20

23.2K 870 86
                                        

GRAND BALLROOM Imperial ketika itu sedikit sibuk dengan berbagai jenis persiapan. Memandangkan VVIP mereka kali ini merupakan salah seorang tetamu terpenting yang bakal menginap di penthouse maka pasukan penthouse juga harus turun padang dan bekerjasama bersama pasukan pengurusan acara bagi menyempurnakan persediaan agar terlihat sempurna.

"Backdrop punya lighting dah check ke belum, Ejat?" Suara Kak Gee kedengaran bergema ke seluruh dewan buatkan pandangan Alice terhala ke arah tersebut.

"Ish Kak Gee! Berapa kali dah mak cakap jangan panggil Ejat! Panggil lah mak!" Ejat menghentak kakinya tanda tidak puas hati.

Tawa mereka semua yang berada di situ bergema melihatkan drama diantara Kak Gee dan Ejat. Alice turut sama tersenyum buat sesaat sebelum dia kembali fokus pada gubahan bunganya.

Namun tidak sampai beberapa saat, Alice sepertinya berada di alam lain tatkala dia kembali mengenangkan kata-katanya pada Ray semalam.

"Terima kasih encik sebab dah bawa saya pergi klinik dan hantar saya balik. Cuma lain kali tak perlulah encik susah-susah. Saya boleh pergi sendiri."

Tika ini terbit rasa menyesal di hatinya apabila berkata sedemikian kepada lelaki itu buatkan dia berdecit kecil. Entah apalah yang merasuknya semalam sehinggakan dia berasa kecewa terhadap kata-kata Ray padanya. Sungguh apa yang Ray katakan itu memang benar belaka.

Dia hanyalah pekerja dan Ray adalah majikannya. Dan wajarlah jika seorang majikan membantu pekerjanya meskipun pekerja itu bukanlah dirinya.

Apalah agaknya reaksi Ray semalam setelah mendengar bicaranya? Pasti lelaki itu berfikiran bahawa dia bersikap aneh atau lebih teruk lagi Ray beranggapan bahawa dia bersikap tidak profesional?

Ah, tolonglah jangan! Dia masih belum mahu kehilangan pekerjaan. Jujur dia sudah mula sayangkan Imperial meskipun tidak sampai sebulan dia berkhidmat di sini.

"Aduh!"

Aduhan Alice yang kedengaran begitu kuat itu mendapat perhatian semua yang berada di situ. Tersedar daripada lamunan jauh, mata Alice kini tertancap pada tangannya yang sudah tercucuk duri tajam. Desisan terbit dari bibirnya apabila rasa sakit mula menjelma.

"Darah! Ee, mak takut darah!" Ejat terlebih dahulu menjerit apabila melihat darah yang menitis di tangan Alice.

"Ish, dia ni!" Semua yang berada di situ menjeling Ejat akibat reaksinya yang berlebihan itu.

"Ejat, pergi tolong ambilkan kit!" Arah Elya pada Ejat. Akur akan arahan itu, terus sahaja Ejat mengangguk kepalanya dan berlalu pergi.

Rasa ngilu yang hadir buatkan Alice terpaksa menggigit bibirnya bagi menahan sakit.

"Ini mesti sebab asyik mengelamun kan?" Putri menggeleng kepalanya berkali-kali bersama mata yang memandang ke arah Alice.

Alice sekadar tersengih apabila tekaan Putri itu benar belaka. "Tak perasanlah ada duri." Alice beri alasan munasabah.

Semua yang berada di situ turut menggelengkan kepala sambil tertawa mendengarkan alasan Alice itu.

"Kenapa ni?"

Suara tegas itu bergema dari belakang buatkan suasana berubah dalam sekelip mata. Serentak, mereka semua berpaling bersama tubuh yang kaku sebaik sahaja mata tertancap pada seseorang yang berdiri di hadapan mereka.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang