Mira: Part 4

25 2 0
                                    

Bola melambung tinggi ke udara. Menuju ke kawasan kiri padang. Pemain tengah pertahanan lawan meluru ke kawasan tersebut atas usaha penguasaan permainan setelah hantaran rendah pemain tengah menyerang mereka berjaya di sekat oleh rantaian pertahanan pasukan lawan sebelum mereka mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya. Pemain jersi nombor 6 itu mendepangkan dada menyambut bola tersebut demi mempercepatkan pergerakan menyerang. Bola yang melambung itu semakin hampir. Dia sempat melihat beberapa rakan sepasukan yang lain telah turun menghampirinya; membuka ruang agar mudah transisi menyerang di lakukan.

Pasukannya yang mengenakan jersi berwarna hijau putih telah menguasai bola sejak daripada minit pertama permainan. Pelbagai gerak serangan dari pelbagai sudut telah mereka cuba, namun permainan bertahan pihak lawan yang mengenakan jersi kuning itu sangat baik. Mereka menutup setiap ruang yang selama ini mudah dimanipulasi sehingga berjaya menjaringkan beberapa gol cantik ketika menewaskan juara bertahan pertandingan di peringkat separuh akhir kelmarin. Mereka punya kemahiran dalam penguasaan bola serta taktik mengekang pihak lawan di garisan tinggi oleh jurulatih pasukan diadaptasi dengan baik oleh para pemain dalam memburu kejuaraan tahun ini. Pasukan kuning hanya mampu bertahan di sepanjang minit permainan setelah usaha menyerang mereka mudah disekat oleh pasukan hijau.

Tempoh permainan telah masuk waktu kecederaan. Belum ada sebarang jaringan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua finalis Piala Parlimen. Bola hampir pasti mendarat di dada pemain tersebut. Tapi tumpuan penyokong tiba-tiba terarah kepada seorang pemain pasukan kuning berlari pantas menuju ke arah pemain no 6 tersebut.

"Nombor 6 ada pressing!"

Pemain tersebut tercengang sejurus mendengar teriakan jurulatih pasukannya itu. Belum sempat dia mencari kelibat pemain lawan yang cuba menghampirinya demi merebut penguasaan bola tiba-tiba... Bukkk!

Penyokong pasukan kuning bersorak. Beberapa pemain menyerang pasukan kuning berlari meluru menuju kawasan pasukan hijau setelah sejak tadi mereka hanya sekadar mendiami kubu pertahanan demi mengekang asakan lawan. Jurulatih pasukan kuning melompat-lompat berteriak memberikan arahan kepada pemainnya. Seluruh hadirin yang datang menyokong pertandingan akhir ini berdiri bersama sorakan semangat kepada pemain pasukan kuning yang berjaya memerangkap asakan pasukan hijau yang leka melakukan serangan sehingga tidak ada seorang pun pemain pertahanan mereka yang berada di dalam kawasan mereka ketika ini selain pemain nombor 7 pasukan kuning yang sedang berlari pantas bersama bola menuju ke arah penjaga gol pasukan hijau yang bersendirian di dalam kotak penalti.

Situasi 1v1 dengan penjaga gol semakin hampir, penjaga gol meluru ke arahnya melakukan asakan demi memperlahankan usaha pemain tersebut melakukan jaringan sambil berharap rakan sepasukan cepat turun membantu mengekang serangan balas yang mengejutkan ini.

Kini pemain nombor 7 sedang berhadapan dengan penjaga gol yang terpaksa  keluar daripada kawasannya. Dia melihat gawang gol terbuka luas sambil itu dia juga mendengar derapan kaki beberapa pemain pertahanan lawan semakin mendekat. Dia punya dua pilihan menyungkit bola dan berharap ia sempat menerjah jaring sebelum dihadang oleh pemain pertahanan yang semakin hampir; atau menggelecek dahulu penjaga gol ini sebelum melakukan jaringan dalam ruang yang lebih terbuka.

Dia memilih untuk melepasi hadangan penjaga gol ini terlebih dahulu. Dengan kaki kanan dia mengawal bola ke arah kanan penjaga gol yang kelihatan panik. Dia berjaya melepasi hadangan penjaga gol tersebut kini di hadapannya adalah gawang gol yang terbuka luas buatnya untuk dinobatkan sebagai wira buat pasukan yang diwakilinya. Dia hanya tinggal meleretkan bola ke arah gol yang terletak cuma 20 meter di hadapannya.

Awwwwwww....

Stadium mini yang cuma punya satu grandstand senyap seketika. Pengadil meniupkan wisel. Kad kuning dilayangkan kepada pemain nombor 6 pasukan hijau atas terjahan keras terhadap pemain nombor 7 tersebut. Ketua pasukan hijau cuba melakukan bantahan tapi keputusan pengadil perlawanan adalah muktamad. Sepakan percuma di berikan kepada pasukan kuning.

Mengejar SunriseWhere stories live. Discover now