Haruman masakan yang menusuk ke hidung buatkan Alice menarik senyuman lebar. Matanya terpejam rapat, menikmati keenakan bau asam pedas ayam yang dimasak khas untuk papa.
Setelah berkira-kira, hari ini Alice memutuskan untuk memberitahu Tan Sri Alias mengenai tawaran belajar yang diterimanya itu seterusnya menyambut kejayaannya itu dengan memasak masakan-masakan kegemaran papanya.
Meskipun akan ada kemungkinan bahawa Ungku Faizah dan dua orang kakak tirinya akan campur tangan sama di dalam hal ini, tetapi Alice tidak mahu terlalu fikirkannya.
Yang dia tahu, dia harus tampil berani untuk suarakan kemahuannya. Dan Alice juga tahu bahawa dia masih ada papa untuk mempertahankan keinginannya yang satu ini.
Api dipadamkan sebaik sahaja asam pedas ayam sudah pun siap dimasak. Beralih ke sebelah kiri, sup sayur yang sudah selesai dimasak turut dimatikan apinya. Alice tersenyum lagi tatkala otak sudah mula membayangkan reaksi papa saat dia memberitahu akan tawaran tersebut.
Seketika Alice pusingkan tubuhnya bersama mata yang diliarkan ke jam dinding. 5 petang. Masih berbaki 1 jam lagi sebelum papa bakal tiba di rumah.
Dengan kadar segera, Alice mendaki tangga untuk naik ke bilik. Dia harus bersiap-sedia untuk menyambut papa pulang nanti. Masuk ke bilik, tuala di wooden rack dicapai laju bersama langkah yang sudah bersedia untuk masuk ke tandas.
Namun tatkala dia melepasi meja belajarnya yang kelihatan kosong itu, automatik dia berhenti melangkah. Kawasan meja belajarnya segera didekati bersama mata yang meliar ke merata tempat.
"Surat.. Mana surat tu?" Alice bersuara cemas sebaik sahaja dia mula tersedar bahawa surat tawaran yang diterima tempoh hari tiada di atas meja belajarnya.
Tuala di tangan dicampak ke katil sebelum Alice menyelongkar setiap laci-laci di mejanya. Buku-buku yang tersusun turut sama disepahkan bagi mencari keberadaan suratnya yang satu itu.
"Tolonglah jangan hilang. Tolonglah," ucap Alice bersama mata yang berair. Hampir merata tempat di dalam biliknya sudah pun diselongkarnya tetapi surat itu tetap tidak kelihatan di mana-mana.
"Cari apa tu?" Suara Ungku Farhana yang kedengaran secara tiba-tiba itu buatkan tingkah Alice terhenti buat seketika.
"Kak Hana tak payah sibuklah." Alice akhirnya memilih untuk mengendahkan sahaja Ungku Farhana dan teruskan mencari. Tubuhnya kini ditundukkan pula untuk mencari di bawah katil.
"Uwu, garangnya." Ungku Farhana tersenyum senget melihatkan tingkah Alice yang tidak ubah seperti kucing yang kehilangan anak. Kepala digelengkan berkali-kali tanda dia begitu terhibur akan reaksi Alice.
"Kalau kau tengah cari surat tawaran atas meja tu kan.." Sengaja Ungku Farhana menghentikan kata-katanya untuk menarik perhatian Alice. "Aku rasa aku tahu dekat mana."
Membulat mata Alice mendengarkan kata-kata Ungku Farhana itu. Bagaimana kakaknya tahu akan kewujudan surat tawaran tersebut?
Jangan-jangan..
"Kak Hana sentuh barang Lis?" Alice segera mendekati tubuh Ungku Farhana yang sedang bersandar pada pintu biliknya. Nada suaranya keras tatkala menyoal hal itu pada si kakak.
Ungku Farhana berdecit. Ingat dia takut ke?
"Aku cuma cakap aku tahu kan? Ada aku cakap aku ambil?" Ungku Farhana bersarkastik.
"Tak payah menipulah, Kak Hana! Bagi balik surat Lis!" Suara Alice naik meninggi buatkan wajah Ungku Farhana berubah.
"Aku dah cakap aku tak ambil kan? Kau tak faham bahasa ke?" Ungku Farhana turut sama menjerit. Sakit rasanya hati tatkala dijerit oleh adik tirinya yang tidak sedar diri itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
