Kami kembali ke dunia sebenar setelah melalui portal yang dibuka oleh Lazarus. Pada mulanya, aku tak berapa nak cam tempat sekeliling ni, tapi setelah aku nampak dua ekor keldai dan tempat itu seakan sebuah kandang, baru aku teringat!
"Huih, keldai aku!" Badrol berlari mendapatkan keldainya yang kelihatan sangat lemah. Barang-barang yang diletakkan bersama keldai-keldai itu juga masih elok berada di dalam bilik stor kecil di dalam kandang itu.
"Dah, jom kita gerak ke Melaka!" tegas Melati setelah keldai itu diberi makan dan barang-barang sudah sedia untuk diletakkan ke atas haiwan itu.
Semasa kami berjalan ke arah tempat kenderaan berkuda berkumpul, kami terserempak dengan ketua lombong adamantin.
"Weh, korang ada kat sini lagi? Mana korang menghilang? Seminggu senyap gitu je."
Nampaknya apa yang Lazarus katakan tentang perbezaan masa itu betul. Satu hari di dunia neraka bersamaan tujuh hari di dunia ini. Maknanya masih ada lagi enam minggu untuk Lanun Majapahit memulakan serangan ke atas Melaka.
"Pakcik, maaf, kami terpaksa pergi. Kami nak selamatkan dunia!" Sempat Kayu menegur Dwarf itu. Sementara Badrol dan Melati sudah menghampiri pemilik kenderaan berkuda dan berbincang untuk bergerak ke Melaka.
"Korang nak pergi mana? Were-rat haritu camne?"
"Jangan risau, pakcik! Semuanya okey!" kata Hayun, memberi jaminan.
"Kalau ada balik were-rat tu, bila-bila kami kembali ke sini, kami akan tolong pakcik lagi ya!"
Dan kami terus berlari mendapatkan kereta kuda yang telah kami dapatkan untuk ke Melaka. Ada sebuah lagi gerabak untuk diletakkan keldai-keldai milik Badrol yang disambung di belakang gerabak penumpang. Kami pun terus masuk ke dalam gerabak apabila semua sudah bersedia. Dan kereta kuda mula bergerak.
Aku mula meletakkan busur dan anak panah ke tepi, beg sandang pula dipangku ke riba dan aku memandang ke luar tingkap. Rambut depan yang sudah mulai panjang menutupi mata terbuai-buai mengikut irama angin.
Sedang aku mengelamun, Hayun menghulurkan satu balang kaca ke hadapan mataku.
Aku terkejut. "Kenapa ni?"
"Aku nak kasi ni kat kau. Ni asid yang aku kutip kat neraka semalam." Kemudian, dia mengeluarkan satu lagi balang kaca dan dihulurkan kepada Melati. "Ni pulak racun labah-labah. Korang kan guna anak panah, mana tau korang boleh tabur sikit benda-benda ni kat mata panah tu nanti."
Ada betulnya juga. Tapi balang kaca berisi cecair asid ni aku cuak sikit nak simpan. Aku keluarkan cebisan kain dari beg dan mula menggulungkan penutup balang kaca itu dengan kain tersebut sebelum aku ikat dengan tali. Tak ada la nanti asid itu terkeluar atau penutupnya terbuka sendiri. Naya aku nanti, badan berlubang satgi!
Setelah semuanya dah disimpan rapi, aku kembali termenung. Tak sangka, kami kini dalam perjalanan ke Melaka, tempat pertemuan kami dulu.
* * *
Matahari senja menyambut kami tiba di Melaka. Perjalanan yang memakan masa hampir dua hari itu betul-betul membuatkan aku keletihan.
Ketika kami sampai ke Melaka, kelihatan orang semakin ramai di sana. Mungkin disebabkan pilihanraya yang bakal tiba membuatkan mereka mahu berkumpul di situ.
Aku dan politik ni tak bersahabat baik, jadi aku abaikan jela hal tu.
Setelah kenderaan berkuda tiba di stesen, kami turun dan berjalan mencari tempat yang dikatakan 'tempat perlindungan' Mafia Kampung Dusun. Setelah pasti kami telah jumpa tempatnya yang kelihatan seperti bar itu, kami terus masuk ke dalam setelah meletakkan keldai Badrol ke dalam kandang di tepi bar tersebut.
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
AdventurePengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...