EPISOD 23

564 85 18
                                    

"RINDUNYA Jasmine dekat nenek! Nenek makin berisi ya sekarang. Tengah bahagia ke?"

Nek Timah tersenyum kelat tatkala Jasmine memeluk erat lengannya sambil beriringan ke ruangan dapur. Cucunya ini benar-benar tampak ceria. Namun, melihat figura Jebat yang sedang menggendong tubuh kecil Elman membibitkan tanda tanya di benak fikiran wanita tua itu.

Apa Jasmine baik-baik saja tika berhadapan dengan Jebat?

"Cucu nenek dah balik, mestilah nenek bahagia. Nenek dah sediakan lauk kegemaran Jasmine tau. Dah lama sangat kan Jasmine tak makan masakan nenek," tutur Nek Timah. Ada getaran di sebalik nada suaranya. Sungguh, betapa luluhnya dia dengan kehadiran Jebat Khuwailid.

Wajah pemuda itu... bikin dia rindu dengan arwah cucu menantunya.

"Kenapa nek?"

"Apa yang kenapa?"

Buat seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan Nek Timah. Hatinya kuat mengatakan neneknya ini masih diserang kejutan. Jasmine mengerti. Mereka berhadapan dengan sosok seseorang yang mempunyai wajah seiras dengan Zafri. Sungguh, itu bukan hal yang mudah untuk diterima.

"Muka bodyguard kau... sama macam Zafri. Tapi kenapa kau nampak tenang, Jasmine? Cucu nenek okey aje kan?"

Soalan Nek Timah benar-benar merenggut kekuatan Jasmine sekelip mata. Senyumannya pudar. Jasmine menghela nafas panjang. Kalaulah Nek Timah tahu betapa luluhnya jiwa Jasmine setiap kali Jebat ada di depan mata...

"Jasmine... okey je nek. Jangan risaulah."

Jasmine toleh ke belakang. Pandangannya bertaut dengan Jebat yang sedang mendudukkan Elman di atas bangku. Namun, anak kecil itu masih merengek. Tak mahu lepas daripada dukungan Jebat.

"Elman nak duduk dengan uncle Jebat. Elman tak nak makan." Elman memeluk erat tubuh Jebat. Kepalanya disandarkan di dada bidang pemuda itu. Tenang rasanya berada dalam dukungan Jebat.

Melihat tingkah Elman yang manja buat Jasmine bungkam. Kepala Elman diusap lembut. Manja benar anaknya ini dengan Jebat. Walhal, baru saja dua minggu mereka saling berkenalan.

"Elman... sini dengan mama. Salam oyang dulu."

Elman menggeleng. Gerun melihat wajah tua Nek Timah yang sudah tersenyum sambil menyenduk nasi ke atas pinggan.

"Elman... janganlah degil..."

"Tak apa puan. Puan makanlah dulu. Saya boleh tolong uruskan Elman sekejap. Lagi pun, puan mesti dah lapar. Lama sangat kita hadap jem tadi."

Jasmine mencebik. Dahinya berkerut tatkala Jebat seakan-akan mahu memanjakan Elman seolah-olah Elman itu anaknya Jebat saja. Jasmine tak puas hati!

"Baik awak balik je. Tak payah susahkan diri ikut apa yang anak saya nak. Saya tak suka awak manjakan anak saya sangat! Nanti makin menjadi-jadi manja budak ni bila ada dengan awak."

"Saya tak manjakan anak puan. Cuma cara puan ni kasar sangat. Kalau pun puan tak suka dengan saya, tak payahlah lepaskan emosi tu dekat Elman. Dia tak tahu apa-apa lagi."

Hampir saja Jasmine terpelongo tatkala Jebat memprotes. Dinding hatinya seakan-akan terbakar. Mahu saja dia merampas tubuh Elman dalam dukungan Jebat. Mana mungkin dia membiarkan Elman bermanja dengan pemuda yang tiada kaitan dengan mereka ini.

"Kenapa pandang macam tu? Tak puas hati cara saya layan Elman lebih lembut daripada ibu dia sendiri?" Jebat masih memprovok. Mahu mengajar Jasmine bahawa menjadi seorang ibu itu tidak boleh berkasar dengan anak.

"Eh! Saya ni majikan awak tau! Jaga sikit mulut tu bila bercakap dengan saya. Dah! Letak Elman atas kerusi tu dan pergi dari sini. Tak payah nak acah-acah memahami tugas seorang ibu, tugas seorang ayah!"

KAU YANG TAK TERGANTI (ON GOING) Where stories live. Discover now