19

21.2K 822 80
                                        

UNTUK yang kali keberapa entah, Alice bersin lagi. Kali ini lebih teruk daripada semalam. Tidurnya juga tidak lena akibat hidungnya yang gatal hampir setiap saat. Posisi tidur sudah diubah, bantal juga sudah ditepuk namun lena langsung tidak menjemputnya.

Bangun daripada pembaringan, Alice kerling jam di dinding. 4 pagi. Masih terlalu awal untuk dia bangun dan bersiap ke tempat kerja. Tetapi setelah difikir-fikirkan, daripada dia kekal baring dan akhirnya masih tidak mampu tidur, lebih baik dia bangun dan tunaikan solat tahajud. Dapatlah juga pahala.

Sesudah mandi, sejadah mula dibentangkan dan tuntutan sunat itu dilaksanakannya. Bermula dengan tahajud dan berakhir dengan solat Subuh setelah dia dengar azan berkumandang. Terasa lapang benar dadanya pagi itu meskipun matanya terlihat sembap.

Usai mencabut telekung, terus sahaja Alice menyalin pakaian seragam kerja. Sarapan paginya juga cuma sekadar 3 keping biskut dan segelas nestum oleh kerana dia tidak berapa sihat untuk memasak. Sesungguhnya hanya orang yang menghidap cold-induced rhinitis sahaja yang faham betapa seksanya apabila hidung terasa gatal dan berair setiap saat.

Tepat jam 7 pagi, Alice sudah melangkah keluar dari rumah. Memandangkan dia memilih untuk berjalan kaki pada pagi ini, maka dia harus keluar satu jam awal daripada rumah. Lebih-lebih lagi dengan cuaca yang sejuk seperti sekarang, kemungkinan besar dia akan berjalan lewat.

Usai mengunci pintu pagar, payung yang berada di dalam pegangan sudah bersedia untuk dibuka. Meskipun cuaca tidak hujan, tetapi tetap sahaja Alice mengambil langkah berjaga-jaga. Boleh jadi apabila dia sampai ke hotel nanti dia basah kuyup.

Tatkala Alice baru sahaja dalam perjalanan untuk bergerak, secara tiba-tiba ada sebuah kereta yang berhenti betul-betul di hadapannya. Tubuh Alice berpaling ke tepi, menatap ke arah kereta berwarna hitam tersebut. Cermin kereta yang turun secara perlahan-lahan memperlihatkan seorang lelaki yang sudah berusia.

"Assalamualaikum. Maaf Pak Mat tanya. Tapi anak ni nama Alice kan?" Soal Pak Mat pada gadis yang berada di hadapannya ini.

Kening Alice berkerut sedikit namun kepalanya mengangguk mengiyakan. "Ya, pakcik. Tapi macam mana pakcik tahu nama saya?"

Pak Mat senyum. "Anak boleh panggil Pak Mat aje." Pak Mat memperbetulkan Alice. "Macam ini, pagi tadi Encik Ray ada telefon pakcik. Katanya suruh jemput anak nama Alice dekat taman ni." Beritahu Pak Mat panjang lebar.

Mendengarkan nama Ray disebut, automatik tubuh Alice menegak. Benarkah apa yang dia dengar dari mulut Pak Mat ini?

"Encik Ray?" Soal Alice kembali dan Pak Mat sekadar mengangguk.

Dahi Alice berkerut lagi. Pelik. Mengapa Encik Ray tiba-tiba sahaja menyuruh Pak Mat mengambilnya? Tanpa beritahu pula tu? Takkanlah oleh kerana dia beritahu pada Ray yang dia berjalan kaki ke tempat kerja, Ray memilih untuk berbuat sedemikian?

Aneh.

Alice berfikir sejenak sebelum dia kembali memandang ke arah Pak Mat. "Tak apalah, Pak Mat. Saya tak ada duitlah nak bayar tambang." Tolak Alice sopan sambil mengukir senyum. Sungguh tika ini dia tidak punya cash di tangan.

"Tak apa. Anak tak perlu bayar. Encik Ray dah bayarkan." Jelas Pak Mat bersungguh.

Bibir Alice menghela nafas pula. Jika tadi dia pelik, sekarang ini dia sudah mula penasaran. Mengapalah Encik Ray berbuat sebegini? Sudahlah memanggil teksi. Tidak cukup dengan itu, tolong bayarkan tambang pula. Serba salah dia dibuatnya.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang