18

20.8K 865 63
                                        

BEG KERTAS di dalam pegangan Alice letakkan di atas meja sebelum kedua belah tangannya ditepuk beberapa kali. Tangan yang sedikit pedih dipicit lembut bersama dahi yang berkerut. Menyesal pula rasanya menolak pertolongan Hafiz yang ingin menolongnya semasa di dalam lif tadi.

Alice menjingkit sedikit tubuhnya bagi melihat barangan yang berada di dalam beg kertas tersebut. Tangan pula mencabut resit yang di-stapler pada beg kertas tersebut bagi memeriksa semula jikalau ada barang yang tertinggal daripada senarai yang ditulisnya semalam.

Ding! Dong!

Tingkah Alice automatik terhenti tatkala bunyi loceng penthouse berbunyi nyaring. Dahinya turut berkerut seribu memikirkan siapa gerangan yang datang pada waktu-waktu sebegini.

"Takkan Encik Ray kot? Dia tak bagitahu pun dia nak balik?" Soal Alice pelik.

Loceng rumah sekali lagi berbunyi buatkan Alice segera menuju ke arah tersebut. Pintu kemudiannya dibuka lalu susuk tubuh seorang wanita berpaling buatkan bibir Alice mengukir senyuman manis.

"Assalamualaikum, puan." Alice menundukkan tubuhnya sedikit.

Puan Sri Qadijah turut sama mengukirkan senyum sebelum wajahnya berkerut, cuba mengingat sesuatu.

"Eh, awak. Saya kenal awak!" Wajah Puan Sri Qadijah kembali bercahaya apabila dia dapat mengecam wajah gadis di hadapannya itu.

"Puan kenal saya?" Soal Alice kembali bersama jari yang diunjukkan ke arahnya. Wanita di hadapan ini mengenalinya? Biar betul?

"Ya. Awak kan yang kerja dengan Bibah dekat rumah saya haritu?"

Soalan yang ditanyakan oleh wanita itu turut sama mengingatkan Alice kembali. Patutlah dia sepertinya kenal akan raut wajah wanita itu. Rupa-rupanya wanita di hadapannya ini ialah Puan Sri Qadijah yang ditemuinya semasa katering majlis doa selamat 2 bulan lalu.

Tetapi siapa pula Puan Sri Qadijah pada Encik Ray? Mengapa wanita ini datang ke penthouse lelaki itu? Kerana setahunya untuk naik ke penthouse ini perlu punya kad akses yang pastinya orang tertentu sahaja yang ada.

"Haah, Puan Sri. Saya lah tu." Alice mengangguk kepalanya laju manakala Puan Sri Qadijah sekadar mengangguk sambil tersenyum.

"Awak kerja dengan cucu saya?" Puan Sri Qadijah bertanya lagi tatkala dia lihat uniform yang tersarung pada tubuh Alice itu.

Persoalan Alice akhirnya terjawab tatkala Puan Sri Qadijah menyoal sebegitu. Encik Ray ialah cucu kepada Puan Sri Qadijah rupanya.

"Betul, Puan Sri." Alice mengangguk lagi.

"Ish, apa pula Puan Sri? Panggil aje Tokma." Puan Sri Qadijah menyentuh bahu Alice lembut bersama gelengan.

Alice tersenyum lebar mendengarkan kata-kata Puan Sri Qadijah itu sebelum dia sedar akan sesuatu. "Masuklah dulu, Tokma. Lis buatkan air." Terleka benar dia sampaikan Puan Sri Qadijah tidak dijemput masuk.

"Nama apa?" Sambil melangkah masuk, Puan Sri Qadijah menyoal nama gadis itu.

Alice tertawa kecil. "Lupa pula nak kenalkan diri. Nama saya Alice. Tokma boleh panggil Lis aje." Ujar Alice penuh sopan.

Puan Sri Qadijah pula sekadar tersenyum saat mendengarkan nama gadis tersebut.

Alice..















Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang