𝓑𝓐𝓑 19

27 4 0
                                    

Pada hari terakhir mereka bercuti di Pulau Langkawi, Alyssa mencadangkan agar mereka pergi membeli-belah di Pekan Kuah. Dia berasa tidak puas hati kerana semalam masa mereka terlalu terhad untuk meneroka semua kedai di sana. Kasih, Arieshah, dan Aishah bersetuju dengan cadangan itu, dan Kasih menawarkan diri untuk memandu ke Pekan Kuah.

Setibanya mereka di Pekan Kuah, Kasih mencadangkan agar rakan-rakannya berjalan dahulu sementara dia mencari parkir. Namun, Arieshah tidak bersetuju dengan cadangan itu. Baginya, tidak adil jika Kasih perlu bersusah-payah mencari parkir seorang diri sementara mereka berseronok.

"Tak apa, kita cari parkir sama-sama. Nanti kita jalan sama-sama. Bahaya kalau kau seorang diri. Kau tu perempuan. Kalau jadi apa-apa, apa aku nak jawab dengan mak kau nanti?" ujar Arieshah dengan nada tegas, menunjukkan keprihatinannya. Alyssa dan Aishah mengangguk tanda setuju dengan pendapat Arieshah.

"Okay-okay. Kalau macam tu, korang kena tolong aku cari parkir sama-sama. On tak on?" balas Kasih sambil berseloroh.

"Onzzz. Asalkan kau tak tinggal sorang-sorang," jawab Aishah sambil tersenyum. Arieshah dan Alyssa hanya tersenyum kecil, kemudian mereka bertiga sama-sama meliarkan mata mencari parkir yang kosong. Akhirnya, mereka berempat berjaya mendapatkan parkir, walaupun perlu berjalan agak jauh untuk ke gerbang tempat pembayaran. 

Setelah memarkir kereta, mereka keluar dan berjalan santai menuju kawasan kedai-kedai di Pekan Kuah. Setibanya di kawasan itu, mereka memutuskan untuk memasuki sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis pinggan mangkuk serta alatan dapur. Kedai tersebut menawarkan pelbagai pilihan menarik, membuatkan mereka teruja untuk melihat-lihat. Aishah, bagaimanapun, memilih untuk sekadar melihat-lihat sahaja kerana semalam dia sudah membeli satu set pinggan mangkuk yang cantik sebagai hadiah untuk ibunya. 

Sedang Arieshah menilik pinggan-pinggan yang dipamerkan di kedai itu, tiba-tiba dia terdengar suara yang amat dirinduinya. Dia terdiam seketika, cuba meyakinkan dirinya bahawa mungkin itu hanya halusinasinya sahaja. 

"Tak mungkin...," bisiknya dalam hati, cuba menepis rasa ragu. Namun, perasaan ingin tahu menguasai dirinya. Ketika dia berpaling, matanya tertumpu pada seorang lelaki yang sangat mirip dengan seseorang yang selama ini sentiasa hadir dalam ingatannya. Debaran di dadanya semakin kencang, namun dia tidak pasti apakah benar itu orang yang sama. Arieshah membuat keputusan untuk mengekori lelaki itu, hatinya dipenuhi dengan pelbagai persoalan. 

Langkahnya terhenti seketika apabila dia melihat lelaki itu berjalan beriringan dengan seorang wanita dan seorang anak kecil yang kelihatan berusia dalam lingkungan lima tahun. Tangannya menggenggam erat beg tangannya, cuba menenangkan debaran yang makin menggila.

Sementara itu, Aishah yang baru tersedar bahawa Arieshah tidak lagi berada di sebelahnya mula cemas. 

