Mira: Part 2

17 1 0
                                    

Ikmal langsung menghempaskan badannya di atas sofa. Mengunjurkan kaki menghadap televisyen. Siri Ultraman Eighty di TV3 sudah bersiaran. Bola dan kasut telah di simpan di tempatnya. Tubuhnya tak siap dikeringkan sesudah mandi tadi. Dia tidak mahu terlewat menonton siri kegemarannya itu.

Tapi kali ini, perhatiannya tidak tertumpu benar pada adiwira tersebut,  Space Mommy yang gah terapung di langit Tokyo tak lagi mengujakan.

Fikirannya hanya teringatkan kejadian di padang sebentar tadi. Itu adalah kali pertama dia memberanikan diri untuk bermain di sana setelah rakan-rakan di padang kawasan perumahan ini sering menyisihkan diri nya, mereka tak memandang bakat seseorang, mereka lebih takut dengan perbezaan keturunan dan warna kulit. Dia tidak mahu hal seperti itu merencatkan impian dan cita-citanya; dia hanya mahu bermain bola sepak. Oleh kerana itu, dia tidak mahu pula bertengkar dan bertelagah dengan orang di situ. Makanya, dia memilih untuk bermain bola sepak seorang diri di tempat lain. Jauh daripada mereka itu. Mungkin suatu hari nanti, ada yang akan tertarik dengan kesungguhannya.

Padang serbaguna yang terletak di dalam kawasan komplek sukan daerah, sebenarnya digunakan oleh orang dewasa beriadah di waktu petang dengan bermain bola sepak. Cuma mereka bermain agak lewat iaitu sekitar jam 6 petang sehingga azan maghrib. Tidak mungkin orang dewasa itu mahu bermain bola sepak dengan budak sekolah rendah seperti Ikmal. Jadi, Ikmal berencana untuk berlatih di situ sebelum mereka tiba.

Ikmal berusia 11 tahun, sanggup mengayuh basikal sejauh 10 kilometer ke komplek sukan yang terletak di tengah bandar Tampin. Menempuh jalan berbukit dan beralun. Tak kurang pula anjing liar berkeliaran di tepi jalan besar menuju ke bandar. Di bawah sinar matahari petang yang membakar kulit mudanya, keringat telah bercucuran sebelum tiba ke destinasi. Namun, dia tidak putus asa demi sesuatu hal yang menjadi minatnya. Iaitu bermain bola sepak. Dia mahu membuktikan pada mereka, bahawa keturunannya tidak layak untuk dipersenda. Atau tiada apa yang patut dipersendakan.

"Indon main tempat lain lah!!"

"Ikmal Indon! Indon!"

Bola milik nya dirampas oleh mereka. Dia tidak dibenarkan bermain oleh rakan-rakan sebayanya. Budak yang sedikit berumur merampas kasut bola Ikmal lalu di campak ke dalam longkang.

Ikmal kecil, hanya diam dan berpaling segera dari mereka itu. Dia tidak mahu meminta kembali bola miliknya, kerana bola itu pun sudah buruk; menunggu masa untuk meletup. Cuma kasut di dalam longkang, itu adalah hadiah daripada kedua orang tuanya bersempena keputusan ujian pertengahan tahun yang cemerlang. Tak tergambar sucinya wajah ayah dan ibu waktu hadiah tersebut dihulurkan kepadanya. Mengenang jerih payah kedua orang tua berniaga siang malam di pasar malam setiap hari demi menampung hidup dan keinginan, bagi Ikmal perbuatan budak tingkatan 1 bernama Fakrul tidak boleh di maafkan.

Tapi ternyata Ikmal kecil lebih matang berbanding usianya. Dengan tabah dan sabar dia mengutip kembali hartanya itu. Tangisannya dipendam, geram dan marah diketepikan. Suatu hari, orang ini akan menerima balasannya.

Tapi hari ini, dia telah dipertemukan dengan teman baru. Ternyata masih ada yang mahu berteman dengannya. Pengalaman bermain bola sepak dengan Mira membuka kembali harapannya. Ternyata Mira bukanlah seorang budak perempuan biasa, yang lebih suka bermain anak patung dan masak-masak bersama budak perempuan sebayanya; malah petang tadi, Ikmal melihat kelincahan serta kelasakan Mira. Dia sama sekali tidak gerun dengan rembatan deras Ikmal. Sedikit pun Mira tidak memejamkan mata ketika cuba menepis bola yang menuju ke arah gawang gol.

"Kau okay ke?" Mira masih tertiarap ketika Ikmal datang menghampirinya. Rembatan derasnya di tepis oleh Mira dengan kedua telapak tangannya; budak perempuan berbaju kurung itu kemudian tersembam jatuh ke atas rumput.

