"Jangan pandang belakang."
Keringat mula mencurah di dahi. Jantung berdegup kencang. Setiap sendi terketar-ketar. Fikiran pun bercelaru. Perasaan kesal datang memakan diri. Nafasnya kencang menahan dera ketakutan. Tak semena-mena apa yang ditakuti olehnya sebentar tadi langsung muncul mengancamnya.
Suasana di sini sunyi sepi. Tak kelihatan barang seorang pun melewati kawasan ini. Mata Mira meliar mencari-cari sesuatu di sekitarnya. Mencari sebarang ikhtiar yang ada. Sesuatu benda tumpul ditekan pada belakang badannya. Dia masih belum mengenal pasti rupa objek tersebut kerana Mira tak berani menoleh demi melihat orang yang sedang mengancamnya ini.
Dalam fikirannya; boleh jadi objek tersebut adalah pisau atau barangkali senjata api. Mira sama sekali tak mampu berfikir melainkan mengikut kehendak penyangak tersebut.
"Jangan menjerit..!"
Mira akur meski dia tahu bahawa itu sudah menjadi amaran lazim para penyangak. Sama sahaja seperti yang pernah dilihatnya dalam drama dan filem. Kalau dia tidak patuh kepada amaran tersebut sesuatu yang tak diinginkan pasti berlaku. Tapi kalau dalam drama dan filem, babak seperti ini selalunya akan menyangkan kemunculan watak utama yang berperanan sebagai wira menyelamatkan keadaan.
Tapi ini bukan filem. Ini serupa dengan tayangan cctv dalam rancangan 999 atau buletin utama. Tak akan ada wira tiba-tiba muncul menumpaskan penjahat lalu mangsa akan cenderung jatuh cinta kepada wira tersebut. Tapi, kisah cinta di antara wira dengan mangsa pasti akan melalui pelbagai hadangan dan ujian. Seperti penjahat yang bangkit membalas dendam. Mangsa diculik, wira diugut, wira melakukan pengorbanan dan wira mati atau mangsa mati.
"Sekarang aku nak kau tutup mata." Suara garau penyangak kembali menyentak lamunannya. Dalam keadaan begini pun dia masih sempat berangan.
"Kau nak apa? Jangan buat aku macam ni..." Rayu Mira dengan suara menggigil ketakutan.
"Jangan banyak cakap! Aku tembak nanti.!"
Mendengar ugutan penyangak tersebut; maka tahu lah olehnya bahawa objek tumpul yang ditekan pada belakang tubuhnya ini merupakan senjata api. Mira akur menutup mata. Dia semakin pasrah atas apa pun yang bakal berlaku asal nyawanya selamat sambil hati tak berhenti mengutuk Ikmal. Kalau tadi dia langsung pulang pasti tidak terjadi perkara seperti ini. Kalau tadi dia dengar dan percaya dengan pesan Pak Herman, sekarang pasti dia telah selamat berada di rumah. Berendam di dalam tab mandi bersama buih-buih sabun sambil menghayati playlist lagu-lagu britpop dan jazz pada pemain MP3 nya.
"Tolong, jangan apa-apa kan aku.. Kau nak apa aku bagi... tapi tolong jangan apa-apa kan aku..." Sekali lagi Mira merayu, air mata pun berderai, mengalir keluar dari dalam kelopak mata yang sedang terpejam itu.
"Iyalah, kan aku suruh kau tutup mata tadi. Sekarang aku mintak kau diam jer... Aku nak buat sesuatu ni... jangan marah yeee sayang." Penyangak tersebut meendahkan suaranya yang garau itu. Tiba-tiba dia terasa tangan penyangak tersebut mengurut-ngurut bahunya. Degup jantungnya semakin laju berdebar sambil muncung senjata api masih menekan pada bahagian yang sama.
"Kau nak buat apa?" Tanya Mira lemah dengan mata yang masih akur terpejam. Dia tak berani barang sejenak pun membuka mata. Bila-bila saja senjata yang mengancam nyawanya ini akan meletup. Tangan yang merangkul bahunya tadi dilepaskan.
"Sabarlah! Aku tembak jugak kau ni nanti.."
"Ye maaf maaf... aku tunggu aku tunggu... "
Mira mulai menangis teresak-esak mengenang nasib dirinya yang malang. Jiwanya tak keruan menunggu tindakan lanjut penyangak tersebut. Apakah dia akan disamun? Atau mungkin saja dicabul? Mira tak mampu lagi berfikir. Otaknya bercelaru. Kalau dia selamat, bagaimana dia mesti menempuh kehidupan sesudah ini. Cuma yang pasti, Ikmal akan menjadi orang yang paling dibencinya. Gara-gara dia, Mira terpaksa menghadapi situasi segetir ini.
"Nah."
Tiba-tiba ada sesuatu objek berat tergantung di lehernya. Dikalungkan oleh penyangak tersebut sementara Mira turut sedar bahawa senjata api yang diacu pada belakang tubuhnya tadi telah dinyahkan.
"Sekarang kau boleh buka mata."
Mira terkejut mendengar arahan tersebut. Suara yang garau tiba-tiba bertukar menjadi yang paling dikenalnya.