"Sha? Shaaa! Mana kau ni?" Aishah memanggil nama rakannya sambil matanya meliar ke sekeliling kedai, cuba mencari kelibat Arieshah yang tiba-tiba hilang dari pandangan. Arieshah terus memerhatikan lelaki itu dari jauh. Semakin dia memerhati, semakin pasti dirinya bahawa lelaki itu adalah Mukhriz. Namun, kehadiran wanita dan anak kecil di sisi lelaki itu membuatkan hatinya berbelah bahagi. Fikirannya dipenuhi pelbagai soalan

'Siapa perempuan tu? Anak siapa pulak tu? Tak mungkin Mukhriz kahwin lain.' Dia cuba mendekati lelaki itu dengan hati-hati agar tidak disedari, namun tiba-tiba langkahnya terhenti apabila anak kecil itu memanggil lelaki tersebut dengan panggilan,

"Papa!" Arieshah tersentak. Air matanya mula bergenang, dan dia berpaling ke arah lain untuk menyembunyikan wajahnya. Aishah akhirnya menemui Arieshah di sudut kedai, berdiri kaku sambil memandang ke luar pintu kaca. 

"Sha, kenapa ni? Kau okay tak?" tanya Aishah dengan penuh risau. Arieshah tidak menjawab, hanya menggeleng perlahan dengan senyuman hambar yang tidak mampu menyembunyikan rasa sakit di hatinya. 

Sementara itu, Mukhriz yang sedang berbual dengan wanita di sisinya tiba-tiba merasakan seperti ada seseorang yang memerhatikannya. Dia menoleh ke belakang, namun tiada siapa yang memerhatinya. Dia mengangkat bahu, menganggap perasaannya mungkin salah. Aishah yang menyedari kegelisahan di wajah Arieshah mula menyedari sesuatu. 

"Sha... kau ada nampak siapa tadi?" soalnya dengan perlahan, bimbang untuk membuka luka lama. Arieshah menarik nafas panjang dan mengelap hujung matanya yang mula basah. 

"Tak ada apa-apa, Aishah. Jom keluar," katanya sebelum terus melangkah keluar dari kedai dengan hati yang semakin sarat dengan perasaan.

"Okay-okay, kita keluar dari sini. Tapi sebelum tu, kau ada nak beli apa-apa lagi tak?" tanya Aishah dengan nada risau, matanya memerhatikan wajah Arieshah yang kelihatan masih sedikit terganggu.

"Dah tak ada apa-apa dah. Aku cuma beli ni je," jawab Arieshah perlahan sambil menarik bakul yang berisi satu set pinggan mangkuk cantik serta beberapa coklat untuk dibawa pulang.

"Okay lah kalau macam tu. Kau pergi bayar dulu, ya. Aku nak cari Kasih dengan Alyssa kejap," balas Aishah sambil menepuk lembut bahu Arieshah, cuba menenangkan rakannya itu. Arieshah hanya mengangguk sebelum melangkah perlahan menuju ke kaunter pembayaran, cuba menyembunyikan perasaan yang masih berkecamuk di hatinya. Setelah selesai membuat pembayaran, Arieshah memilih untuk duduk di kerusi yang terletak di hadapan kedai tersebut. Tangannya erat memegang beg plastik berisi barang-barangyang dibelinya, namun fikirannya jauh melayang.

Sambil menunggu rakan-rakannya selesai membeli-belah, Arieshah cuba memujuk hatinya untuk melupakan apa yang dilihat sebentar tadi. Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa apa yang dilihat itu hanyalah bayangan atau halusinasinya sahaja. Namun, hatinya berdegup kencang. 

"Tak mungkin itu Mukhriz," bisik hatinya, namun perasaan rindu dan luka lama kembali menghimpit jiwa. Tanpa disedari, air mata Arieshah mengalir deras, membasahi pipinya. Dia pantas menyeka air mata itu dengan belakang tangannya, cuba menyembunyikan kesedihannya daripada orang sekeliling. Namun, tanpa diketahuinya, sepasang mata sedang memerhatinya dari sebalik tiang disudut kedai itu. Mata yang penuh rasa bersalah dan kerinduan.

"Maafkan hubby, sayang... Hubby tak pernah berniat untuk buat sayang terluka," bisik Mukhriz perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam angin yang berhembus. Pandangannya tidak pernah lepas daripada wajah Arieshah yang masih sama cantik seperti dulu—wajah yang dirinduinya setiap detik.

ᴘᴇʀᴛᴇᴍᴜᴀɴ ᴋᴇᴅᴜᴀWhere stories live. Discover now