Mira: Part 5

13 2 1
                                        

Sebahagian penonton turun dari tempat duduk mengerumuni pentas kecil yang disediakan bagi menjadi sebahagian daripada acara pemberian hadiah dan penyerahan piala kepada pasukan juara. Penonton yang mengerumuni kawasan tersebut kebanyakannya terdiri dari kalangan keluarga dan teman-teman. Kawasan pentas penyerahan hadiah tersebut telah dipadati. Mira memilih untuk menikmati hari bersejarah buat Ikmal itu dari atas grandstand. Menanti Ikmal datang kepadanya.

Sejak mereka berdua tiba diperkarangan stadium beberapa jam sebelum perlawanan ini bermula, Mira masih belum sempat untuk bersua dengan Ikmal. Tapi tidak menjadi masalah buat Mira apabila memikirkan tumpuan Ikmal terhadap perlawanan akhir yang sangat penting ini.

"Mira.." Tiba-tiba seorang lelaki menyapanya. Mira langsung menoleh mendapatkan perihal sapaan tersebut.

"Pak Herman datang?" Mira langsung merangkul tangan lelaki berumur yang dipanggilnya Pak Herman itu untuk bersalam seraya menunduk menyentuhkan tangan keriput itu ke dahinya. Gadis genit ini terkejut dan teruja dengan kehadiran orang ini. Kehadiran Pak Herman akan menjadi hadiah yang sangat berharga buat Ikmal.

"Mestilah datang. Nak tengok anak bujang pak cik tu beraksi. Tak sangka jadi hero dia hari ni." Jawab Pak Herman memerhati gelagat anak lelakinya sedang bergembira meraikan kejayaan.

Mira cuba untuk berteriak memanggil Ikmal tapi Pak Herman menghalang hasrat gadis yang turut berdiri di sampingnya itu. Mira terdiam. Dia sangat berharap agar Ikmal tahu bahawa bapanya telah melihat aksi terbaik Ikmal sepanjang memasang cita-cita menjadi pemain bola sepak.

"Biar dia sendiri yang nampak kita." Pesan Pak Herman membuatkan Mira sedikit bingung.

"Maksud pakcik?"

Pak Herman berundur melabuh punggung di atas bangku. Mira masih berdiri kaku dengan riak muka kebingungan menanti penjelasan daripada Pak Herman.

"Nampak semua orang yang mendekat dengan Ikmal tu..." Mira memandang ke arah kawasan penyerahan hadiah di mana Ikmal sibuk melayan pujian serta penghargaan orang. Terdapat beberapa orang gadis juga turut mendekati Ikmal. Mereka kelihatan berbual-bual mesra.

"Dia akan ada banyak kawan baru. Ingat.. masa Ikmal raikan gol tadi dia dapat teka kedudukan kamu dan halakan jari telunjuk kepada kamu, padahal waktu kamu teriak ketika dia ambil freekick tadi, dia tak pandang kamu pun, tapi dia tahu itu adalah kamu. "

Mira masih terpinga-pinga memahami akan apa yang cuba disampaikan oleh Pak Herman. Sementara itu Mira memerhati telatah seluruh pasukan kuning menjulang piala kejohanan. Mulanya dijulang oleh ketua pasukan iaitu Fakhrul, kemudian bergilir-gilir sampailah ke pangkuan Ikmal. Dia yang juga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menerima tepukan gemuruh serta sorak sorai orang ramai.

Mira cuba mempertayang keberadaannya dari atas grandstand, kadang dia melambai-lambai demi menarik perhatian Ikmal. Tapi usahanya sama sekali buntu, Ikmal kelihatan berpaling lalu mengekori rakan sepasukan lain menuju bilik persalinan tanpa sedikitpun menoleh ke arah Mira dan Pak Herman.

"Dia akan ada banyak kawan baru." Sekali lagi Pak Herman mengulang kata-kata yang telah disebut olehnya sebelum ini.

Mira mencapai topi keledar yang terletak di atas bangku. Dua topi keledar, yang satu lagi kepunyaan Ikmal. Dia menjinjing kedua-dua topi keledar itu sambil merenung tajam menentang mata Pak Herman. Dia tidak menerima akan apa yang disampaikan oleh Pak Herman tentang anak lelakinya itu. Tak mungkin Ikmal yang dikenali sejak kanak-kanak, hampir setiap mereka berdua tak berenggang tatkala melakukan aktiviti luar. Ketika kejohanan bola sepak MSSM, Mira tak pernah terlepas mengikut Ikmal ke padang latihan setiap petang demi memastikan Ikmal berlatih sehabis baik.

Mengejar SunriseTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang