ADREAN langsung melangkah keluar dari perut kereta. Figura Afina yang lengkap berjubah dan bertudung labuh itu hanya diperhati dari seberang jalan. Hilang terus rasa tidak sabar dalam diri sebaik sahaja kedua anak matanya menangkap bayangan gadis itu.
Mana tidaknya, ini adalah pertemuan pertama dia dengan Afina selepas kejadian yang berlaku di rumah Tok Man tempoh hari.
Sudah lama dia tunggu saat ini.
Dahi Adrean perlahan-lahan berkerut. Senyuman yang terukir di bibir Puan Hayati membuatkan dia menjadi semakin keliru. Bukan dia tidak suka dengan apa yang mummy nya itu sampaikan, tetapi berita itu terlalu tiba-tiba untuk dia hadam.
"Tapi, Afina sendiri yang kata dia tak boleh terima Rean. Kenapa tiba-tiba jadi macam ni pula? Macam mana mummy buat?"
"Eh, kamu ni. Sepatutnya kamu tu bersyukur, Adrean. Hati Afina tu dah terbuka untuk terima kamu. Sibuk nak dipersoalkan pula." Puan Hayati menjeling. Nasib baiklah Afina terima atas bantuan pujuk rayu dia. Kalau tidak, hilang lah aura anak teruna dia yang seorang ini sebab kena tolak mentah-mentah.
"Bukan Rean persoalkan. Rean cuma tak sangka."
"Tak sangka, konon. Kamu tu yang tak reti nak memujuk. Tak reti nak yakinkan dia. Memanglah dia ragu-ragu nak terima."
Dibiarkan saja mummy nya itu membebel seorang diri. Nafas lega dihela. Langsung dia terbayang wajah Afina di ruang fikiran.
'Harraz Adrean... suami Afina.'
Adrean sengih sendiri. Hari itu, hampir setengah jam juga dia cuba tenangkan diri apabila dapat tahu yang Afina tiba-tiba ubah fikiran. Bukan main susah dia mengayat, mummy juga yang dapat pujuk.
Tak adil betul.
Hilang sahaja kelibat Marsya, Afina langsung melangkah ke arah Adrean. Sesekali dia meregangkan sendi otot lengannya yang terasa lenguh. Dua hari pergi kursus kahwin betul-betul membuatkan tulang dia hampir reput. Nasib baiklah Marsya setuju untuk temankan dia memandangkan Adrean sudah lama menjalani kursus itu.
Dan itu adalah 4 tahun yang lalu.
Tepat sahaja dia berdiri di hadapan Adrean, hujung bibir lelaki itu naik, menayang senyuman kecil ke arah Afina.
"Assalamualaikum."
"Dah kenapa awak ni? Buang tabiat?" sindir Afina. Sekali dengan pakej pandangan atas bawah Afina beri. Sebelum ni kalau nak culik, dia langsung culik aje. Sekarang, reti pula bagi salam?
"Dosa tau kalau tak jawab salam."
"Waalaikumsalam." Malas-malas Afina menjawab. Mata masih lagi tidak membalas pandangan lelaki itu. Saja nak cover line yang dia sebenarnya tengah malu nak hadap Adrean sekarang ni.
YOU ARE READING
Angkara Afina [OG]
Lãng mạn↳✧・゚ AFINA | ADREAN ; Siapa sangka kepulangannya ke kampung halaman membuatkan kehidupan gadis bernama Afina Saffiyah berubah. Bertahun dia cuba menjauhkan diri, akhirnya dia bersetuju untuk kembali ke tempat asalnya. Dan sejak detik itulah, dia leb...