Langit merah semakin garang warnanya. Mungkinkah hari mahu hujan? Kami berkira-kira mahu berteduh di salah satu gua yang ada tak jauh dari kami.
Melihatkan keadaan dalam gua yang paling dekat, ia kelihatan pelik. Bukan gua natural. Mungkin gua buatan, tetapi buatan apa atau siapa itu yang kami tidak tahu.
Jadi, kami bersepakat mahu bergerak ke gua yang kedua tak jauh dari situ. Gua ini lebih semulajadi, walaupun jika diperhatikan betul-betul, ia tak adalah semulajadi sangat. Hayun terus mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya dan mencampakkannya ke depan, lalu sesuatu itu bercahaya dan api berwarna biru menerangi dalam gua. Kelihatan dinding gua seakan licin, seperti ada susunan konkrit padanya.
Aku cuba mengetuk dinding gua. "Apa benda ni?"
Lalu perbuatanku diikuti oleh Badrol dan dia menjawab, "Mithril. Ada campuran batu sulfur." Dia mencalit pula pada dinding gua. "Hmm... belerang."
Rasa bahang semakin dirasai. Bukan gementar, tapi mungkin disebabkan habuk belerang yang terdapat pada dinding gua membuatkan suasana menjadi bahang. Jadi kami duduk sebentar. Di luar, guruh berdentum dan air hujan mulai menitik ke tanah yang aku sendiri tak tahu mahu menggelarkan ia bumi atau apa.
"Habis hujan nanti, kejutkanlah. Aku nak rehat kejap la," kata Badrol.
"Aku pun nak rehat." Kayu menyusul.
Hayun sudah pun berbaring di lantai gua dan bermenung.
Aku menoleh pada Melati. "Kau? Taknak tidur?"
"Aku rasa tak sedap hati la," jawabnya.
Aku duduk bersandar pada dinding gua dan mengeluarkan batang kayu yang masih belum ada rupa anak panah dan aku mula mengukir. "Apa yang kau rasa tak sedapnya?"
"Tempat ni... kau tak rasa pelik ke?"
Aku pandang wajahnya yang resah. "Rasa jugak. Tapi kita tak tau jalan keluar kat mana dan macamana."
Melati mengeluh. Aku dapat rasa dia terbeban dengan masalah ini. Masalahnya, kami pun rasainya. Cuma aku malas untuk berfikir lanjut kerana badan pun dah terlalu penat untuk melayan fikiran yang mula resah begini. Aku letakkan pisau ukir dan kayu panah tadi ke dalam longgokan kain yang aku buat untuk menyimpan barang-barang mengukir. Beg sandang dan busur panah aku kumpulkan dan letakkan ke tepi.
"Dah la. Jangan risau sangat. Kita rehat dulu. Bangun nanti, kita fikir macamana nak balik ke tempat asal kita," aku cadangkan.
Aku tarik kain hood menutupi kepala dan wajahku, dan aku bersandar pada dinding. Kaki dilunjurkan dan aku silangkan tangan memeluk badan. Aku cuba untuk usir segala macam benda yang ada dalam kepala supaya aku lebih tenang dengan apa yang aku lalui ini.
"Beb?" Melati memanggil.
"Hmm?"
"Maaf, buat kau pun ikut rasa resah sama."
Aku mengukir senyum kecil dan aku terus terjun ke alam mimpi.
* * *
Masa terjaga (aku tak tahu pagi ke malam, keadaan nampak sama saja sejak kami masuk ke dalam dunia ni), hujan sudah berhenti dari turun. Kelihatan asap wap dari titisan air hujan yang jatuh ke tanah naik ke udara. Aku nampak Hayun menadah sedikit titisan air hujan itu menggunakan botol kaca kecil.
"Bukan air hujan biasa, kan?"
Hayun menggeleng. "Asid."
Aku mengangkat kening. Teruja sedikit. Sambil itu, aku membetulkan sandarku tegak sedikit ke dinding gua.
![](https://img.wattpad.com/cover/51605041-288-k593814.jpg)
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
ПриключенияPengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...