Aku ingatkan hujan turun semalam je, rupanya turun sampai ke hari ini.
Aku terjaga awal pagi ini kerana aku terganggu dengan kehadiran ular yang tiba-tiba muncul buat pertama kali semasa kami menjalani misi menculik diplomat tempohari. Ia melingkari tubuhku yang sedang berbaring di katil, membuatkan aku jadi malas nak bangun.
Sebenarnya, ular itu memang selalu saja muncul sebelum ni. Di mana saja aku pergi, ia akan ikut. Aku saja yang tidak mahu ia muncul dalam hidup aku selama ini. Ia hanya mengingatkan aku pada keluarga aku di kampung nun jauh di utara sana.
Pulau Kelapa Parut yang berada dalam Kepulauan Langkawi itu seperti tidak wujud sebelum ini, kini digeruni setelah keluarga Pen-Yu (keluarga aku la tu!) mahu membalas dendam atas kematian atuk aku yang dihukum mati setelah difitnah orang atas alasan menyebarkan ajaran yang tidak betul. Paling menyedihkan, bukan setakat atuk aku saja, bahkan keluarganya juga dihukum bunuh seluruhnya, konon mahu menghapuskan sisa kejahatan daripada muka bumi ini. Namun, tukang fitnah dan penghukum tidak berjaya membunuh keseluruhan keluarga kami kerana mereka terlupa akan seseorang. Beberapa tahun kemudian, ayah aku pulang ke kampung setelah berkelana dan mendapati keluarganya telah dibunuh. Dan dia telah bersumpah untuk menjejaki keturunan mereka sampai ke akar keturunan. Lebih kurang macam tu la ceritanya, bukan main sumpah dendamnya, kan?
Kami anak-beranak la yang bangkit semula untuk menuntut bela. Tapi setelah dendam terbalas, mereka seperti dahagakan darah. Selalu berkeinginan mahu membunuh dan aku rasa itu adalah salah.
Sejujurnya, kehadiran ular itu membuatkan aku rindu akan keluarga aku. 100 tahun hidup aku bersama mereka, tak pernah sedikit pun mereka abaikan aku walaupun aku abaikan ajaran (dan dendam) mereka. Kemudian, aku lari dari keluarga, lama jugak berkelana, ada dalam 23 tahun dan akhirnya, aku terserempak dengan kakak aku, Lina, di Pelabuhan Klang dan tinggal bersamanya di sebuah kampung tak jauh dari situ. Kakak aku tu baik, lagi baik daripada aku. Dia pun macam aku jugak, tak bersetuju dengan tindakan keluarga untuk meneruskan hidup dikuasai kejahatan dan dendam kesumat.
Cuma... itulah. Beberapa hari sebelum aku berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan aku ni, kakak aku ada tinggalkan surat dan duit untuk aku bawa ke Pelabuhan Klang. Katanya, aku perlu lari dari situ secepat mungkin. Atas sebab apa, dia langsung tak bagitau. Cuma amaran "bahaya dah dekat!" yang tertulis pada akhir perenggan dalam surat itu sebagai penutup. Pelik juga aku masa tu sebab, setahu aku, aku tak ada musuh. Apa benda pulak bahayanya ni? Jadi, aku pedulitaik je amaran dia tu.
"Woi, Rifa! Dah bangun belum? Kejap lagi kita nak pergi istana, woi!" Kedengaran suara Badrol mengingatkan aku akan tujuan kami pada hari ini setelah dia mengetuk pintu bilik beberapa kali.
"Hah, ye! Dah bangun!" laungku.
Aku terkebil-kebil sekejap di atas katil sambil memandang siling. Mencampak jauh sejarah keluarga yang aku rasa tak perlulah aku ikutkan sangat. Kemudian, aku bangun dan berjalan ke bilik air untuk bersiap.
* * *
Gerimis pagi itu menyambut kedatangan kami di perkarangan istana. Ketika kami tiba di situ, terdapat ramai orang yang sedang menceriakan majlis dengan persembahan masing-masing. Tak jauh di hadapan sana, di kawasan anjung istana, Sultan sedang duduk menikmati persembahan mereka yang hadir. Di kiri-kanan Sultan, berdirinya dua orang pengawal dengan wajah yang bengis.
"Kita berpecah. Cuba la cari info dengan apa cara sekalipun, asal tak kantoi je," arah Badrol.
Dan kami pun mengambil arah yang berbeza. Aku memikirkan apa yang boleh aku lakukan untuk aku jalani misi ini.
Aku perhati Sultan yang diapit dengan pengawalnya itu. Aku berjalan menghampiri supaya aku mampu melihatnya dengan jelas. Nampaknya, apa yang dikatakan oleh Bob malam tadi ada betulnya. Wajah Sultan agak hambar, seperti tiada emosi yang berlegar pada rautnya. Seakan pelik pun ada, kulit wajahnya kelihatan tegang tapi ia bukan secara fizikal, bukan semulajadi. Dengan wajah yang sebegitu, aku langsung tak dapat baca apa yang berlegar di dalamnya.
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
AdventurePengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...