SETELAH seharian berkurung di dalam bilik selepas peristiwa dimarahi Tan Sri Alias tempoh hari, Alice memilih untuk turun ke bawah. Meskipun dia masih kecewa dengan tingkah papa yang sedikit pun tidak mempedulikannya, dia tahu dia harus belajar untuk menerima kenyataan tersebut.
Sayup-sayup kedengaran suara ahli keluarganya saat kakinya perlahan-lahan turun ke bawah. Lagaan sudu dan pinggan yang turut kedengaran menandakan bahawa mereka sedang bersarapan. Jadi ada kemungkinan mereka tidak akan menegurnya.
Hela nafas, Alice teruskan melangkah sehingga anak tangga terakhir. Namun tatkala dia baru sahaja tiba di bawah, nama diseru dek Ungku Faizah buatkan langkah kakinya terhenti.
Tubuh automatik terpusing dan wajah seorang demi seorang dari mereka mula kelihatan kecuali wajah papa. Tan Sri Alias sepertinya langsung tidak menghiraukannya kerana papa sedang sibuk menjamu sarapan tanpa berpaling.
"Lis nak pergi mana tu? Taknak makan dulu?" Soal Ungku Faizah dengan nada lembutnya. Seperti biasa, wajah wanita itu mempamerkan senyuman palsunya.
"Tak apalah. Lis tak lapar." Alice geleng kepalanya. Meskipun dia lapar tetapi dia belum bersedia untuk berada satu meja bersama orang yang telah menyakiti hatinya.
Ungku Firyani yang turut berada di meja makan tersebut melihat Alice dengan riak wajah yang penuh rasa bersalah. Lebih-lebih lagi setelah dia tahu apa yang telah mama dan kakaknya lakukan kepada Alice, makin meninggi rasa kasihannya pada adik tirinya itu.
"Tapi semalam seharian Lis tak turun makan. Nanti sakit macam mana?" Ujar Ungku Firyani tatkala dia lihat Alice sudah berura-ura ingin pergi. Nadanya ikhlas, tidak dibuat-buat seperti selalu.
"Biarkan dia."
Meriding bulu roma Alice mendengarkan bicara papanya yang kedengaran begitu dingin.
"Kalau dia rasa dia nak turun makan, dia makan. Tapi kalau dia rasa dia nak terus berkurung dekat dalam bilik tu pun, biarkan. Tak ada siapa halang. Dah besar sangat kan?" Sambung Tan Sri Alias seraya dia bangun dari duduk.
Alice menelan air liurnya payah tatkala ayat Tan Sri Alias itu jelas-jelas ditujukan padanya. Mata terasa panas bersama air mata yang kian bertakung di pelupuk mata.
"Fai nanti jangan lupa bersiap. Hana dengan Yani pun sama. Malam ni kita makan luar," ujar Tan Sri Alias buat kali terakhir sebelum bayangnya hilang ke dapur.
Mereka bertiga sekadar mengangguk manakala Alice pula kekal statik berdiri tatkala namanya tidak disebut sama.
Papa.. sudah benar-benar bencikannya?
Tanpa menunggu lama, Alice terus sahaja meninggalkan kawasan rumah bersama rasa hampa yang kian menggunung. Sungguh dia tidak percaya bahawa semudah itu papa membuangnya tanpa mendengar sedikit pun penjelasannya.
Lis kecewa dengan papa..
Lis kecewa..
"JOM teman aku lunch." Ujar Carl sebaik sahaja dia tolak pintu bilik Ray. Kakinya diorak masuk ke dalam lalu duduknya dilabuhkan di atas kerusi berhadapan lelaki itu.
Ray angkat wajah, memandang Carl di hadapan. Jam di tangan pula dikerling buat seketika sebelum dia kembali menatap skrin komputer.
"Kau pergilah sorang. Aku ada kerja." Ucapnya ringkas.
Carl berdecit kasar mendengarkan ujaran Ray. Tak habis-habis dengan sibuknya.
"Alah, kerja tu nanti-nanti jelah. Isi perut dulu." Carl cuba memujuk.
"Aku tak lapar." Jawab Ray laju.
"Tapi aku lapar." Balas Carl pula.
Ray hela nafas. Anak matanya tajam menikam wajah Carl. "Kau memang tak boleh makan sorang ke?" Ujar Ray berbaur sindiran.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
