DADA langit yang kelihatan mendung pada petang itu menandakan sebentar saja lagi hujan akan turun. Tubuhnya disandarkan di badan kereta. Jebat berpeluk tubuh sambil menghembuskan kepulan asap rokok ke udara.
Sesekali, angin yang bertiup lembut menampar kulit wajahnya. Nyaman. Tunak anak matanya memerhatikan wanita muda yang hanya duduk termenung di hadapan sebuah pusara.
Jelas, terpancar mendung di wajah Jasmine Qasrina yang baru saja menyedekahkan surah yassin buat penghuni kubur.
"Kerja kau senang je. Jaga anak dengan cucu aku lebih penting daripada kau jaga nyawa kau sendiri!"
Tatkala pesanan Datuk Zali terngiang-ngiang di telinga, Jebat tersenyum sinis. Dia memijak puntung rokok seraya memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam saku seluar.
"Jasmine Qasrina... apa yang berlaku dalam hidup kau sebenarnya sampai kau bergaduh dengan si jahanam? Muka kau... kenapa penuh dengan kesedihan? Eh, tapi bagus juga kalau kau orang anak beranak bergaduh. Senang kerja aku..."
Jebat menggaru pelipisnya yang tak gatal. Pelbagai strategi sudah bermain di benak fikiran pemuda itu. Dia mengerti bahawa hubungan Jasmine dan Datuk Zali tak begitu baik. Itu peluang emas untuk dia menjadi racun dalam hidup keluarga musuhnya itu.
"Kau silap percaturan. Tak sepatutnya kau tugaskan aku untuk jaga anak kau, orang tua. Kalaulah kau tahu aku hidup... cuma nak hancurkan keturunan kau seperti mana kau hancurkan arwah ayah aku dan kakak aku. Macam mana kau buat mak aku menderita."
Tak semena-mena, rintik-rintik hujan bagaikan butiran peluru yang membasahi lantai bumi. Jebat mendongak. Membiarkan saja titisan hujan membasahi wajahnya yang penuh dengan dendam. Keluhan berat dilepaskan. Tanpa berlengah, Jebat mengambil payung yang terletak di bonet kereta.
Langkah diatur menghampiri Jasmine yang sedang mengusap batu nisan. Ada senyuman pahit terukir di bibir wanita muda itu. Sontak, langkah Jebat jadi perlahan. Pandangannya tajam memerhatikan Jasmine yang sesekali mengesat air mata yang mengalir ke pipi.
Kenapa dengan dia? Kenapa hatinya ini membuak-buat ingin mengetahui isi hati Jasmine Qasrina?
"Mama... Jasmine janji Jasmine akan kuat macam mama. Jasmine tak akan sesekali... biarkan perampas tu buat papa lupakan mama. Selagi Jasmine hidup, Jasmine akan pertahankan mama dalam hidup papa."
Jasmine menghela nafas panjang. Tak lagi mempedulikan dirinya yang basah kuyup. Dia mahu melepaskan rindu buat si ibu. Enam tahun dia tak dibenarkan pulang atas alasan Jasmine perlu fokus dengan rawatan psiaktrinya saja.
"Anak mama dah kuat. Anak mama tak akan biarkan sesiapa jatuhkan dia lagi. Jasmine tak akan biarkan kita kalah dengan perempuan tu. Dia tak ada hak untuk buang mama dalam hidup papa!"
Selangkah demi selangkah, Jebat menghampiri Jasmine seraya melindungi wanita itu dari kebasahan. Jadi, Jasmine juga punya isu dengan ibu tirinya. Satu lagi peluang untuk Jebat hancurkan keluarga Datuk Zali. Melalui Jasmine Qasrina.
"Puan..."
Jasmine tersentak tatkala suara Jebat kedengaran. Kaget tatkala pemuda itu sudah berdiri di sisinya. Memayungi dirinya dan Membiarkan pemuda itu kebasahan. Perlahan-lahan, Jasmine bangun. Mengesat lembut air mata yang membasahi pipinya.
"Kita nak pergi mana lagi lepas ni?"
"Bukan saya suruh awak balik ke tadi?"
Jebat menjongketkan kedua-dua bahunya. Tangan kirinya dimasukkan ke dalam poket seluar. "Puan tak faham lagi ke?"
"Faham apa?"
"Kerja saya sebagai bodyguard puan."
Jasmine berkerut. Geram pula melihat sifat selamba Jebat menjawab. Ya Tuhan. Dia tak suka dikongkong seperti mana Jebat mengongkongnya saat ini. Jasmine mahu bersendirian! Apatah lagi dia tak mahu melihat wajah pemuda seiras dengan Zafri ini.
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Любовные романы𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...