Rakyat Temasek sedang sibuk untuk menjayakan sebuah keraian yang bakal berlangsung pada esok dan lusa -- penghujung minggu itu. Banyak kedai dan gerai yang dibuka sepanjang kaki jalan di sini, membuatkan bandar ini nampak begitu meriah sekali.
Aku perhatikan sekeliling. Lebih tepat lagi, memandang ke bangunan Pejabat Daerah tak jauh di depanku. Aku nampak Kayu dan Pelita masuk ke dalam tadi tapi sehingga sekarang tak keluar lagi. Pintu depan pun tertutup rapat. Aku terfikir untuk menolong, tapi dari gerak mata dan bahasa tubuh Badrol dan Hayun, menyatakan yang kami perlu buat hal sendiri dan biarkan saja Kayu dan Pelita uruskan apa yang patut di dalam sana. Aku mengangguk faham dan buat-buat melilau mataku mencari sesuatu yang menarik di gerai-gerai.
Sebelum Pelita dan Kayu masuk ke dalam Pejabat Daerah tadi, Badrol ada bertanyakan tentang bangunan itu pada seorang makcik yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di keraian itu. Katanya, pejabat itu tutup untuk hari ini kerana mahu membuat persediaan sempena Festival Todak yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini. Jadi, kalau mahu buat apa-apa urusan, datang saja pada minggu depan.
Disebabkan pejabat daerah tutup, Hayun mencadangkan untuk pecah masuk saja ke dalam pejabat itu. Selepas menggunakan magiknya, pintu yang berkunci terbuka. Kayu dan Pelita terus masuk untuk ke dalam bangunan pejabat. Malangnya, Hayun cuma mahu bermain dengan mereka, telah menggunakan magik untuk menutup semula pintu tadi dan kembali berkunci, dan kini mereka terperangkap dari dalam.
Sudah hampir lima minit mereka menghilang. Aku dah sampai hilang idea nak ushar apa lagi kat gerai itu semua. Tak ada barang yang best la pulak untuk rembat. Dalam masa itu juga, aku terdengar seperti sesuatu pecah. Aku pantas menoleh ke arah Pejabat Daerah dan aku nampak Kayu dan Pelita keluar dari bangunan itu. Pintu utama pejabat dipukul pecah, mungkin angkara Kayu, siapa lagi yang mampu buat begitu. Pelita yang mampu terapung itu terus terbang naik ke atas bumbung bangunan dan bersembunyi, manakala Kayu pula berlari selaju mungkin dan menyelit di antara manusia yang mengerumuni kawasan gerai.
Aku buat-buat tak nampak sebab di muka pintu yang pecah itu mulai memuntahkan lima orang pengawal. Salah seorangnya menjerit, "Mana? MANA?!"
Namun, orang ramai hanya memandang mereka seperti tiada apa yang berlaku. Bayang Kayu di dalam keramaian orang aku cuba cari, Pelita pula masih bersembunyi di atas sana.
Kemudian, setelah puas melilau ke kiri dan ke kanan, dan menganggap si penceroboh sudah menghilang, pengawal semua kembali masuk ke dalam bangunan.
Pelita terus mendapatkan aku setelah itu, begitu juga Kayu.
"Mana diorang?" tanya Kayu.
"Bad jalan arah ke sana, Hayun lak ke situ." Aku menuding ke setiap arah yang Badrol dan Hayun tuju.
"Jadi... macamana ni?" Pelita kebingungan untuk mengikut siapa.
"Aku tak tau Hayun pergi mana, tapi aku ada curi dengar yang Bad nak pergi ke pelabuhan. Ada festival kat sana."
"Kita ikut Bad la macam tu," cadang Kayu. "Hayun tu nanti dia mesti datang kat kita jugak."
Aku tiada masalah untuk ikut sesiapapun, jadi aku hanya berjalan ke arah yang Badrol tuju tadi. Dari jauh, aku masih boleh nampak dia di depan sana, dalam 30 meter. Tapi selepas kami masuk ke satu lorong, lautan manusia jadi semakin sesak. Kalau kami paksa diri kami untuk merempuh lorong itu, pasti kami akan terpisah. Dengar dari laungan suara, di situ sedang berlangsung "Jualan hebat! Diskaun 70% untuk pelbagai barangan terpilih! Cepat! Cepat!"
Jualan hebat? Diskaun? Inilah masanya!
Aku nampak Badrol melompat dan memanjat dinding bangunan berdekatan dan merentasi lautan manusia itu dari bumbung ke bumbung, aku terus menyuruh Kayu dan Pelita untuk turut berbuat perkara yang sama.
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
AdventurePengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...