Mira:Part 3

24 1 2
                                    

"mal bangun mal. Ni ada nasi goreng tomato dengan ayam goreng ni..."

Ikmal langsung melihat jam di dinding yang menunjukkan pukul 11.30 malam. Dia tertidur di atas sofa. Tak sedar bila dia terlelap. Kemudian dia mendapati bapa nya sedang mendukung adiknya yang sedang tidur, dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Ibu nya pula sedang berlalu ke belakang, ke tandas mungkin. Di atas meja di tengah ruang tamu, terdapat polisterin dan sebungkus plastik. Beberapa ketul ayam goreng terkandung di dalamnya.

Seraya itu, perutnya berbunyi. Iyalah, sejak pulang daripada bermain bola sepak dengan mengayuh basikal sejauh 10 kilometer... Ikmal masih belum menjamah apapun makanan akibat kelelahan yang teramat.

Setelah membasahkan muka dengan air daripada paip sinki, Ikmal langsung menjamah makanan yang dibawa oleh orang tuanya itu daripada pasar malam. Ini adalah pemberian rakan sama berniaga di pasar malam. Lazimnya, peniaga  akan memberikan jualan makan yang berbaki kepada peniaga lain, demi mengelakkan daripada pembaziran.

"Dah sejuk nasi tu?"

"Tak sejuk sangat...sedap lagi.." Jawab Ikmal mengadap bapanya yang duduk di atas sofa di depannya. Berkain sarung, bersinglet putih.

Lelaki separuh umur dan bertubuh agak kurus itu mencapai remote tv. Saluran tv dialihkan satu persatu, dari satu siaran ke satu siaran lain. Ikmal yang masih mengunyah bingung dengan gelagat ayahnya itu. Mentang lah baru pasang Astro, ligat jari beliau menukar-nukar siaran.

"Ayah cari apa?"

"Tengok ada bola ke tak, sebelum ibu datang ambik remote ni tengok drama ke sinetron ke..."

"Malam-malam ni ada sinetron ke?"

"Aih...ada punyer.. Astro ni kan suka ulang-ulang."

Mendengar itu Ikmal kembali menjamah makanan nya itu. Kelihatan ibunya dengan rambut yang masih basah, masuk ke dalam bilik sambil menjeling ke arah bapanya yang masih sibuk menukar-nukar siaran tv. Jelingan itu agak mengancam.

"Petang tadi main bola?"

Ikmal mengangguk. Remote tv telah dilepaskan, kini ditayangkan siaran ulangan perlawanan final Piala Malaysia antara Selangor menentang Sabah. Perlawanan tersebut menyaksikan Amri Yahya, pemain muda yang sedang meningkat naik menjaringkan gol kemenangan buat Selangor. Hasbullah Awang kerap mengulang nama Tanjung Karang merujuk kepada tempat asal pemain tersebut. Cuma, setelah beralih dari satu saluran ke satu saluran, akhirnya TV1 juga menjadi pilihan.

"Tapi main dekat padang awam. Tak main dekat sini."

"Aih? Kenapa tak main dekat sini jer? Jauh tu..."

"Saje... Dekat situ padang rumput penuh, sini kan banyak tanah jer, banyak batu pulak tu... Lagipun diorang dekat sini tak hebat... bosan lah."

"Pergi sana naik apa? Dengan siapa?"

"Naik basikal sorang-sorang..."

Ikmal sedikit terkedu saat menjawab tanya bapanya itu. Takut nanti bapanya itu bakal melarang. Tapi dia harus jujur dengan kedua orang tuanya itu. Kerana jika dia didapati berbohong, akibatnya pasti lebih berat. Mungkin saja, Ikmal tidak boleh keluar bermain di luar. Orang tuanya akan memaksa Ikmal ikut ke pasar malam kerana tidak percaya lagi kepadanya.

"Ada kawan ke main sekali kat sana tu?"

"Ada."

"Tak apalah. Apa apa pun...hati-hati jangan kayuh laju-laju...tengok kiri kanan..."

"Ayah tak marah?"

"Tak lah...sebab Ikmal jujur.. Ayah pun dulu kayuh basikal lagi jauh masa dekat kampung dulu... Dari Bukit Tinggi sampai Padang semata-mata nak tengok bola. Basikal unta tau...masa tu mana ada basikal gear macam sekarang."

Mengejar SunriseWhere stories live. Discover now