Ikmal melutut sebelum membantu Mira untuk duduk. Namun, sebelum Ikmal sempat menyentuh bahu Mira, gadis kecil tersebut langsung berdiri lalu mengambil bola yang berada tidak jauh dari gawang gol. Kemudian, bola tersebut dilontar ke tempat Ikmal mengambil sepakan tadi.

"Cepat pergi sana, berlatih lagi... cepat!"

Ikmal sempat tercengang sebelum Mira datang dan menolak tubuhnya pergi ke arah di mana bola itu mendarat.

"Tercengang apa? Cepatlah, masa dah suntuk ni... nanti orang besar nak guna padang."

Ikmal akur dengan arahan Mira. Kembalilah Ikmal memperbetulkan letak bola mengikut kesesuaian. Hairan, bagaimana gadis kecil ini tahu menepis bola seperti itu? Sejak saat itu Ikmal mengakui bahawa Mira adalah teman berlatih yang tepat.

"Aku kan selalu main kat sini, jadi selalu lah tengok orang besar main bola petang-petang."

"Jadi, kau dah selalu lah kutip bola?"

Mira mengangguk; mengiyakan tekaan Ikmal. Mereka berdua duduk berdua di tepi padang sambil menyaksikan orang dewasa bermain bola sepak bersama-sama. Ikmal agak teruja memerhatikan teknik serta kehandalan mereka mengawal bola.

"Ikmal..."

Ikmal tersentak daripada kelekaannya menyaksikan orang dewasa itu bermain.

"Besok kau berlatih lagi ey... aku teman kau.."

Sambung Mira tersenyum memandang Ikmal. Kelihatan keterujaan di wajah Ikmal saat mendengar ungkapan tersebut.

"Boleh."

Tidak lama selepas itu Ikmal bangun meminta diri. Mira menuruti Ikmal mendapatkan basikal yang berada tidak jauh dari tempat mereka bersantai tadi. Basikal BMX yang mempunyai carrier di bahagian belakang. Sebuah beg galas yang terkandung bola dan kasut diikat kemas pada carrier tersebut dengan menggunakan dua utas tali bungee bercangkuk. Ikmal duduk di atas seat basikal. Dia melihat sejenak wajah Mira yang baru dikenalnya. Baju kurung yang sedikit bertanah dan lembab dibasahi peluh membaluti tubuh kecil anak gadis ini.

"Nak tumpang tak?"

Mira pura-pura terkejut sejurus mendengar pelawaan Ikmal. Dia mengangguk bersama senyum kegirangan mekar di wajahnya. Seperti sejak tadi dia sudah teringin untuk duduk di atas basikal ini.

"Duduk lah sini..."

Ikmal menunjuk batang besi pada badan basikal. Tanpa berlengah Mira langsung duduk mengiring di atas batang besi tersebut sambil memegang batang handle.

"Okay ready.."

Ikmal mula mengayuh perlahan menuju ke sebuah villa yang terletak tidak jauh daripada kawasan padang.

"Waaaaaaa... seronoknyaaaaaa..."

Ikmal ketawa mendengarkan itu. Seketika Ikmal melepaskan handle basikal sebelum memegang bahu Mira.

"Kau kawal handle, aku kayuh..."

Mulanya, Mira agak kekok mengemudi, tapi tidak lama; Ikmal terus mengayuh sambil Mira mengemudi sehingga hampir di halaman tempat kediaman Mira. Dia lantas mencapai handle lalu memberhentikan basikal. Lalu, Mira turun dan berlari ke arah pintu pagar. Mira berdiri menghadap Ikmal lalu melambai ke arah Ikmal yang masih belum berganjak.

"Besok tau! Jangan lupa! Kau mesti berlatih! Banyak berlatih baru boleh wakil sekolah!"

Sahutan Mira sedang terngiang-ngiang di telinganya. Bertemu dan berkenalan dengan Mira adalah seperti sebuah anugerah yang datang kepadanya setelah dia berjaya membuka pintu yang baru. Meninggalkan dunianya yang lama. Ketika dia benar-benar merasakan bahawa bersendirian lebih baik daripada menelan pahit dihina dan dipersenda, tiba-tiba datang pula seorang insan merapatinya. Merangkul bahunya, menuju ke arah cahaya di hujung terowong yang gelap dan sunyi.

Siri Ultraman telah pun selesai untuk senja ini meski tidak sedikitpun aksi adiwira Jepun tersebut melekat dalam fikirannya, kerana ketika ini; fikirannya sudah menerawang jauh menuju hari esok dan selanjutnya. Dia mulai merasa tidak sabar untuk bertemu dengan hari esok dan hari kemudiannya.




Mengejar SunriseWhere stories live. Discover now