SEBAIK saja Jebat melangkah keluar dari perut kenderaan, semua mata-mata pelanggan Warung Mak Ton sudah tertancap ke arahnya. Jelas ada reaksi terkejut di wajah mereka sehingga suasana yang riuh jadi sepi serta-merta. Seolah-olah kehadiran Jebat membawa kejutan kepada mereka.
"Kau orang ni macam tengok hantu je dah kenapa?" Mak Ton yang sedang membawa pesanan pelanggan mula sangsi tatkala pelangannya jadi sepi. Hanya kedengaran suara berbisik saja.
"Ton kau tengok tu."
Mak Ton melilau mencari sosok yang ditunjuk oleh Pak Atan. Tatkala pandangannya bertaut dengan sepasang mata helang si pemuda yang sedang memimpin tangan seorang budak lelaki, mulutnya sudah terpelongo. Kaget!
"Zafri? Bu... bukan Zafri dah arwah ke lemas kat laut dulu?"
"Betul. Arwah dah budak tu. Aku yang mandikan jenazah dia. Kafankan dia. Angkat tubuh dia masuk liang lahad. Tapi..." Pak Atan kematian bicara. Kepalanya digaru-garu melihat figura Jebat Khuwailid yang sudah melabuhkan duduk setentang dengannya.
"Tapi... muka dia sebiji macam Zafri! Cuma yang ini nampak sado tak macam Zafri yang kurus kering." Suara Hairi pula kedengaran. Tak lekang anak matanya memerhatikan penampilan Jebat yang kelihatan kemas itu.
"Mak cik! Nak order!"
Tatkala Jebat memanggil, hampir saja Mak Ton tersedak air liur mendengar suara garau Jebat. Ya Tuhan, bukan wajahnya saja sama tapi suara Jebat juga saling tak tumpah seperti arwah Zafri. Seakan-akan di hadapannya saat ini Zafri pelanggan setianya. Lantas, Mak Ton menghampiri Jebat dan Elman.
"Ada menu apa je mak cik?" Sungguh, Jebat pelik dengan setiap pandangan penduduk kampung di Warung itu. Apa dia punya salah sehingga mereka memandangnya umpama dia ini penjenayah?
Memanglah dia bekas banduan yang dimasukkan ke penjara kerana merompak rumah ketua kampung. Tapi bukan kampung Jasmine jadi pilihannya!
"Mak cik? Saya tanya ni. Ada menu..."
"Maaf... mak cik ni tengah dalam keadaan terkejut tengok muka kau." Mak Ton tersengih kelat. Dia mencapai menu yang terletak di meja kosong seraya dihulurkan kepada Jebat.
"Kenapa dengan muka saya? Saya... ada buat salah ke dekat orang kampung? Dari saya masuk warungni, semua pandang saya macam saya ni penjenayah. Kenapa?"
Mak Ton menghela nafas panjang. Serba salah dibuatnya bila Jebat mula tertanya-tanya dengan pandangan orang kampung. "Muka kau... seiras macam salah seorang penduduk kampung kat kampung kami ni. Tu yang semua terkejut bila kau datang."
"Tapi... orang tu dah meninggal kira-kira tujuh tahun yang lalu. Lemas kat laut." Pak Atan pula menambah seraya duduk di sebelah Jebat.
Mendengar hal itu, Jebat sedikit terpempan. Patutlah pelanggan di Warung ini memandangnya dengan riak terkejut. Tapi, Kenapa ya dia rasa dejavu dengan pandangan-pandangan mereka ini? Sewaktu dia baru sampai di rumah Nek Timah juga wanita itu memandangnya dengan reaksi terkejut.
Aneh.
"Kau orang baru pindah kat kampung ni ke?"
"Tak. Cuma singgah kat rumah nenek majikan saya. Saya bukan orang kampung ni."
Pak Atan terangguk-angguk. Ada saja akalnya ingin menyibuk tentang Jebat. Sekurang-kurangnya, berbicara bersama Jebat dapat mengurangkan rasa rindunya buat arwah Zafri. Manakan tidak, dek Zafri itu sebatang kara sudah lama dia menganggap Zafri sebagai anaknya sendiri.
"Siapa majikan kau?"
"Puan..."
"Uncle! Elman lapar. Elman nak fries boleh?" pintas Elman yang sudah merengek kelaparan.
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Romance𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...