𝓑𝓐𝓑 21

29 6 1
                                    

Sedang Arieshah asyik bersembang dengan rakan-rakannya, tiba-tiba matanya tertangkap sosok seseorang yang amat dikenalinya—seorang lelaki yang berjalan penuh yakin dengan pakaian seorang juruterbang. Jantungnya serta-merta berdegup kencang. Wajah itu... gaya dia berjalan itu... tidak mungkin! Arieshah melopong, matanya membulat dalam ke tidak percayaan. Mustahil... itu Mukhriz! Lelaki yang sudah lama menghilang tanpa sebarang khabar berita. 

Dia cuba menenangkan dirinya, namun perasaannya bergolak hebat. Ingin menafikan, tetapi hatinya kuat mengatakan itu adalah suaminya. Dengan cepat, Arieshah meminta izin daripada rakan-rakannya untuk ke tandas, walhal niatnya adalah untuk mengekori lelaki itu. Dia perlu tahu kebenaran—apakah benar itu Mukhriz atau hanya seseorang yang mirip dengannya?

Ketika dia dalam perjalanan ke tandas, langkahnya tiba-tiba terhenti. Matanya membuntang, nafasnya seakan tersekat. Di sudut sebuah restoran, lelaki itu sedang duduk bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak kecil yang berusia sekitar lima tahun. Arieshah menekup mulutnya, tubuhnya menggeletar melihat pemandangan di hadapannya.

"Abang, tak nak jumpa akak Arieshah ke? Kesian akak Arieshah, lama tunggu abang balik," ujar seorang wanita yang duduk berhadapan dengan Mukhriz, suaranya lembut tetapi cukup jelas untuk didengar oleh Arieshah. Jantung Arieshah seakan terhenti. Nafasnya terasa tersekat. 

'Akak Arieshah?' 

Matanya membulat, dadanya mula berombak. Dia tidak salah dengar, bukan? Nama itu... nama yang disebut wanita itu...adalah nama dia! Siapakah perempuan itu? Tak mungkin Mukhriz kahwin lain? Tak mungkin itu adalah madunya?! Perlahan, Arieshah mengangkat wajahnya, merenung lelaki di hadapannya dengan mata yang mula berair. Itu Mukhriz.Suaminya!

"Tidak... ini tak mungkin..." bisiknya perlahan, hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dengan langkah yang lemah, Arieshah berjalan mendekati rakan-rakannya dan meminta izin untuk pulang terlebih dahulu. Arieshah tidak betah untuk menunggu lama di situ. Dia mahu pulang!

"Korang...sorry. Aku kena balik dulu. Abang aku dah sampai. Next time kita jumpa." ujar Arieshah kepada rakan-rakannya. Dia terpaksa berbohong kepada rakan-rakannya dengan mengatakan bahawa abangnya yang akan menjemputnya pulang. Dia tidak mahu sesiapa tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya.

"Lahh ya ke? Tak apa lah kalau macam. Kirim salam dekat abang kau." ujar Izzul sambil melemparkan senyuman kepada Arieshah. Arieshah hanya mengangguk sahaja.

"Okay, wey. Hati-hati jalan." ujar Alyssa kepada Arieshah. Arieshah mengangguk perlahan, cuba mengukir senyuman walaupun hatinya berkecamuk. Dia segera berpaling dan melangkah pergi dengan langkah yang semakin laju. Dia mahu keluar dari situ secepat mungkin, jauh dari rakan-rakannya, jauh dari Mukhriz... jauh dari kebenaran yang baru sahaja menghentam dirinya. 

Setibanya di luar, angin petang menyapa wajahnya, tetapi ia langsung tidak memberi ketenangan. Nafasnya sesak, dadanya terasa berat. Dia menggigit bibir, cuba menahan air mata daripada jatuh. Tidak! Dia tidak boleh menangis di sini. Dia perlu mencari tempat yang lebih tenang. Tanpa berfikir panjang, Arieshah mengeluarkan telefon bimbitnya dan menempah e-hailing. Tangannya sedikit menggeletar saat menaip lokasi rumahnya. 

Saat dia menunggu kereta tiba, matanya tidak dapat lari daripada memandang kembali ke arah restoran itu. Dari kejauhan, dia masih dapat melihat Mukhriz sedang berbual mesra dengan wanita itu, sambil sesekali mengusap kepala kanak-kanak kecil di sebelahnya. Hatinya semakin remuk. Apakah ini petanda bahawa Mukhriz sudah benar-benar melupakannya? Sudah berkeluarga dan hidup bahagia tanpa dirinya? Air matanya akhirnya jatuh juga. Dia cepat-cepat menyeka pipinya saat kereta e-hailing tiba. Tanpa menoleh ke belakang lagi, Arieshah masuk ke dalam kereta dan membiarkan hatinya menangis sepuasnya sepanjang perjalanan pulang.

....

Sampai sahaja di rumah, Arieshah terus melangkah lesu ke biliknya tanpa menoleh ke mana-mana. Dia tidak mahu berjumpa sesiapa. Mujur rumahnya kosong ketika itu, hanya ada pembantu rumah yang sibuk di dapur. Sebaik sahaja menutup pintu, dia merebahkan diri ke atas katil. Dada terasa sesak, air mata yang cuba ditahan sepanjang perjalanan tadi akhirnya mengalir deras. Tangisannya beralun bersama rasa kecewa, sakit, dan keliru. 

'Kenapa, Mukhriz? Kenapa?'

Arieshah menangis hingga terasa letih. Matanya bengkak, tubuhnya lemah. Akhirnya, dalam tangisan yang masih bersisa, dia tertidur. Malam pun sudah menjelma, Puan Rohayu mengetuk pintu bilik anak perempuannya dengan wajah penuh kerisauan. Dari petang tadi, anaknya langsung tidak keluar bilik. Pembantu rumah sudah beberapa kali menjenguk, tetapi Arieshah hanya diam dan tidak menjawab.

"Arieshah... sayang, buka pintu ni," panggil Puan Rohayu lembut, tetapi tiada jawapan. Hati seorang ibu mula dipagut resah. Apakah yang sedang berlaku pada anaknya? Kenapa dia pulang dalam keadaan seperti ini?

ᴘᴇʀᴛᴇᴍᴜᴀɴ ᴋᴇᴅᴜᴀWhere stories live. Discover now