Aku berbaring sambil memandang siling setelah aku siap mandi dan sarungkan singlet dan seluar pendek, bersedia untuk tidur kononnya. Namun aku rasa mata aku tak berapa nak mengantuk pula bila kepala diletakkan pada bantal ni. Di luar sana, aku dapat dengar seseorang keluar daripada bilik dan mengetuk pintu bilik yang lain.
Harap tak ketuk pintu bilik aku, sudahlah.
"Hayun~ bukak la pintu~" Sayup saja suara Kayu di luar sana.
Haih, tak tidur lagi budak ni? Silap betul Kayu pergi kacau Hayun tidur. Memang tak layan la dia.
Aku pusingkan badan aku menghadap tingkap. Dari bayang-bayang pohon yang meninggi di tepi bangunan markas, nampaknya angin sepoi-sepoi bertiup di luar sana. Aku gunakan magik yang aku namakan Tangan Ghaib untuk membuka tingkap agar angin masuk ke dalam ruang bilik.
Ah, sejuk sikit!
"Keluar la... ada hantu kat bilik aku," kata Kayu lagi. Kali ini, suaranya sedikit ketar.
Aku gulingkan mata. Adakah hantu yang Kayu maksudkan itu benda yang kami nampak tadi? Entahlah.
Aku terus memeluk bantal kerana cuaca berangin di luar semakin sejuk. Mungkin sebab bandar Temasek ini berdekatan dengan lautan yang membuatkan angin darat menolak bahang siang ke arah lautan, membuatkan daratan ini sejuk pada malam hari.
Pada waktu itu juga, aku terdengar seorang lagi keluar daripada bilik.
"Bad! Tolong aku, Bad! Dalam bilik aku ada hantu."
"Hah, hantu?"
Masih dengan masalah hantu dia. Yang Badrol ni pun layankan je. Aku tertawa kecil mendengarnya. Hiburan, tahu?
Aku lelapkan mata sebab aku tak dengar apa-apa lagi selepas itu. Aku tidak tahu berapa lama aku terlena sehinggalah aku terdengar bunyi sesuatu dihentak pecah oleh seseorang. Mungkin ditumbuk atau ditendang dengan kuat.
"Kau ni dah kenapa, babi?!!" Nampaknya, Hayun dah mula menyirap.
Aku syak itu perbuatan Kayu sebab... dia je la pun yang kuat bab-bab tumbuk dan sepak terajang ni di antara kami semua. Tapi entah apa yang pecah, itu aku tak pasti. Sebab aku terlelap tadi, dan aku rasa, elok aku abaikan je bunyi tu. Tak cukup rehat nanti, memang payah aku nak jalani hari esok.
Aku ambil bantal kecil yang aku kepit di celah kangkang dan tekup kepala.
Abaikan hantu. Abaikan Kayu. Abaikan semua. Tidur!
* * *
Pagi itu, benda pertama yang aku nampak bila aku kuak pintu adalah pintu bilik Hayun yang pecah, dan Kayu bersama Hayun tidur berlonggokan di atas katil. Aku terkerut kejap tengok, tapi aku abaikan. Mungkin Kayu mengalami malam yang rumit. Biarkan jelah dia.
Aku turun ke bawah untuk ke bar. Nampaknya Man sudah siap memasak sarapan untuk kami. Bukan main semangat betul dia. Bebola ayam yang disediakan bersama sos cili dan sos lada hitam, bersama kentang lenyek. Pergh~ lazat!
Di kaunter bar, Melati dan Pelita sudah disediakan minuman, tak jauh dari mereka pula ada Badrol, di hujung kaunter yang satu lagi. Entah kenapa dia duduk sorang-sorang kat situ pun aku tak tahu. Macam ada benda yang dia renungkan, tapi entah apa pun aku tak pasti. Muka dia pun ketat semacam. Di kepalanya pula ada sebuah mahkota. Sejak bila dia suka pakai perhiasan sebegitu pun aku tak tahu. Mungkin dia cuma mahu mencuba fesyen terbaharu? Hmm.
"Pagi, semua!"
Sapaanku dibalas oleh mereka, kecuali Badrol. Memang sah la Badrol sedang memikirkan sesuatu. Biarkan je la dulu. Nanti dia okey la kot?
YOU ARE READING
Diari Seorang Pencuri
PertualanganPengembaraan ini bermula setelah aku - Rifa - bersepakat dengan Badrol, Melati, Kayu dan Hayun untuk menggegarkan bumi Melaka dengan kehebatan kami. Tak sangka, pertemuan aku bersama mereka yang juga mempunyai kembara tersendiri telah membawa kami k...