Azrai Dan Panorama.

25 2 1
                                    

Azrai mempercepatkan langkah mengejar Iwan yang semakin jauh mendahuluinya. Permukaan trek yang tidak rata; licin berpasir ditambah pula dengan terbatasnya jarak penglihatan. Peluh semakin deras bercucuran di wajah dan tubuhnya. Rain coat yang membalut tubuhnya telah kelihatan bayang-bayang keringat.

Bukit Broga bukan-lah sebuah pendakian yang terlalu mencabar berbanding destinasi pendakian lain. Tingginya baru 1300 kaki. Bagi pendaki yang fit seperti Iwan dan Ikmal, jalur pendakian di sini adalah masih terlalu mudah. Tapi bagi newbie seperti Azrai dan Aiman, ini sudah cukup menjadi suatu penyiksaan fizikal dan mental.

Suara Aiman, Anas dan Ikmal semakin samar kedengaran. Mereka telah jauh dipisahkan oleh jarak dan tebing-tebing.

Langkah Azrai semakin perlahan. Nafasnya terasa sesak. Manakala Iwan masih tidak berhenti berjalan; memanjat batu dan benjolan tanah yang terdapat di atas trek ini. Kaki Azrai terasa lemah. Kepalanya mulai pening. Degup jantung terasa laju.

"Wan! Tunggu jap!!" Jerit Azrai meminta Iwan supaya berhenti sejenak. Dia langsung duduk di tanah mengunjur kaki.

"Kenapa?" Tanya Iwan beberapa langkah di hadapan Azrai.

"Semput. Kejap. Relax jap."

"Kau okay tak?"

"Okay. Tapi kejap. Ambil nafas. Semput doh!"

"Diaorang dah jauh eik? Ni mesti si Aiman dah penat ni." Teka Iwan memandang ke arah trek di belakang Azrai yang curam ke bawah.

"Okay jom.. " Ajak Azrai melanjutkan pendakian.

Iwan pun ikut bergerak.

"Sempat ke sampai atas sebelum matahari terbit eik?" Tanya Azrai.

"Tak tau lah.. tadi Ikmal kata sempat."
Tenaga Azrai semakin lemah. Lututnya mulai menggeletar. Nafasnya semakin kencang. Peluh bercucuran deras. Dia sama seperti Aiman. Jarang bersukan. Pernah dulu Azrai aktif bermain futsal tapi semakin lama semakin berkurangan sejak berpindah ke tempat kerja baru. Ini adalah pemerahan keringat paling ekstrim yang pernah dirasakannya.

Walaupun begitu, ada semangat yang menahan hatinya daripada menyerah. Meski terpaksa berhenti lagi, tapi dia tetap kuat melangkah menuruti Iwan.

Iwan menyuluh jalan di hadapan mereka dengan lampu suluhnya.

"Arai.. depan tu kawasan terbuka lah. Nanti depan tu kita rehat okay?"

"Okay." Jawab Azrai ringkas kerana tercungap-cungap mencari nafas.

Sampailah mereka di kawasan terbuka. Suasana malap menyelubungi daerah ini. Yang terlihat hanya limpahan cahaya bulan serta bintikan lampu suluh yang bergerak menuju ke atas puncak bukit terpacak tinggi di hadapan mereka.

"Haa tengok puncak tu Rai.. nak dekat dah.. senang jer Broga ni.. sikit lagi jer tu.. Jom." Kata Iwan. Dia terus melangkah mendahului Azrai.

Azrai menarik nafas dalam lalu turut bergerak menuruti Iwan. "Tadi kata nak rehat. Penipu nyer Iwan." Bisiknya dalam hati.

Kelihatan di puncak bukit ini telah ramai orang sedang duduk duduk menikmati panorama malam. Ratusan lampu neon tersusun pada dataran di bawah sana. Samar-samar dilitupi kabus pagi. Limpahan cahaya bulan purnama mengasyikkan lagi permandangan ini. Angin bertiup lembut mengeringkan peluh yang melekat pada kulit tubuh. Kesejukan udara bukit sedikit menusuk; nyaman, tenang dan damai.

Azrai mulai membayangkan keasyikan mereka. Maka itu, dia kembali mengerah segenap tenaga mendaki lereng bukit ini. Tiap sebentar dia menoleh ke belakang mengamati panorama sebagai langkah memulihkan kudrat serta semangatnya.

"Come on Rai! Sikit lagi! Nampak puncak tu.. kita dah dekat!" Sorak Iwan yang berhenti di atas sebuah batu yang terletak 75 darjah di depan Azrai. Setelah mendapati Azrai semakin menghampirinya, Iwan kembali melangkah ke hadapan.

Dalam beberapa langkah, Iwan telah pun tiba di puncak dan menoleh ke bawah mencari-cari kelibat temannya itu. Dilhatnya Azrai sedang memaut tali yang disediakan sebagai kemudahan kepada pendaki. Perlahan-lahan Azrai merangkak memanjat lereng bukit ini menghampiri Iwan yang duduk mengunjur di bibir puncak. Meski pun gelap, Azrai dan Iwan masih mampu mengesan dan mengenal kelibat sesama mereka. Sama ada melalui postur tubuh atau cara bergerak.

Tinggal lagi kira-kira 5 meter jarak di antara Azrai dan Iwan. Azrai berhenti dan membongkok menahan keletihan. "Fuhh..sampai atas tu nanti.. aku nak baring puas-puas.. terlelap pun terlelap lah. Dah laa tak tidur lagi.. " bisik Azrai dengan dada nya kembang kempis bernafas.

Kemudian, dia merenung puncak tersebut tajam-tajam... lalu diperbetulkan tegaknya.. udara disedut sedalam-dalamnya.. lalu di hembus sekuat hati. FUHHHH!!!

Azrai berlari sekuat hati, kaki yang lenguh, sesak nafas, pening kepala tak dihiraukan lagi. Dia mesti berada di sana sekarang juga. Dia mahu duduk mengunjur kaki seperti Iwan.. seperti yang lain itu.. menikmati permandangan indah yang telah terbayangkan sejak di kedai Mek tadi. Dia yang merancang semua ini. Dia tak mungkin berhenti dan menyerah di sini.

"Steady Arai!! Selamat datang ke puncak Broga!!"


Mengejar SunriseWhere stories live. Discover now