedih. Kami berkawan dah lama, tapi Ian selalu lupa tentang Ara. Apa persahabatan selama 16 tahun ini tak bermakna buat Ian?"

Bunga mengeluh lemah. Kesian anaknya.

"Sayang, Ian lupa wish bukan maknanya Ian lupa tentang Ara. Ian pun manusia biasa sayang, ada salah dan silap juga. Jangan sebab salah Ian yang ini Ara terus lupa apa kebaikan yang Ian dah buat sebelum ni." Tegur Bunga lembut. Jujur, dia sedih lihat anaknya terus-terusan sedih begini. Tapi apa boleh buat? Hati bukan boleh dikawal. Hati cuma mahu apa yang hati mahu.

"Jangan macam ni ya sayang?" Pujuk Bunga.

Lambat-lambat Inara angguk. Muka masih lagi monyok dan muram seperti awal-awal tadi.

"Sayang, ada sesetengah orang, dia tak pandai dalam meluahkan perasaan atau apa. Cukup Ian ada bersama Ara sampai ke hari ini pun bagi mama itu sudah memadai. Itu maknanya Ara masih lagi penting buat Ian. Ian dan Ara kan dah kawan lama. Mana mungkin Ian lupa tentang Ara. Dah, tak payah sedih ya? Mama yakin Ian terlupa. Nanti-nanti mesti Ian akan ingat juga."

Flower Path 2 (Complete)Where stories live. Discover now