SEMAKIN lama, semakin kabur pandangan Afina kerana air mata yang mula bertakung di tubir mata. Bibir sudah diketap kuat, sedaya upaya menahan diri daripada menangis. Dia sudah berjanji pada diri sendiri untuk terus kuat seorang diri. Tapi kenapa dia selalu terlihat lemah, lagi-lagi di hadapan lelaki ini?
Setitis demi setitis air mata yang jatuh, diseka dengan laju. Bukan waktunya untuk dia menangis sekarang ni. Lebih-lebih lagi apabila Adrean setia memerhati, dan menanti jawapan daripada dia.
"Fina masih perlukan masa?" Adrean menyoal. Masih lagi dengan soalan yang sama.
Dan kali ini, Afina tidak teragak-agak untuk menggeleng.
"Fina tak boleh.."
"Fina tak boleh terima saya?"
Tebakan Adrean langsung membuatkan Afina terdiam. Terasa pula sakitnya apabila mendengar ayat yang keluar dari mulut lelaki itu. Bunyi esakan halus mula kedengaran. Terhinjut-hinjut bahu menahan tangisan.
Andai Adrean tahu dia juga sedang berperang dengan perasaan sendiri.
"Afina.. saya buat semua ni bukan untuk tengok Fina menangis lagi. Kalau Fina masih lagi perlukan masa untuk buat keputusan, beritahu saya. Ambiklah banyak mana masa yang Fina nak. Saya boleh tunggu." Lembut tutur kata lelaki itu meski raut wajahnya sudah berubah cemas.
Bagaimana dia tidak cemas apabila tangisan Afina semakin lama semakin kuat. Agak beruntung juga mereka ditinggalkan berdua di halaman rumah. Kalau begini gayanya, nanti ada pula yang berfikir Adrean memaksa gadis itu untuk berkahwin. Naya...
"Fina minta maaf..."
Suasana menjadi sepi seketika sebelum Adrean melabuhkan punggung di sebelah Afina. Mendengarkan perkataan maaf itu, tahulah dia bahawa Afina benar-benar sudah menolak lamarannya.
"Boleh saya tahu, kenapa?"
"Fina tahu.. apa niat Abang Rean buat semua ni." Afina yang sedari tadi hanya menunduk, kini mengangkat wajahnya yang sudah basah dengan air mata. Langit cerah pada pagi itu dipandang seketika sebelum dia menoleh ke arah Adrean disebelah.
"Abang Rean cuma rasa kesian dekat Fina, kan?"
"Afina, saya—"
"Buanglah niat Abang Rean tu jauh-jauh. Abang Rean tak perlu korbankan kebahagiaan Abang Rean untuk perempuan yang Abang Rean langsung tak cinta." Potong Afina tanpa sempat Adrean menghabiskan ayatnya.
Ya. Dia tahu Adrean tak cintakan dia. Dia tahu Adrean cuma dihuni rasa simpati dengan apa yang berlaku semalam. Dan dia tidak suka diperlakukan sebegini hanya disebabkan rasa kasihan. Dia terasa hina. Sangat.
"Soal cinta, kasih dan sayang, kita boleh usahakan lepas kita kahwin."
Afina menggeleng. Senyuman kelat terukir di bibir pucatnya. "Ramai lagi perempuan dekat luar sana yang Abang Rean boleh pilih untuk jadikan isteri, macam yang Maklong kata. Sedangkan Fina, langsung tak ada apa-apa yang nak dibanggakan. Silap-silap, Fina hanya bawa nasib malang—"
YOU ARE READING
Angkara Afina [OG]
Romance↳✧・゚ AFINA | ADREAN ; Siapa sangka kepulangannya ke kampung halaman membuatkan kehidupan gadis bernama Afina Saffiyah berubah. Bertahun dia cuba menjauhkan diri, akhirnya dia bersetuju untuk kembali ke tempat asalnya. Dan sejak detik itulah, dia leb...