Mata dibuka lalu dilihatnya apa yang terkalung di lehernya itu.
Sekalung pingat emas dengan tali berwarna hijau daun telah tergantung dilehernya. Terkebil-kebil matanya tatkala melihat keberadaan kepingan logam tersebut. Segera dia menoleh kebelakang mendapatkan gerangan yang disangkanya penyangak sebentar tadi.
Hahahahahahaaa!
"Mal!!!!!"
Ikmal terbongkok menahan gelak. Sementara Mira mencapai topi keledar lalu dihempuknya ke punggung Ikmal. Ikmal terpaksa merelakan punggungnya dihempuk dan ditendang oleh Mira, perutnya kejang menertawakan Mira sambil mengajuk kata-kata rayuan temannya itu tadi.
"...tolong jangan apa-apakan aku...tolong...Hahaha." Ejek Ikmal berselang dengan gelak tak berbunyi.
"Kurang ajar punya banglaaaa!!!" Herdik Mira menutup rasa malunya terhadap Ikmal. "Nah rasakan!" Dia kembali memukul Ikmal dengan penuh rasa geram.
"Aduh..aduh....sakit sakit...sorry sorry... " Kali Ikmal pula merayu meminta ampun.
"Takde, aku nak belasah kau cukup-cukup..." Mira menghayunkan tangannya menuju ke bahu Ikmal.
Pap.
Dalam samar-samar malam. Yang ada di sekitar sini cuma pantulan cahaya lampu limpah stadium dan cahaya bulan separa bersendirian di antara bintang-bintang. Selainnya adalah bunyi nafas dan degup jantung mereka berdua. Ikmal menatap mata Mira yang masih berair. Sementara Mira turut terpaku apabila Ikmal merangkul kedua-dua bahunya sejurus menghadang pukulannya sebentar tadi.
Mira merasakan suatu rasa ketenangan tiba-tiba muncul meresap segala keresahan yang memberontak di dalam dirinya sejak tadi. Wajah Ikmal tenang memanggung di hadapannya. Jantungnya kembali berdebar. Jiwanya terasa seperti dihambat oleh sesuatu perasaan yang datang daripada seseorang. Seseorang yang berada di hadapannya saat ini; orang ini sudah lama menggamit hatinya, sudah lama tersimpan di dalam bintang syurganya.
Kesungguhannya, kecekalan dan semangat telah menjadi sedikit daripada seribu alasan kepada punca perasaan ini menular lalu sebati bersema seluruh hati, Mira telah jatuh cinta kepada Ikmal. Dia telah menyimpan perasaan ini sejak pertama kali berkenalan. Sejak dari lapangan rumput di padang awam itu masih berwarna hijau muda. Ketika tanahnya masih lembut tak berbatu. Ketika cuma dia seorang diri bermain di taman permainan di sekitarnya.
Suatu ketika, Ikmal telah membawa Mira keluar daripada kesepian. Anak perempuan tunggal Encik Asyraf, tidak punya ibu, tinggal seorang di rumah banglo mewah. Bapanya jarang meluangkan masa bersama dek lambakan urusan kaum korperat di setiap minit kehidupan sehari-hari. Perkenalannya dengan Ikmal telah menjadikan dia nyaman menentang hari penuh warna warni. Menjadikan juga dia berani untuk memahami arti hitam dan putih perjalanan usia. Sampai akhirnya, dia berani meletakkan matlamat dalam hidupnya.
Matlamat hidupnya; adalah mendorong Ikmal mencapai cita-cita yang juga menjadi sebahagian besar daripada cita-citanya. Justeru itu, dia terpaksa tangguhkan dahulu perasaan hatinya kepada Ikmal demi menjaga hubungan sebagai sahabat. Meski dia tidak pernah pasti tentang perasaan Ikmal terhadapnya.
Ikmal tetap pekat menatap wajah Mira sambil kedua tangannya masih mendekap di kedua bahunya. Segan bercampur gemuruh tiba-tiba menggauli perasaannya tatkala Ikmal semakin merapatkan bibirnya tepat ke bibir Mira yang nipis. Degup jantung semakin kedengaran. Cahaya lampu limpah memantul pada pingat yang tergantung di dadanya, menyerlahkan wajah Ikmal dalam kesamaran. Jelas, wajah Ikmal sedang sangat dekat dengan matanya.
"Jangan takut, aku tak akan lupakan kau..." Bisik Ikmal sambil menyeka sisa air mata yang masih melekat di pipi Mira.
Mata Mira terpejam ketika bibir Ikmal semakin hampir menaut bibirnya.....
"Aku tak akan lupakan kau..."
Alunan lagu 'You Mean Everything To Me' nyanyian 'Neil Seidaka' mengiringi suasana ini....
YOU ARE READING
Mengejar Sunrise
RandomLima sekawan mengorbankan masa tidur waktu malam demi mengisi seluruh hari yang terluang dengan perkara yang mereka fikir lebih produktif. Diisi dengan sebuah rencana yang menentang kebiasaan serta kenyamanan sehari-hari. Tanpa mereka pernah tahu ba...