Her Desolation | 27

1 1 0
                                    

"Lavelra cintakan Arlan?" 

Soalan itu membuatkan aku tersentak. Pergerakan aku terhenti serta-merta, seperti dunia tiba-tiba berhenti berputar. Aku cuba mencari jawapan, tetapi fikiran aku kosong. Lidah aku kelu, dan aku hanya mampu menatap orang yang bertanya dengan perasaan bercampur-baur.

Aku tidak tahu apa yang patut aku jawab. Atau mungkin, aku takut jawapan itu akan mengubah segalanya.

"Mama, L-Lavelra..." Kata-kata aku terhenti di tengah jalan. Aku benar-benar tidak tahu apa yang perlu aku katakan pada saat ini. 

"Lavelra boleh berterus terang dengan mama, tau? Arlan dah ceritakan semuanya." Puan Harlita menguntumkan senyuman kecil, riak wajahnya seolah-olah memujuk aku agar tidak menyembunyikan apa-apa daripadanya. 

"M-mama dah tahu? Jadi, kenapa mama biarkan dia berkahwin dengan saya?" soalku, nada suara sedikit bergetar. Aku terkedu. Jika Puan Harlita tahu segala-galanya, kenapa Puan Harlita dan Encik Arhaz tetap membenarkan perkahwinan ini berlaku? 

"Lavelra..." Puan Harlita menghela nafas kecil sebelum menyambung.

"Mama sebenarnya kurang bersetuju dengan keputusan Arlan waktu tu. Keputusannya terlalu mendadak, dan mama risau. Tapi mama percaya pada dia. Mama tahu dia pasti dah fikir masak-masak sebelum berbincang dengan mama dan papa." 

Aku hanya mampu mendengar sambil aku memandangnya.

"Jadi, mama cuma nak tahu..." Puan Harlita menatap aku dengan lembut. "Lavelra dah mula cintakan Arlan? Berterus terang je. Mama tak marah." 

Aku menggigit bibir, berasa berat untuk menjawab. Tetapi akhirnya aku membuka mulut, suaraku hampir berbisik. 

"Lavelra... Lavelra tengah belajar untuk sayangkan Arlan. Tapi... tapi susah. Lavelra minta maaf, mama..." Aku tunduk, pandangan aku jatuh ke lantai. Hati aku terasa berat.

Aku berasa malu kerana gagal mencintai seseorang yang kini sudah menjadi suami aku. "Lavelra masih cuba, mama. Tapi... Lavelra tak tau kenapa, hati Lavelra masih terikat pada Zaffre. Walaupun sudah tiga tahun berlalu... sejak dia pergi."

Ruang di antara kami terasa sunyi seketika. Aku tak berani mendongak untuk melihat reaksi Puan Harlita. 

"Sayang..." Suara lembutnya memecah keheningan. Dia menyentuh bahu aku dengan lembut. Sambil dia memandang aku dengan pandangan yang lembut.

"Mama faham. Melupakan seseorang yang pernah bermakna dalam hidup kita bukan sesuatu yang mudah. Tapi... mama percaya, kalau Arlan dah pilih kamu, itu bukan keputusan yang dia ambil tanpa sebab." 

Aku mengangkat kepala sedikit, mata bertemu pandang dengan Puan Harlita. Dia tersenyum, kali ini dengan kehangatan yang membuatkan hati aku sedikit tenang. 

"Mama rasa, Arlan mungkin dah mula sayangkan kamu, Lavelra. Mama dapat lihat macam mana dia melayan kamu. Terlalu berbeza dengan cara dia melayan seseorang yang dia mengambil berat. Dia mungkin tak pandai tunjuk, tapi dia sayang. Beri diri kamu masa. Bukan untuk lupakan Zaffre, tapi untuk terima apa yang hati kamu perlukan sekarang." 

Aku terdiam, kata-katanya menyentuh sesuatu dalam diri aku yang aku sendiri tak dapat jelaskan. 

"Mama tak pernah paksa kamu untuk cintakan dia dengan serta-merta. Tapi... mama harap kamu cuba. Untuk dia, dan untuk diri kamu juga." 

Aku mengangguk perlahan, walaupun hati aku masih keliru. Tapi entah kenapa, aku rasa sedikit beban di hati aku mula berkurang. Aku masih tak pasti bila aku boleh sepenuhnya terima Arlan... tapi mungkin, aku boleh cuba lagi.

"Tapi... kalau tidak menjadi, berbincanglah dengan dia dengan cara yang elok dan buatlah keputusan yang terbaik untuk kamu berdua."

Puan Harlita menguntumkan senyuman nipis sebelum menarik aku ke dalam pelukannya. Pelukannya terasa begitu hangat, seolah-olah menyelimuti segala kekeliruan dan rasa bersalah yang selama ini menghantui hati aku. 

