#40: Terus Berlari

34 2 0
                                    

Aku rasa macam aku dah lelap terlalu lama. Kepala aku sakit gila! Berdenyut sedikit rasanya di sebelah kiri. Aku abaikan dan cuba untuk mengangkat kelopak mata. Berat tapi aku lawan. Aku tahu, aku masih berada di atas kapal kerana telingaku menangkap bunyi ombak yang menghempas ke badan kapal, bunyi keriutan dinding kayu, dan kuakan burung camar yang terbang di sekitar. Ada sinar cahaya menerobos pandanganku. Hari sudah siang kah? 

"Pagi, Rifa!" Badrol tersengih betul-betul kat depan muka aku. 

"Kau dah kenapa?" Aku tolak muka dia menjauhiku. Betulkan kedudukan tubuhku dan memandangnya. "Lama dah kau bangun?" 

"Baru-baru jugak. Macam..." Badrol memandang yang lain. "...bangun dalam masa yang sama je?" 

Aku juga memandang sekeliling. Melati masih terbaring memandang langit. Hayun dan Kayu sudah duduk di hujung kapal dan melayan perasaan. Pelita termenung sambil menerbangkan Entah si helang. 

"Weh, pasal semalam tu..." 

Aku memotong, "Anggap takde apa yang jadi la. Aku tak kisah pun." 

Badrol menunjukkan penumbuknya. Lama aku memandang penumbuk kecil Badrol itu sebelum aku melagakan penumbukku. 

"Terima kasih, beb!" Dia tersenyum lega. 

Sebetulnya, aku tak kisah pun apa yang berlaku semalam di antara aku dengan Badrol. Dia tak tahu apa. Aku yang sepatutnya dipersalahkan sebab cuma aku saja yang tahu perkara sebenar. Cuma tindakan aku terhalang atas sebab... entahlah, menurutkan perintah? Bodoh betul aku pergi dengar cakap kabus itu.  

Mungkin aku terlalu tamakkan ganjaran. 

Mungkin juga aku mahukan kebenaran. 

Terus-terang, apa yang berlaku semalam mampu membuatkan kami berantakan. Kepercayaan antara kami berenam mampu tergoyah jika kami tidak cekal hati. Walaupun persahabatan kami hampir goyah pada waktu itu, aku percaya, kami takkan sekali-kali tumpas JIKA perkara sebegini berlaku lagi. Maksud aku, jika berlaku penyelewengan di antara kami lagi selepas ini. 

"Macam mana sekarang kita ni?" Melati menghampiri kami sambil menggosok-gosok matanya. 

"Kita nak patah balik ke Temasek ke?" tanya Kayu. Dia sudah berdiri menghampiri kami yang berada di tengah-tengah kapal. 

Kami berpandangan sesama sendiri. 

"Kita masih nak ke pejabat daerah lagi ke?" tanya Badrol pula. "Sebab semalam aku ada dapat info pasal ayah dia masa kat perpustakaan tu." 

"Aku tak kisah nak patah balik. Lagipun, kita kena kumpulkan stok makanan juga nanti kalau nak sambung berlayar," aku sarankan. 

"Mungkin kalau korang nak lepak kejap kat Festival Todak tu pun takpe. Kita ada masa lagi. Tak payah buru-buru," Pelita menambah. 

"Elok jugak. Aku pun lapar ni," kata Melati dengan semangat. 

Aku tahu, dalam kepala Melati pasti terbayangkan tong bir. Tapi pagi-pagi macam ni dah ada jual bir ke? Dia tu bukan suka pesan minuman lain. Ah, asalkan dia gembira! 

Lalu, Kayu pun, dengan malas, berjalan ke arah kemudi dan memusing badan kapal menghala ke pelabuhan Temasek. Kami bertungkus-lumus melebarkan layar supaya perjalanan kami segera sampai ke sana. Namun, setelah sampai ke sana, kami mengambil arah tujuan kami masing-masing. Kami berjanji untuk berjumpa semula di sebuah kedai makan milik kaum Gnome yang dipilih oleh Badrol. 

"Korang pergi dulu, kami duduk sini je," kata Melati. "Aku takde apa benda nak cari. Aku lapar sangat je ni." 

Setelah berpisah dengan Pelita yang mahu terus mengikut Melati makan, aku terus mengambil langkah menghala ke sebuah kedai peralatan dan senjata tak jauh dari kedai makan tadi. Badrol, Kayu, dan Hayun juga telah pergi membuat urusan sendiri. 

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now