EPISOD 5

894 117 14
                                    

"NEK MAH tak nak bawa Jas tu pergi berubat kat mana-mana ke? Dah dua bulan Zafri meninggal. Dua bulan ni jugalah Jasmine tak boleh nak terima kenyataan yang laki dia dah tak ada."

Sebaik saja melangkah keluar dari kedai runcit, Nek Timah sudah disergah oleh Mak Ton. Keluhan kecil terbit di bibir wanita berbaju kurung kedah sambil menjijit barangan dapur.

Sungguh, Nek Timah sudah lali dengan soalan yang tak putus-putus dipertanyakan kepadanya.

"Nak berubat macam mana? Dia bukan kena guna-guna orang. Jiwa dia yang terseksa sekarang ni. Kau orang macam tak tahu dia dengan arwah tu rapat sejak kecil lagi. Apa-apa, Zafri yang selalu jaga Jasmine. Bagi kasih sayang dekat dia. Bila Zafri dah tak ada, cucu aku tu rasa kehilangan. Aku pun dah tak tahu nak buat apa lagi."

Mak Jah mencebik sinis. Kipas tangan dikibas-kibas ke wajahnya yang membahang panas dengan mentari. Inilah orang kolot. Akal cetek yang tak mahu usaha cari jalan untuk menyembuhkan wanita muda yang sudah meroyan itu.

"Jasmine tu muda lagi, Nek Mah. Takkan nak biarkan dia meroyan terus? Dah macam orang sasau aku tengok..."

"Jah!"

Mak Ton mencegah. Dijengilnya mata ke arah Mak Jah yang beriringan dengannya pulang ke rumah. Tak mahu mengguris hati Nek Timah yang dilanda masalah.

"Cucu aku tak gila..."

"Memanglah dia tak gila. Tapi dah ke arah nak gila kalau dibiarkan meroyan. Nak lagi budak tu baru lepas bersalin. Boleh terputus fius otak dia kalau hormon tak stabil."

Nek Timah kelu untuk berbicara. Dia mengiakan. Emosi Jasmine yang kurang stabil akan menjejaskan kesihatan mental wanita itu. Bahkan, sudah dua kali Jasmine hampir bunuh diri!

"Kalau susah sangat, apa kata Nek Mah hantar je Jasmine tu balik rumah papa dia. Takkanlah anak bertuah Nek Mah yang kaya raya kat bandar tu nak biarkan je anak tunggal dia jadi gila? Ye dak?"

Mendengar hal itu, langkah Nek Timah pulang ke rumah semakin perlahan. Angin pada pagi itu tak lagi terasa nyaman. Lidahnya kelu untuk berbicara tatkala samar-samar ruang memori mengimbas kali terakhir dia bersua muka dengan anaknya itu.

Kira-kira tiga tahun yang lalu. Itu pun berakhir dengan ketegangan hanya kerana Jasmine nekad mahu bernikah dengan Zafri.

"Harta yang arwah isteri dia tinggalkan tu banyak kut. Takkanlah tak boleh bawa anak sendiri berubat? Anak seorang tu pun susah nak jaga..."

"Jah! Dahlah tu. Jangan nak tambah kusutkan Nek Mah. Kita doa je yang baik-baik untuk Jasmine. InsyaAllah di sebalik kesusahan ni Allah akan bantu keluarga Nek Mah." Mak Ton cuba menjernihkan suasana tika mulut rakannya masih tak putus-putus melontarkan rasa bengangnya.

Kasihan dengan jirannya yang sudah muram itu.

"Aku cakap benda yang betul. Haih! Nilah... susah bila dah lupa daratan. Lupa anak. Lupa mak sendiri. Apalah nak jadi dengan si Zali tu. Sejak dia kahwin dengan janda tu dibuang aje si Jasmine tu sesuka hati."

Tak putus-putus, Mak Jah melemparkan amarahnya. Hidungnya sudah kembang kempis memikirkan Zali yang tak menjalankan tanggungjawabnya menjadi ayah buat Jasmine.

Dia simpati dengan wanita muda itu.

"Anak aku sibuk..."

"Sibuk sampai tak jenguk langsung jenazah arwah menantu dia? Tak sempat nak tengok keadaan anak dia sendiri? Sibuk tu hanya alasan, Nek Mah!"

Tak semena-mena, Mak Jah terjerit kesakitan tatkala pinggangnya dicubit oleh Mak Ton. Berkerut dahi wanita berkebaya merah itu tatkala pinggangnya terasa perih.

KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING) Where stories live. Discover now