Pagi berganti malam.
Ema berdiri di luar balkoni biliknya. Dia merenung langit gelap tanpa bintang mahupun bulan. Riak wajah wanita itu kelihatan sangat sedih.
Air mata mengalir perlahan di pipi. Ema segera mengesat air matanya. Dia tidak mahu kelihatan terlalu sedih dengan pemergian Iezzi.
"Aku perlu kuat demi Iezzi." Bisik Ema di dalam hatinya.
Sedang wanita itu melayan perasaannya sendiri, tiba-tiba pintunya diketuk dari luar.
Ema segera mengelap matanya, memastikan tiada satu titik air mata pun yang masih bersisa di tubir matanya.
"Masuklah!" laung Ema dari dalam bilik.
Pintu dibuka. Iezzi menjengahkan kepalanya.
"Ibu."
Ema mengukirkan senyuman manis di bibirnya. Namun, hatinya disapa rasa sayu apabila melihat wajah Iezzi.
"Kenapa tak tidur lagi, Iezzi? Dah lewat malam ni," tanya Ema dengan nada lembut.
Iezzi masuk ke dalam bilik Ema dan menghampiri wanita itu.
"Saja nak tengok ibu sebelum Iezzi tidur." Iezzi memeluk Ema dengan erat dan merehatkan kepalanya pada dada Ema dengan gaya manjanya.
Ema membalas pelukan Iezzi dan mencium kepala anak angkatnya itu.
"Nak ibu temankan kamu tidur?" Ema bertanya.
Iezzi segera mendongak. Senyuman manis terukir di bibir remaja perempuan itu.
"Boleh ke?"
Ema mengangguk dengan senyuman di bibir.
"Kalau macam tu, jomlah!" kata Iezzi dengan nada teruja. Tangan ibunya itu ditarik, mengajak si ibu ke biliknya.
Ema tertawa kecil meihat terlatah manja Iezzi.
Apabila masuk ke dalam bilik Iezzi, kedua-dua mereka berbaring di atas katil. Mereka berdua saling berpelukan.
Ema mengusap kepala Iezzi dengan penuh kasih sayang. Sambil itu, dia juga bersenandung lembut.
Kehangatan pelukan si ibu serta kemerduan suaranya membuatkan Iezzi mula berasa mengantuk.
"Tidurlah, sayangku," kata Ema dengan suara yang perlahan dan serak.
"Iezzi sayangkan ibu walau dekat manapun Iezzi berada." Iezzi bersuara perlahan sebelum dia terlena.
Nafas tenang Iezzi kedengaran di dalam bilik gelap dan sunyi itu.
Ema tersenyum sendiri.
"Ibu pun akan tetap sayangkan Iezzi walau di mana pun kamu berada. Ibu tak akan lupakan anak ibu yang satu ni." Air mata menitis di pipi. Ema mencium dahi Iezzi, lama.
Ikutkan rasa hati, dia tidak mahu melepaskan anaknya itu. Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya merelakan pemergian si anak.
Ema menatap wajah Iezzi sepuasnya dan mengusap pipi si remaja.
Beberapa minit kemudian, bilik itu tiba-tiba diterangi dengan satu cahaya yang muncul secara tiba-tiba.
Beberapa buah pentagram yang terdiri daripada pelbagai warna dan corak, muncul di lantai bilik Iezzi.
Dari pentagram-pentagram itu, muncul beberapa susuk tubuh manusia.
Wyvern turut berada di dalam kalangan mereka.
"Mak cik." Wyvern berdiri di kaki katil Iezzi.
Ema memandang Wyvern. Senyuman kecil terukir di bibir wanita itu.
"Saya janji akan jagakan dia dengan elok." Wyvern mengulang kata janjinya.
Ema mengangguk faham.
"Mak cik dah sedia?"
Ema mengangguk sekali lagi, tanda dia sudah bersedia. Dia menatap wajah Iezzi sekali lagi. Kepala Iezzi diusap dan dahi gadis itu dicium sekali lagi.
"Jaga diri kamu, sayang. Ibu sayangkan Iezzi sangat-sangat."
Ema memandang Wyern.
Wanita itu mengangguk sebelum berundur, keluar dari bilik itu. Ema menyaksikan upacara itu dari depan muka pintu bilik.
Wyvern memandang rakan-rakannya dan mengangguk tanda sedia. Mereka yang faham akan isyarat itu, turut mengangguk tanda sedia.
Mereka semua mengelilingi katil Iezzi.
Cahaya mulai keluar dari tubuh mereka semua. Lantai dan siling bilik turut mengeluarkan cahaya.
Cahaya-cahaya itu kemudiannya terbang dan memasuki tubuh Iezzi. Hal itu menyebabkan tubuh Iezzi menghasilkan cahaya yang sangat terang dan menyilaukan pandangan.
Ema menutup matanya kerana terlalu silau.
Setelah cahaya itu menghilang, Ema membuka matanya semula.
Ternyata, bilik itu sudah kosong. Susuk Iezzi, Wyvern dan mereka yang tadi, tidak lagi kelihatan di mata.
Ema masuk semula ke dalam bilik itu. Dia menghampiri katil Iezzi dan berbaring di atas katil itu.
Patung beruang yang selalu dipeluk Iezzi, dipeluknya dengan erat.
Ema menangis semahunya, merindui si anak yang baru saja pergi.
Akhirnya, wanita itu tertidur kepenatan. Air mata masih tersisa di tepi mata dan pipinya.
YOU ARE READING
Iezzi's Story: The Descendant Of Shadow [C]
FantasyMengisahkan seorang gadis yang telah terpilih sebagai Pahlawan Shadow Hunter bagi melindungi sebuah negara yang bakal menghadapi peperangan. Tugas ini terpaksa disandang olehnya bagi mengetahui identiti sebenarnya. Berjayakan dia dalam peperangan...