Televisyen yang sedang memaparkan filem bukaan Aspalela menjadi tatapan mata Alice sedari tadi. Tubuh disandarkan ke belakang bersama siku yang diletakkan pada sofa.
Kring! Kring!
Telefon bimbit Alice berdering buatkan fokusnya mula berubah. Mata serta-merta mengerling ke arah skrin telefon bagi melihat nama si pemanggil. Namun tatkala nama 'Papa' yang terpapar, Alice sekadar membiarkan sahaja dan kembali menatap televisyen.
Aspalela yang baru sahaja tiba bersama dua mug berisi air coklat turut mengerling sama ke arah telefon milik Alice sebelum dia labuhkan duduk di sebelah gadis itu.
Untuk hari ini sahaja, sudah hampir berapa kali telefon itu berdering minta diangkat. Tetapi walau sekali pun tidak Alice angkat tanpa dia tahu apa sebabnya.
"Kenapa kau tak angkat call papa kau tu? Aku tahu dia mesti tengah risau pasal kau, Lis." Tanya Aspalela usai dia letakkan kedua-dua mug tersebut di atas meja.
"Aku tak sedia lagilah, Lela." Jawab Alice perlahan.
Aspalela hembus nafas. "Masalahnya sampai bila, Lis? Masuk harini aje dah 4 hari kau dekat rumah aku." Bebel Aspalela.
Alice terdiam. Sedar tidak sedar sudah 4 hari dia tidak pulang ke rumah. Dan selama 4 hari ini jugalah dia mengangkat sebarang telefon atau mesej daripada papa.
"Nak taknak, kau kena juga balik rumah." Sambung Aspalela lagi. "Ya, aku tahu kau mampu lagi nak hadap dua orang ahli sihir tu tapi kau tak kesiankan papa kau ke? Dia call kau tak angkat. Dia mesej kau tak reply. Padahal dia tak tahu pun apa yang jadi tapi dia pula yang separuh mati cari kau." Ujar Aspalela penuh bersungguh-sungguh.
Alice diam lagi. Sejujujurnya apa yang Aspalela katakan itu tiada salahnya. Sememangnya dia juga bersalah kerana menghiraukan papa begitu sahaja sedangkan papa tidak terlibat langsung di dalam hal yang berpunca daripada mama dan kakaknya.
Tetapi..
"Kenapa cara kau cakap macam tengah halau aku? Kau tak suka ke aku tinggal sini?" Lain pula yang disoalnya pada Aspalela.
Aspalela berdecit. "Ish, bukanlah. Kalau kau nak tahu, aku sangatlah tak kisah kau nak duduk berapa lama pun kat sini. Nak tinggal sini terus lagilah aku tak kisah." Sungguh-sungguh Aspalela menjawab.
"Tapi kalau ya pun, biarlah papa kau tahu keberadaan kau." Itu yang paling penting sebenarnya.
Alice angguk-angguk kepalanya faham.
"Lagipun kan Lis.. kau tak fikir ke bila kau tak balik macamni, macam-macam cerita yang 3 orang ahli sihir tu boleh buat untuk burukkan kau? Diorang tu dahla jahat. Buatnya diorang hasut-hasut papa kau, kau mana tahu?" Aspalela mengangkat-angkat keningnya di hadapan Alice.
Tubuh Alice kejung buat seketika. Tidak dapat dia nafikan bahawa teori Aspalela itu ada betulnya. Meskipun setakat ini hal seperti itu belum pernah terjadi tetapi sikap mamanya itu tidak akan mampu dijangka.
"Air,"
Huluran mug yang diberikan oleh Aspalela itu Alice sambut dengan ucapan terima kasih. Mug tersebut dibawa ke bibir bersama fikiran yang masih memikirkan soal teori tersebut.
Keluar sahaja dari dewan peperiksaan tika itu, Ray tidak mampu tahan dirinya dari tersenyum lebar. Mana tidaknya? Hari ini merupakan hari terakhir dia berada di German sebelum dia berangkat ke Malaysia untuk pulang ke rumah dan bertemu ahli keluarganya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Roman d'amour[1st romance] Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam perjalanan hidup yang pen...
