EPISOD 12

687 95 17
                                    

"AKU dah cakap dah kan buat masa sekarang jangan jumpa kakak kau dulu! Tapi kau degil. Terlalu ikutkan emosi sampai kau sendiri yang sedih bila tengok kakak kau langsung tak boleh nak tengok muka kau lagi."

Tori melabuhkan duduknya di sisi Jebat yang hanya mampu termenung memerhatikan jalan raya yang kelihatan sibuk di pekarangan hospital pada pagi itu. Wajah sepupunya dipandang dengan rasa simpati. Jelas, kekecewaan masih terpancar di wajah Jebat.

"Kakak kau trauma. Dia tak boleh nak jumpa kau sebab dia akan thrigger..."

"Dengan siapa ayah aku berhutang sampai kakak aku yang kena bayar semua hutang ayah aku tu dengan maruah dia?"

Soalan spontan Jebat membuatkan Tori terdiam. Suara parau pemuda itu cukup menjelaskan Tori betapa hancurnya seorang Jebat tika ini.

Tori mengerti. Bukan mudah untuk Jebat menerima kehancuran dalam keluarga sepupunya itu. Ayahnya dituduh membunuh dan memperkosa. Bahkan, Jebat menjadi saksi maruah kakaknya tergadai di tangan manusia keji.

"Aku tanya ni ayah aku berhutang dengan siapa?"

"Aku tak tahu..."

Sontak, Jebat mencengkam baju Tori sehingga tubuh mereka saling berlaga. Giginya dikacip menahan geram. Amarah semakin membakar dinding hati pemuda berkulit sawo matang itu.

"Dulu, aku percaya kata-kata kau pasal kematian ayah aku sampai aku sanggup masuk penjara semata-mata untuk cari jawapannya. Ya! Aku jumpa klunya melalui Keong. Melalui Hamdun! Takkan kali ni kau tak tahu siapa yang dah buat kakak aku merana!"

Keluhan berat dilepaskan. Tori menepis kasar tangan Jebat yang seakan mencekak lehernya. Pandangannya bertaut dengan mata helang Jebat yang masih tertutup dengan kesan lebam kebiruan itu.

"Tak semua benda aku tahu."

"Tapi macam mana kau tahu ayah aku tak bersalah? Macam mana kau tahu Keong ada kunci di sebalik semua tanda tanya yang bermain di kepala otak aku ni?"

Soalan bertalu-talu daripada Jebat membuatkan Tori terkelu. Terasa kelat liur di rangkungannya tika itu. Pandangannya dialihkan. Rokok yang tersisip di kocek seluarnya dikeluarkan. Dihulurkan sebatang kepada Jebat.

"Ambil ni. Bikin hilang stres kau."

Jebat mendengus dengan sikap acuh tak acuh Tori. Dia bangun seraya melangkah masuk ke dalam hospital. Tak betah lagi berlamaan di hadapan Tori tatkala emosinya kian bercelaru. Entah mengapa firasat Jebat kuat mengatakan bahawa Tori tahu tentang si pelaku yang sudah menghancurkan maruah Shana.

Apatah lagi pekerjaan Tori sebagai bartender di kelab malam milik seorang ketua kongsi gelap.

Oh Tuhan, fikiran Jebat benar-benar bercangkaliwang. Segala tanda tanya semakin mengasak fikiran Jebat hingga dia jadi lelah. Keluarga bahagianya kini musnah sekelip mata angkara musuh yang tak dikenali!

🥀🥀🥀

ALUNAN piano dengan irama yang lembut di dalam ruangan itu membibitkan ketenangan di ruang hati Jasmine. Pandangannya menerawang memerhatikan dekorasi bertemakan moden ketomparari itu. Cat dinding berwarna krim yang lembut, wangian Lavender yang menusuk rongga serta hiasan pokok di penjuru dinding kelihatan damai.

Langkahnya terhenti di hadapan sebuah lukisan minyak yang menggambarkan suasana sebuah perkampungan. Pepohon hijau serta lautan biru yang terbentang luas di dalam lukisan itu membuatkan Jasmine rindu dengan suasana di kampung halamannya.

Apa khabar ya Nek Timah kesayangannya itu? Meskipun baru dua minggu mereka berjauhan namun rindu Jasmine buat neneknya tak pernah padam.

"Puan Jasmine sukakan lukisan?"

KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING) Where stories live. Discover now