#39: Tikam Belakang

117 2 0
                                    

Lantai berbatu bata ditumbuk dengan kuat. Kami rasa dengan cara itu saja mampu meredakan paras banjir di dalam bilik ini ke tahap yang selamat. Aku mungkin selamat lagi sebab ketinggian 5 kaki 4 inci ini mampu bertahan jika banjir ke paras pinggang sekalipun. Aku lebih kasihankan Badrol yang berketinggian kurang separuh daripada ketinggianku itu. 

"Tumbuk kuat-kuat, Kayu!" laung Badrol. Dia sudah hampir ditenggelami air. 

Di dalam air, Kayu sedang berusaha untuk memecahkan lantai dengan tumbukannya. Sudah beberapa siri tumbukan dilepaskan, namun lantai masih kukuh begitu. Hanya ada retakan yang semakin membesar. Aku rasa itu cukup menandakan yang lantai itu bakal berlubang nanti. 

Kami terpaksa berkejar dengan masa dan arus air yang masuk ke dalam bilik. Kami tidak boleh mengharap pada Kayu seorang diri. Jadi kami berselang-seli menghentam lantai itu dengan apa saja senjata atau benda keras untuk mengiringi tumbukan Kayu. 

Setelah beberapa lama menghentam, barulah rekahan itu pecah dan terus menjadi lubang yang agak besar dan dalam, membuatkan air banjir itu sedikit demi sedikit surut. Aku tidak tahu apa yang ada di bawah aras bilik rahsia ini. Mungkin terdapat longkang saliran besar, atau... entah, aku pun tidak tahu. Kerana air yang keluar ke lubang itu membuatkan air berpusar di dalam bilik sebelum ia mengering walaupun air yang tumpah kerana perangkap yang diaktifkan tadi masih cuba untuk membanjiri bilik ini. 

Satu dah selesai. Satu lagi belum, iaitu pintu. Kami masih terperangkap di dalam bilik ini. Aku pun tak pasti sama ada Kayu mampu untuk menghentam pintu itu atau tidak memandangkan dia seakan sudah penat dan tangannya pula sudah ada kesan melecet dan luka-luka kecil, lebih-lebih lagi di penumbuknya. 

"Aku boleh buat. Korang ke tepi," arah Kayu. "Aku dah angkut korang ke sini, mungkin ada yang tak rela tapi terpaksa ikut. Biar aku yang bertanggungjawab." 

Dia terus berjalan ke muka pintu batu itu dan bersedia untuk melepaskan siri tumbukan laju yang dia selalu guna. Dalam satu kelipan mata saja, Kayu melepaskan lima tumbukan ke pintu itu. Pintu itu sudah keretakan sedikit. Kayu perlu buat lagi dua atau tiga siri lagi tumbukan laju itu sebelum pintu itu pecah. 

Selepas dua siri tumbukan, pintu itu runtuh dan akhirnya, kami terlepas daripada perangkap itu. Lega. Aku ingat kami akan mati beramai-ramai di sini. Aku dah mula fikir yang bukan-bukan saja. 

Kami keluar dari bilik rahsia itu secepat mungkin dan dengan terburu-buru, terus keluar dari perpustakaan. Nasib. Hari masih siang. Kalau tengok pada ketinggian matahari, sudah masuk waktu petang. 

Kebetulan semasa kami keluar, ada seorang makcik memandang kami dengan wajah yang pelik. Dia memandang sekeliling sebelum memandang ke arah kami semula. 

"Bukan perpustakaan ni tutup ke hari ni? Kenapa korang basah-basah ni?" tanya makcik itu. 

Aku memandang rakan-rakan aku yang lain dan sekeliling. Aku tengah fikir nak kelentong apa. "Kami nak pulangkan buku je, makcik, tapi lupa yang perpustakaan ni tutup. Pasal basah ni sebab... sebab... pili air dalam tandas tu! Tiba-tiba tercabut kepala pili tu, habis kami semua basah." Aku tak tahu muka aku macam mana semasa aku cakap macam tu. 

"Korang masuk tandas sama-sama ke?" Muka makcik itu tambah keliru. "Takpelah. Makcik tak nak tahu. Makcik nak ke Festival Todak dulu. Korang semua tak pergi ke?" 

Hmm... boleh tahan kepochi makcik ni. 

"Kejap lagi kot." Aku mengerling ke arah rakan-rakanku yang semakin menjauh. "Kami nak tukar baju dulu. Gerak dulu, makcik!" 

Aku terus berlari mendapatkan kawan-kawan aku. Mereka sedang mencadangkan tujuan kami yang seterusnya. 

"Ke mana kita?"

Diari Seorang PencuriWhere stories live. Discover now