LANGIT pagi itu terlihat mendung, seolah masih diselubungi mendung sisa hujan semalam. Tanah pula masih terasa lembapnya, menandakan ia masih belum mengering sepenuhnya.
Bersama langkah yang cermat, Alice menyelusuri lorong sempit di antara deretan kubur-kubur di sekelilingnya sebelum matanya terpateri pada sebuah pusara yang amat dikenalinya. Perlahan-lahan, pusara yang terletak sedikit dalam itu dihampirinya.
Allahyarhamah Nazarine binti Ismail
Lahir: 7 Oktober 1981
Wafat: 23 Mac 2013
Al-Fatihah
"Assalamualaikum, ibu." Suara Alice perlahan, memberi salam tatkala dia selamat tiba di hadapan pusara tersebut.
Tikar yang dibawa sudah dibentangkan seraya Alice melabuhkan duduknya di situ. Rasa sayu mula bertandang di hati tatkala batu nisan yang memaparkan nama ibunya itu disentuh. Meskipun sudah 11 tahun ibu pergi meninggalkannya, dilema di hatinya tetap sama.
Tidak mahu melanjutkan rasa sedihnya, tangan mula mencapai Yassin yang berada di dalam beg tangan. Usai berniat, helaian surah Yassin itu mula dibuka. Rasa tenang mula menyelubungi diri tatkala bait-bait ayat itu meniti di bibirnya. Sesungguhnya sudah agak lama ketenangan seperti ini tidak dirasakannya.
"Sadaqallahulazim."
Ungkapan terakhir itu diucapkan menandakan bacaan Yassin itu sudah selesai. Alice kemudiannya membaca surah tersebut di dada seraya melabuhkan ciuman lembut di helaian tersebut. Seketika rasa sayu kembali bertamu tatkala batu nisan ibunya ditatapnya lama.
"Ibu.." Batu nisan milik ibunya kembali disentuh.
"Lis minta maaf sebab dah lama tak lawat ibu. Lis sibuk sikit." Bicara Alice perlahan.
"Kalau ibu nak tahu, sekarang Lis dah dapat kerja. Lis kerja tempat yang sama dengan Lela tau." Bibir Alice tersenyum tatkala bercerita. Teruja apabila dia kembali dapat meluahkan semuanya kepada ibu.
"Lis sekarang kerja dekat hotel. Imperial nama hotel tu. Nama bos Lis pula Encik Ray. Dia baik sangat tau, ibu. Dia banyak tolong Lis. Kawan-kawan kerja Lis pun baik-baik semuanya. Lis seronok sangat kerja dekat situ." Luah Alice lagi dengan senyuman yang melebar.
Seketika helaan nafas berat kedengaran terbit dari bibir Alice sebelum perlahan-lahan senyumannya memudar. "Ibu nak tahu tak? Bulan lepas kan.. Lis dapat tawaran sambung belajar dekat Amsterdam. Lis dapat course yang Lis minat tu. Yang Lis pernah bagitahu ibu dulu." Senyuman tawar terukir di bibir Alice buat seketika.
"Tapi.. Lis tak dapat pergi." Kenyataan berat itu Alice utarakan bersama air mata yang kian terkumpul di pelupuk mata. "Sebab.. surat tawaran tu mama koyakkan. Mama buang dalam api." Titisan demi titisan air mata Alice gugur ke pipi.
"Mama cakap, Lis tak layak sambung belajar dekat sana. Tapi ibu sendiri tahu kan cita-cita Lis? Lis memang dah lama teringin nak ke sana." Suara Alice kian tenggelam tatkala air mata tidak berhenti dari terus mengalir.
Sejujurnya sebelum dia memilih untuk melawat ibunya di sini, dia sudah berjanji untuk tidak mengalirkan sebarang air mata. Namun, dia sendiri tidak mampu tahan air matanya dari mengalir. Lebih-lebih lagi apabila luahan itu hadirnya dari luka yang masih berbekas.
Tangan naik mengusap air mata seraya segaris senyuman kembali terukir di bibirnya. "Tapi tak apalah. Mungkin bukan rezeki Lis kan nak pergi sana." Jujur, rasa sedih itu masih ada. Tetapi dia juga yakin akan ketentuan yang Maha Esa.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
