Tengahari itu, suasana di Temasek agak gegak-gempita dengan segala macam muzik yang dimainkan semasa perarakan itu berlangsung. Tetapi setelah Hayun membuat sebuah bunga api yang tak ada la besar mana pun dan meletup betul-betul berdekatan dengan perarakan itu, semerta perarakan itu terhenti. Lelaki yang mengetuai perarakan itu mengangkat tangannya seperti menyuruh orangnya untuk berbuat demikian juga dan mereka memandang ke arah Hayun dengan pandangan yang tajam.
Aku memang cuak habis masa tu sebab melihat pada gaya lelaki berjubah merah itu seperti seorang yang berilmu tinggi. Orang di sekeliling perarakan itu juga turut terdiam dan melihat antara satu sama lain, lebih kepada takut sebenarnya.
Aku keluar daripada markas dan menghampiri kumpulan perarakan itu bersama Melati dan Kayu. Pelita pula berdiri berdekatan dengan Nora yang hanya melihat dari dalam markas. Aku sekadar mahu melihat-lihat mereka dengan lebih dekat. Atau niat aku mahu mencari apa-apa yang boleh dicuri? Ah, jangan cari pasal, Rifa!
"Weh, perarakan apa ni? Baru balik perang ke?" laung Melati kepada segerombolan manusia tersebut.
Kumpulan perarakan itu memandang Melati pula dengan pandangan tajam.
"Siapa yang jerit tadi tu?" tanya lelaki berjubah merah itu.
Ah, sudah! Apahal pulak ni? Orang tanya je kot.
Dengan ton suara yang sedikit rendah, Melati bertanya semula, "Perarakan ni sebab baru balik dari perang ke?"
"Habis tu? Kau ingat sebab apa?" Suaranya juga diturunkan tonanya tapi masih berbunyi tegas. "Siapa yang main bunga api tu? Kawan kau ke?" tanyanya lagi sambil menuding ke arah Hayun.
"Ye, saya?" Hayun seperti teragak tapi masih berlagak yakin.
"Kau ingat kau punya bunga api tu hebat sangat?"
Langsung dia membuat magik yang meletuskan bunga api ke udara dan nampaknya Hayun kalah. Hmmm, dia bukan calang-calang orang.
"Nama kau siapa?" tanya Melati selamba.
Dia menoleh ke arah Melati seperti orang bergaya dan menjawab, "Adib."
Sambil mereka bersembang tentang perarakan itu, aku melilau ke wajah-wajah orang yang berada di atas belon perarakan itu. Aku malas nak campur soal-jawab yang berlaku. Jadi aku perhati apa yang menariknya mereka.
Perarakan sepanjang iringan 10 ekor kuda ini tak adalah mewah tetapi majestik. Pengiring lelaki berjubah merah itu aku kira ada... 7 orang dan mereka tak ada la besar mana. Seperti yang aku sangkakan, mereka adalah kaum Halfling. Semuanya nampak bertenaga walaupun tubuh mereka kecil. Kalau nak dibandingkan dengan ketinggian aku yang setinggi 180cm ni, mereka cuma separuh ketinggian daripadaku.
Sedang aku melilau-lilau, aku perasan salah seorang daripada orang yang mengiringi lelaki berjubah itu seperti aku kenal. Atau yang sebenarnya, aku kenal mahkota yang dipakai oleh pengiringnya itu.
Aku menyiku Melati dan berbisik, "Kau nampak tak tu? Badrol, kan?"
Melati juga melilau ke arah pentas perarakan. "Apa dia buat kat situ?"
Dari jauh, aku dengar Hayun bersiul. Dengan gerakan mulutnya, aku faham dia memberitahu kami, "Badrol ada kat atas tu!"
Memang sah la itu dia! Hayun paling dekat dengan pentas dan pasti nampak jelas muka-muka pengiring Tuan Adib itu. Aku cuma nampak mahkota itu sama dengan mahkota yang dipakai oleh Badrol pagi tadi.
"Woi, Bad! Kau buat apa kat atas tu?" jerit Melati.
Namun, Badrol langsung tak menjeling ke arah kami dan dia terus memandang ke depan. Kata-kata Melati membuatkan Tuan Adib memandang tajam ke arah kami semula.
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
PertualanganPengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...