Aku dapat merasakan mata aku mula berkaca, tetapi aku menahan air mata itu daripada jatuh. Pelukan itu memberikan kekuatan yang aku tidak sedar aku perlukan. 

Selepas beberapa saat, kami berdua akhirnya melepaskan pelukan itu. Puan Harlita menepuk bahu aku lembut, memberikan satu senyuman yang penuh makna sebelum dia berkata,

"Mari kita ke ruang tamu. Mereka pasti tertanya-tanya di mana kita." Ajak Puan Harlita dengan nada yang lembut.

Aku hanya mengangguk perlahan dan membantu Puan Harlita membawa dulang berisi teh ke ruang tamu. Di sana, Arlan sedang duduk bersama Encik Arhaz, kelihatan santai sambil berbual-bual ringan.

Arlan sempat memandang aku seketika, pandangannya seperti bertanya sama ada aku dan mamanya baik-baik sahaja. Matanya memancarkan sedikit kerisauan, seolah-olah dia bimbang akan keselesaan aku berada bersama keluarganya. 

Tanpa aku sedar, senyuman kecil terukir di sebalik purdah yang aku pakai. Aku membalas pandangannya dengan satu anggukan perlahan, meyakinkan dia bahawa semuanya baik. Pandangan itu membuatkan aku teringat kata-kata yang pernah diucapkannya kepada aku. 

"Keselesaan awak adalah keutamaan saya." 

Kata-kata itu masih segar di minda, mengingatkan aku betapa dia sentiasa berusaha memastikan aku merasa tenang dan diterima. Di sebalik kekeliruan dan kekangan perasaan yang masih menghantui aku, hati kecilku berbisik rasa syukur. 

Syukur kerana Allah telah mempertemukan aku dengan dia, seseorang yang hadir di saat aku berada di titik terendah hidupku. Seseorang yang, walaupun aku belum sepenuhnya mengerti perasaanku terhadapnya, tetap menjadi sumber kekuatan yang tidak pernah aku duga.

Tetapi jauh di sudut hati, aku berasa bersalah dan malu pada diri sendiri kerana menggunakan dirinya untuk melupakan Zaffre. Dia tahu, dia faham, dan dia tetap memilih untuk menerima aku, walaupun aku masih terperangkap dalam bayangan masa lalu. 

Walaupun dia berkata dia sanggup terima apa saja yang aku nak lakukan, hati aku tetap tidak tenang. Bagaimana aku boleh berlaku adil kepadanya, sedangkan dia memberikan semuanya kepadaku tapi aku tidak dapat menawarkan apa-apa kepadanya untuk membalas budinya.

Aku menundukkan kepala, memandang cawan teh yang berada di genggaman aku. 

Ya Allah, kenapa jejaka sebaik dirinya Kau hadirkan untuk bersamaku? Adakah ini ujian untuk aku, atau hadiah yang tidak aku hargai seperti sepatutnya?

Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan gelombang rasa bersalah yang semakin menyesakkan dada. Aku tahu, lambat laun, aku harus membuat keputusan. Aku tidak mahu terus membiarkan dia mengubati diri aku yang mungkin tidak akan pernah sepenuhnya miliknya. 

Namun, setiap kali aku melihat dia, dengan senyumannya yang tulus dan caranya menjaga aku tanpa rasa ragu, hati aku berasa goyah. Ada sesuatu dalam dirinya yang perlahan-lahan mengetuk pintu hati aku, meskipun aku takut untuk membukanya. 

Mungkin... aku patut cuba lebih keras untuk melihat dia sebagai jawapan, bukan sekadar pelarian. Aku meletakkan cawan teh di meja perlahan-lahan.

Suasana menjadi lebih santai di antara kami semua. Encik Arhaz mula bercerita tentang pengalaman lamanya, kisah lucu yang membuatkan kami semua ketawa kecil. Arlan sesekali menambah cerita dengan gaya bersahaja, dan aku perasan dia pandai menceriakan suasana tanpa terlalu mencuba. 

Aku mendapati diri aku tersenyum lebih kerap daripada yang aku jangka. Masa berlalu tanpa aku sedar, dan segala yang berlaku selepas itu terasa seperti kabur. Ketawa, perbualan mesra, dan kehangatan yang memenuhi ruang itu. 

Biarpun hanya untuk seketika, aku rasa lebih tenang. Walaupun hatiku masih terbelah, malam itu memberikan aku harapan kecil bahawa mungkin, suatu hari nanti, aku mampu menerima Arlan dengan sepenuh hati. Tapi untuk sekarang, aku hanya ingin menikmati saat ini.

TO BE CONTINUED.

LAVELRA: Her Desolation Where stories live. Discover now