"PUAN... tak ada kelas ke hari ni?"
Elisa menanggalkan kasut jogingnya seraya diletak ke dalam rak kasut. Langkah diatur menghampiri Jasmine yang kelihatan sibuk dengan lukisan di atas meja kerja.
"Elman tak berapa sihat hari ni. Saya risau nak tinggalkan Elman. Cuti sehari tak apa pun." Garis-garis halus dilorek di atas kertas kanvas. Jasmine tersenyum pahit tatkala pandangannya bertaut dengan Elisa buat seketika.
"Saya boleh jaga Elman. Puan kan baru je masuk kuliah. Takkan nak ponteng..."
"Lisa, kalau suatu hari nanti awak dah jadi ibu, mesti awak tahu betapa sesaknya hati seorang ibu bila anak kita sakit. Lagipun, saya bukannya ponteng pun. Baru sehari saya tak datang kelas untuk jaga Elman je."
Jasmine melangkah masuk ke dalam kamar Elman. Mahu memeriksa keadaan si kecil yang diserang demam panas. Lantas, Jasmine melabuhkan duduk di sisi Elman yang sedang tidur seraya mendemah dahinya.
Panas!
"Nak saya tolong apa-apa tak?"
"Tak apa." Jasmine meletakkan tuala muka yang sudah dibasahkan di dahi Elman. Wajah pucat si kecil ditatap sayu. Ya Tuhan, Jasmine risau dengan keadaan Elman tika ini. Anaknya ini mudah benar jatuh sakit.
"Pucat muka Elman ni, puan. Kita kena bawa dia ke klinik. Saya drive..."
"Saya dah panggilkan doktor tadi. Katanya sebab cuaca. Kita kan baru nak selesakan diri kat sini. Nak lagi budak macam Elman yang senang jatuh sakit ni," pintas Jasmine seraya mengucup lembut kepala Elman. Tenang saja melihat anak kecil itu tertidur.
Elman memang kuat. Jarang sekali Elman merengek meskipun usianya baru setahun.
Elisa melabuhkan duduknya di sisi Elman. Segaris senyuman terukir di bibir melihat kasih Jasmine yang tulus buat putranya. Dalam diam, Elisa kagum dengan setiap usaha Jasmine yang sentiasa bangkit untuk kuat setelah kehilangan suami.
"Puan pun kena rehat juga. Saya tengok siang malam puan sibuk dengan kerja-kerja melukis puan tu. Next time saya nak bawa puan dengan Elman pergi jogging. Kita cuci mata tengok mat salleh sado kat taman."
Jasmine tertawa kecil. Kepalanya tergeleng tatkala Elisa mula loyar buruk. Ada-ada sajalah ulah pengawal peribadinya ini.
"Tak habis-habis dengan mat saleh awak tu kan."
"Eh of course! Sambil kerja sambil cari jodoh. Penatlah single ni. Tu mak saya kat kampung asyik tanya "Lisa, bila engko nak kahwin? Alang-alang kau dah kat negara orang putih tu kau carilah satu yang mata biru ke mata hijau ke. Ada rupa juga anak kau nanti. Mix macam ais batu campur banyak warna." Hah! Mak saya selalu push macam tu!"
Elisa mengeluh berat. Lali dibuatnya bila si ibu mendesaknya untuk mencari jodoh.
Bagi Elisa, dia masih belum puas menjadi seorang anak dara yang bebas tanpa komitmen sebagai isteri."Ada-ada jelah awak ni, Lisa. Tak apa. Lima tahun kita duduk sini, semoga rezeki mak awak yang berkenan nak ada menantu orang putih tu termakbullah ya."
Jasmine membetulkan duduknya bersandar di kepala katil.
Tangannya ligat mengusap lembut ubun-ubun Elman. Dengan harapan, sentuhannya bisa menyembuhkan anak kecilnya."Puan macam mana?"
"Macam mana apa?"
Elisa berdeham. Pandangannya bertaut dengan majikannya. Berat pula hatinya mahu bertanya. Risau jikalau Jasmine terasa hati. Namun mulutnya ini sudah tak tertahan lagi sehingga terucapnya soalan yang bermain di fikiran.
"Tak nak cari pengganti? Ayah baru untuk Elman?"
Senyuman Jasmine terasa pahit serta-merta tatkala soalan itu membuatkan dia terpempan. Jasmine tertunduk. Menekur cincin belah rotan pemberian arwah Zafri semasa mereka disatukan dengan lafaz akad.
YOU ARE READING
KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING)
Romantizm𝙹𝙴𝙱𝙰𝚃 𝙺𝙷𝚄𝚆𝙰𝙸𝙻𝙸𝙳 𝙹𝙰𝚂𝙼𝙸𝙽𝙴 𝚀𝙰𝚂𝚁𝙸𝙽𝙰 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒖𝒅𝒂...