Kehilangan.

36 4 0
                                        

Suara azan mendayu-dayu di udara. Langit subuh terbentang syahdu mengusik kalbu. Tanah berpasir telah tampak disuluh cahaya bulan purnama. Tiada lagi pepohon menahan rembulan yang berbagi-bagi sinarannya.

Dari atas sini, di bawah sana.. kelihatan ratusan lampu neon dan segala jenis lampu seperti bekerdipan selayaknya bintang-bintang di daratan. Manakala jutaan bintang-bintang yang tersemat di langit masih belum surut meski fajar menjelang menelannya.

Ikmal mengamati suasana yang pertama kali dialami olehnya. Walaupun banyak gunung sudah ditawan, tapi ini pertama kali dia mendaki di waktu seperti ini. Kerana itu, hajatnya sejati, hasratnya mendalam, impiannya tinggi, matlamatnya jitu... dia mahu menikmati semua ini bersama-sama sahabatnya.

Entah apa yang terjadi kepada Aiman dan Anas di bawah sana. Bagaimanakah perasaan Azrai dan Iwan yang telah dahulu berada di puncak.

Sementara itu, kembalikan cerita ini sedikit di belakang.. ketika itu kisah ini masih belum tercetus menjadi serangkai pengalaman dan pelajaran yang akan kekal sepanjang masa. Agar mereka berlima serta semua watak di dalam cerita ini.. akan mengenang saat-saat ini buat selamanya.

Di saat hujan mencurah selebat-lebatnya.. di kala suara manusia ditelan dentuman guruh dan hempasan hujan. Awan gelap tebal menutup akal fikiran daripada menerawang bebas memikirkan hari ini dan masa depan.

Fikiran disekat untuk maju. Ia hanya mampu berbalik ke belakang. Mengenang masa lalu, ketika gelak tawa dan suara Iskandar masih meniti di telinga. Bayang kelibatnya bermain-main di mata. Terimbas lah kembali dari sejak awal pengenalan sampai kali terakhir mereka pernah bertemu... jasa dan hati budinya disebut-sebut. Segala peristiwa manis diimbau kembali. Ini adalah kehilangan besar. Iskandar selalu menjadi watak penting dalam perjalanan hidup mereka.

Kata orang yang datang mengucapkan takziah, Is telah membantu ramai orang untuk mendapatkan pekerjaan. Is juga adalah orang yang banyak memberikan sokongan serta dukungan kepada teman-temannya yang mahu berusaha. Dia juga teman penghibur yang sering dilagukan. Kehadirannya mengundang seribu keceriaan, kewujudannya menghadirkan segerombolan peluang hidup... bukan saja untuk teman-teman atau orang lain.. malah buat sekalian keluarganya.

Tak tertahan sendu di hati melihat satu-satunya anak lelaki semata wayang Cik Upik sedang terkujur kaku berbalut kain kafan di tengah ruang tamu rumahnya. Bagaimana tidak tersentuh hati kita melihat ibu tunggal itu meratap pemergian anaknya? Siapa yang mampu menahan pilu tatkala mengamati bacaan talkin yang menyebut-nyebut nama Is yang telah terpisah dengan urusan dunia...

Ketika di tanah perkuburan di mana jenazah Is dikebumikan tadi, berpuluh-puluh orang datang mengiringi pemergiannya. Meratapi saat akhir melihat tubuh Iskandar meski telah dibaluti kain putih. Atas keredhaan tuhan yang maha kuasa.. jenazah Iskandar selamat dan sempurna disemadikan di dalam pusaranya.

Iskandar telah pergi buat selama-lamanya. Namun, dia tetap hidup dalam hati semua orang yang mengasihinya.

Azrai, Aiman, Angah dan yang lain-lain sedang saling berpelukan di antara satu sama lain. Hujan lebat tiba-tiba turun sejurus sempurna urusan pengebumian seperti tuhan mahu membasuh air mata yang menitis disekeliling pusara hambanya. Mereka pun berlalu meninggalkan pusara sambil esak tangis seorang sahabat masih kedengaran.

Sebulan telah berlalu.

Azrai sendirian bertupang dagu di anjung rumahnya. Direnung sebatang jalan lurus melintang di hadapannya. Senja telah melabuhkan tirai bergantikan tabir malam yang terang dengan bintang-bintang dan bulan penuh. Tiap sebentar ada saja kenderaan yang lalu lalang melintasi kawasan kediamannya itu. Malah masih ada anak-anak jiran bermain kejar-kejar di situ.

Kalau boleh dibayangkan, malam ini tidaklah sepi, tidak pula sunyi.

Tapi tidak bagi Azrai. Meski dia kelihatan biasa, tapi jauh di sudut hatinya, dia sedang memendam kerinduan yang teramat sangat. Dia masih tercari-cari kelibat teman baiknya itu. Iskandar yang dirapatinya sejak kecil. Mereka membesar bersama. Bersekolah bersama. Malah di saat seperti ini, Iskandar lah yang sering datang menemaninya berbual sementara menanti larut malam.

Mungkin kerana faktor kematangan, Azrai bijak menangani kesedihan. Dia tidak mahu kesedihan itu menjadikan dia putus asa. Pesan nasihat dan perjuangan temannya itu menjadi azimat baginya. Dia tidak merelakan dirinya dibelenggu oleh kesunyian.

Dia segera mengirim text kepada Aiman...

Aiman.. kau kat mana? Lepak jom... aku tengah cuti ni..

Tak sampai beberapa saat.. text tersebut dibalas segera oleh Aiman..

Dekat burger Angah ni. Datanglah.

Siapa ada?

Ada aku ngan Ipin jer ni. Datanglah.. Aku pun tengah cuti jugak ni...

Okay.. aku datang sekarang...

Mengejar SunriseTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang