"Tuan, dekat sini ada seorang lagi!" kata satu suara yang tidak dikenali Iezzi.
Suara garau serta bunyi derap kaki membuatkan Iezzi terjaga dari lenanya. Dia membuka mata dengan payah disebabkan cahaya matahari yang terang.
Setelah membuka mata, Iezzi terkejut melihat pemandangan yang terpampang di hadapannya kini.
Sebuah padang rumput terbentang luas dan ia sangat menenangkan. Rumput yang panjang meliuk-lentok apabila ditiup angin lembut.
Suasana itu sangatlah mendamaikan. Namun, fikiran Iezzi disapa dengan tanda tanya kerana dia tidak pernah melihat padang itu sepanjang hidupnya. Dan pada tika itu juga, Iezzi baru tersedar bahawa dirinya dalam keadaan terduduk elok dan bersandar di bawah sebatang pokok yang besar dan redup.
"Aku dekat mana ni? Setahu aku, aku tidur dengan ibu tadi. Ini mimpi ke?" Iezzi terpinga-pinga. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, cuba mencari kelibat ibunya.
"Cik." Suara yang didengarinya tadi menyapa pendengaran.
Iezzi segera menoleh ke belakang.
Seorang lelaki berpakaian baju perisai dengan lambang kerajaan di dada, berdiri di depan Iezzi. Di belakang lelaki itu pula, terdapat beberapa orang lelaki yang berpakaian sama dan ada juga di antara mereka sedang menunggang kuda.
Bukan itu saja, Iezzi juga ternampak beberapa buah kereta kuda yang turut mempunyai lambang yang sama dengan yang ada pada baju perisai kumpulan lelaki itu.
Iezzi cuba untuk berdiri. Namun entah mengapa, Iezzi berasa sangat tidak bermaya dan kakinya berasa sangat lemah.
Melihat keadaan Iezzi itu, si lelaki yang menyapanya tadi segera memegang tangan Iezzi dan menyokong gadis itu untuk berdiri.
"Cik tak apa-apa ke?" Dia bertanya risau.
"Ya, saya tak apa-apa. Saya dekat mana ni?" Iezzi bertanya dengan riak keliru.
"Cik akan tahu nanti. Buat masa ni, apa kata cik ikut kami dulu. Tuanku raja mahu berjumpa dengan semua peserta," kata lelaki itu.
Iezzi yang masih keliru dengan keadaan itu, hanya mampu menganguk setuju. Lelaki itu memimpin Iezzi ke arah sebuah kereta kuda yang berada berhampiran dengan mereka.
Apabila melintasi beberapa buah kereta kuda yang lain, Iezzi terlihat terdapat orang di dalamnya. Dia mula berasa cemas dan berfikiran yang bukan-bukan dengan apa yang dilihatnya.
"Siapa mereka ni semua? Diaorang buat pemerdagangan orang ke?" Iezzi memandang lelaki di sebelahnya itu.
"Aku tak ada tenaga nak lawan dengan dia ni. Lagipula, mereka ramai dan aku tak akan terlepas dengan mudah." Iezzi memandang si lelaki sekilas dan melepaskan keluhan perlahan.
Sedang Iezzi memikirkan nasib dirinya, lelaki itu membukakan pintu salah sebuah kereta kuda.
Lelaki itu mengangkat Iezzi dan mendudukkan gadis itu dengan selesa.
Iezzi terkejut dengan tindakan lelaki itu.
"Cik rehatlah dulu. Perjalanan ke istana akan mengambil masa yang lama," kata lelaki itu dengan ramah. Lelaki itu mengukirkan senyuman manis di bibir.
"Berapa lama?"
"Dalam dua hari perjalanan," kata lelaki itu seraya menutup pintu kereta kuda tersebut.
"Dua hari? Kenapa lama sangat?!" Iezzi merungut sendiri.
Iezzi memandang sekeliling kereta kuda itu. Kelihatan di bahagian sudut terdapat beberapa helai selimut dan juga bekas air. Sedang Iezzi ralit memerhatikan sekelilingnya, tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu.
YOU ARE READING
Iezzi's Story: The Descendant Of Shadow [C]
FantasyMengisahkan seorang gadis yang telah terpilih sebagai Pahlawan Shadow Hunter bagi melindungi sebuah negara yang bakal menghadapi peperangan. Tugas ini terpaksa disandang olehnya bagi mengetahui identiti sebenarnya. Berjayakan dia dalam peperangan...